Lompat ke kandungan

Apakah Maksud Dilahirkan Semula?

Apakah Maksud Dilahirkan Semula?

Jawapan Bible

 Orang yang “dilahirkan semula” memiliki hubungan yang baharu dengan Tuhan. (Yohanes 3:3, 7) Mereka akan menjadi anak angkat Tuhan. (Roma 8:15, 16; Galatia 4:5; 1 Yohanes 3:1) Selepas seseorang menjadi anak angkat secara sah, statusnya akan berubah. Begitu juga, status orang yang dilahirkan semula berubah dan mereka akan menjadi sebahagian keluarga Tuhan.​—2 Korintus 6:18.

Mengapakah seseorang perlu dilahirkan semula?

 Yesus berkata, “Tiada sesiapa yang dapat melihat Kerajaan Tuhan kecuali dia dilahirkan semula.” (Yohanes 3:3) Maka, seseorang perlu dilahirkan semula agar dapat memerintah bersama Kristus dalam Kerajaan Tuhan. Kerajaan ini memerintah dari syurga, jadi mereka yang “dilahirkan semula” akan mendapat warisan yang “disimpan di syurga.” (1 Petrus 1:3, 4) Mereka diberi keyakinan bahawa mereka akan “memerintah sebagai raja” dengan Kristus.​—2 Timotius 2:12; 2 Korintus 1:21, 22.

Bagaimanakah seseorang dilahirkan semula?

 Yesus mengatakan bahawa mereka yang dilahirkan semula haruslah “dilahirkan daripada air dan daya aktif Tuhan.” (Yohanes 3:5) Hal ini bermaksud mereka akan dibaptis di dalam air dan kemudiannya dibaptis dengan daya aktif Tuhan.​—Kisah 1:5; 2:1-4.

 Yesus ialah orang pertama yang dilahirkan semula. Dia dibaptis di dalam Sungai Yordan, dan kemudiannya dia diurapi (atau, dibaptis) dengan daya aktif Tuhan. Maka, melalui daya aktif Tuhan, Yesus dilahirkan semula sebagai anak Tuhan dan memiliki harapan untuk kembali ke syurga. (Markus 1:9-11) Kemudiannya, Yesus dibangkitkan sebagai makhluk roh seperti yang dijanjikan Tuhan.​—Kisah 13:33.

 Orang lain yang dilahirkan semula juga dibaptis di dalam air sebelum mereka menerima daya aktif Tuhan. a (Kisah 2:38, 41) Setelah itu, mereka mempunyai harapan untuk dibangkitkan ke syurga seperti yang dijanjikan Tuhan.​—1 Korintus 15:42-49.

Tanggapan yang salah mengenai dilahirkan semula

 Tanggapan yang salah: Seseorang mesti dilahirkan semula untuk mendapat penyelamatan atau menjadi seorang Kristian.

 Kebenaran: Tebusan Yesus menyediakan penyelamatan bagi mereka yang dilahirkan semula untuk memerintah bersama Yesus di syurga, dan bagi rakyat Kerajaan Tuhan yang akan tinggal di bumi. (1 Yohanes 2:1, 2; Wahyu 5:9, 10) Kumpulan kedua ini mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus.​—Mazmur 37:29; Matius 6:9, 10; Wahyu 21:1-5.

 Tanggapan yang salah: Seseorang boleh memilih untuk dilahirkan semula.

 Kebenaran: Semua orang berpeluang untuk memiliki hubungan yang baik dengan Tuhan dan mendapat penyelamatan. (1 Timotius 2:3, 4; Yakobus 4:8) Namun, Tuhan memilih orang yang akan dilahirkan semula, atau yang diurapi dengan daya aktif-Nya. Menurut Bible, dilahirkan semula tidak bergantung pada ‘keinginan ataupun daya usaha seseorang. Sebaliknya, Tuhan akan membuat pilihan-Nya sendiri.’ (Roma 9:16) Ungkapan “dilahirkan semula” juga boleh disebut sebagai “dilahirkan dari atas,” maksudnya pilihan tersebut adalah “dari atas,” iaitu daripada Tuhan.​—Yohanes 3:3, ABB, nota kaki.

a Namun, situasi Kornelius dan orang bersamanya adalah berbeza.​—Kisah 10:44-48.