Lompat ke kandungan

Adakah Maria Ibu Tuhan?

Adakah Maria Ibu Tuhan?

Jawapan Bible

 Tidak. Bible tidak mengajar bahawa Maria ialah ibu Tuhan. Bible juga tidak pernah menyuruh orang Kristian menyembah atau memuja dia. a Perhatikan sebab-sebabnya:

  •   Maria tidak pernah berkata bahawa dia ialah ibu kepada Tuhan. Bible menjelaskan bahawa Maria melahirkan “Anak Tuhan,” bukannya Tuhan.​—Markus 1:1; Lukas 1:​32.

  •   Yesus Kristus tidak pernah mengatakan bahawa Maria ialah ibu Tuhan atau harus diberi perhatian khusus. Pernah sekali seorang wanita mengatakan bahawa Maria berbahagia kerana peranannya yang istimewa sebagai ibu Yesus. Namun, Yesus membetulkan pandangannya dengan berkata, “Tidak. Sebaliknya, berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”​—Lukas 11:27, 28.

  •   Ungkapan “Ibu Tuhan” atau “Theotokos” (orang yang melahirkan Tuhan) tidak wujud dalam Bible.

  •   Dalam Bible, ungkapan “Ratu Syurga” merujuk kepada agama palsu yang disembah oleh orang Israel yang murtad, bukannya Maria. (Yeremia 44:15-​19) “Ratu Syurga” itu mungkin merujuk kepada dewi orang Babilon yang dipanggil sebagai Ishtar (Astarte).

  •   Orang Kristian pada abad pertama tidak menyembah Maria ataupun memperlakukannya dalam cara yang istimewa. Menurut seorang sejarawan, orang Kristian pada abad pertama “menolak perbuatan memuja manusia. Mereka mungkin risau kelihatan seperti memuja seorang dewi jika Maria diberikan perhatian yang berlebihan.”​—In Quest of the Jewish Mary.

  •   Bible berkata bahawa Tuhan sentiasa wujud. (Mazmur 90:1, 2; Yesaya 40:28) Memandangkan Tuhan tiada permulaan, jadi tidak mungkin Dia ada seorang ibu. Selain itu, tidak mungkin Maria dapat mengandungkan Tuhan dalam rahimnya kerana Bible dengan jelas beritahu bahawa seluruh langit pun tidak cukup luas bagi Tuhan.​—1 Raja-Raja 8:​27.

Maria ialah Ibu Yesus, bukan “Ibu Tuhan”

 Maria ialah orang Yahudi dan daripada keturunan Raja Daud. (Lukas 3:​23-​31) Dia seorang yang sangat beriman dan setia, maka Tuhan sangat memperkenankannya. (Lukas 1:​28) Maka Tuhan memilihnya untuk menjadi ibu Yesus. (Lukas 1:​31, 35) Maria dan suaminya, Yusuf, juga mempunyai anak-anak lain.​—Markus 6:3.

 Bible memberitahu bahawa Maria menjadi murid Yesus. Namun, Bible tidak memberikan penjelasan yang lebih lanjut mengenai Maria.​—Kisah 1:​14.

a Beberapa aliran agama mengajarkan bahawa Maria ialah ibu Tuhan. Mereka mungkin memanggilnya sebagai “Ratu Syurga” atau dalam Bahasa Yunani, Theotokos, yang merujuk kepada orang yang melahirkan Tuhan.