Lompat ke kandungan

Pernahkah Yesus Berkahwin? Adakah Yesus Mempunyai Adik-beradik?

Pernahkah Yesus Berkahwin? Adakah Yesus Mempunyai Adik-beradik?

Jawapan Bible

 Biarpun Bible tidak pernah menyebut tentang status perkahwinan Yesus, kita yakin bahawa Yesus tidak pernah berkahwin. a Marilah kita melihat beberapa bukti daripada Bible tentang hal ini.

  1.   Bible selalu menyebut tentang keluarga Yesus dan para wanita yang menemaninya dalam kerja penyebaran dan semasa dia dihukum mati. Tetapi Bible tidak pernah menyebut tentang isteri Yesus. (Matius 12:46, 47; Markus 3:​31, 32; 15:40; Lukas 8:​2, 3, 19, 20; Yohanes 19:25) Mengapa? Hal ini demikian kerana Yesus tidak pernah berkahwin.

  2.   Berkenaan orang yang memilih untuk tidak berkahwin agar dapat berkhidmat kepada Tuhan dengan lebih giat, Yesus berkata, “Jika seseorang sanggup hidup tanpa berkahwin, biarlah dia tidak berkahwin.” (Matius 19:10-​12) Yesus sendiri tidak berkahwin, maka dia dapat menjadi teladan baik kepada orang yang sanggup tidak berkahwin agar dapat berkhidmat kepada Tuhan dengan lebih giat.​—Yohanes 13:15; 1 Korintus 7:​32-​38.

  3.   Sejurus sebelum Yesus meninggal, dia membuat aturan agar kebajikan ibunya dijaga. (Yohanes 19:25-​27) Jika Yesus berkahwin atau mempunyai anak-anak, dia juga pasti membuat aturan agar kebajikan mereka dijaga.

  4.   Bible menyuruh para suami untuk meneladani Yesus, tetapi Bible tidak menyuruh para suami untuk meneladani cara Yesus melayan isterinya. Bible menyatakan, “Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang dan menyerahkan dirinya untuk sidang.” (Efesus 5:​25) Jika Yesus telah berkahwin, sudah pasti ayat itu mengaitkannya dengan cara Yesus melayan isterinya dan bukannya sidang Kristian.

Adakah Yesus mempunyai adik-beradik?

 Ya, Yesus mempunyai sekurang-kurangnya enam orang adik-beradik, iaitu Yakobus, Yusuf, Simon, dan Yudas, serta dua orang adik perempuan. (Matius 13:54-​56; Markus 6:3) Mereka ialah anak kandung Maria dan Yusuf. (Matius 1:​25) Bible memanggil Yesus sebagai “anak [Maria] yang sulung.” Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan bahawa Maria mempunyai anak-anak yang lain.​—Lukas 2:7.

Salah faham tentang adik-beradik Yesus

 Untuk menyokong ajaran bahawa Maria hidup sebagai perawan sepanjang hidupnya, sesetengah orang mendakwa bahawa istilah “adik-beradik” yang digunakan dalam Bible tidak membawa maksud harfiah. Sebagai contoh, ada orang yang mengatakan bahawa adik-beradik Yesus sebenarnya ialah anak-anak Yusuf daripada perkahwinannya yang sebelumnya. Tetapi Bible menunjukkan bahawa Yesus telah mewarisi hak untuk menjadi raja keturunan Daud. (2 Samuel 7:​12, 13; Lukas 1:​32) Jika Yusuf mempunyai anak-anak yang lebih tua daripada Yesus, anak sulungnya yang sepatutnya mewarisi hak untuk menjadi raja.

 Mungkinkah istilah “adik-beradik” merujuk kepada saudara-saudara rohani Yesus? Tidak, kerana Bible pernah menyatakan bahawa “adik-adik lelakinya tidak beriman kepadanya.” (Yohanes 7:5) Bible membuat perbezaan antara adik-beradik Yesus dengan murid-muridnya.​—Yohanes 2:​12.

 Menurut satu lagi teori, adik-beradik Yesus itu sebenarnya merujuk kepada sepupunya. Namun, dalam Kitab Yunani, terdapat perkataan yang berbeza untuk merujuk kepada adik lelaki atau abang, saudara-mara, dan sepupu. (Lukas 21:16; Kolose 4:​10) Banyak pakar Bible mengakui bahawa adik perempuan dan adik lelaki Yesus yang disebutkan dalam Bible merujuk kepada adik-beradiknya. Sebagai contoh, The Expositor’s Bible Commentary menyatakan, ‘Cara yang paling wajar untuk memahami istilah “adik-beradik” ialah bahawa istilah ini merujuk kepada anak-anak Yusuf dan Maria. Dengan demikian, mereka ialah adik tiri Yesus yang seibu dengannya.’ b

a Bible memang pernah menggambarkan Yesus sebagai pengantin lelaki. Tetapi daripada konteksnya, kita dapat menyimpulkan bahawa gambaran ini bersifat simbolik.​—Yohanes 3:​28, 29; 2 Korintus 11:2.

b Lihat juga buku The Gospel According to St. Mark, Edisi Kedua, oleh Vincent Taylor, muka surat 249, dan buku A Marginal Jew​—Rethinking the Historical Jesus, oleh John P. Meier, Jilid 1, muka surat 331-​332.