Lompat ke kandungan

Siapakah yang Naik ke Syurga?

Siapakah yang Naik ke Syurga?

Jawapan Bible

 Tuhan memilih segelintir orang Kristian yang setia untuk naik ke syurga. Selepas mereka mati, mereka akan dibangkitkan ke syurga. (1 Petrus 1:​3, 4) Sebaik sahaja mereka dipilih, mereka harus tetap hidup menurut ajaran dan piawaian Tuhan. Dengan itu, mereka tidak akan kehilangan kurniaan untuk naik ke syurga.​—Efesus 5:5; Filipi 3:​12-​14.

Apakah yang akan dilakukan oleh orang yang naik ke syurga?

 Mereka akan memerintah bersama Kristus sebagai raja dan imam selama 1,000 tahun. (Wahyu 5:9, 10; 20:6) Mereka akan membentuk “langit baru,” iaitu sebuah kerajaan di syurga. Kerajaan ini akan memerintah “bumi baru,” yang merupakan umat manusia. Mereka yang memerintah di syurga akan membantu memulihkan keadaan manusia menjadi sempurna, yang merupakan tujuan asal Tuhan.​—Yesaya 65:17; 2 Petrus 3:​13.

Berapakah jumlah orang yang akan dibangkitkan ke syurga?

 Bible menyatakan bahawa sebanyak 144,000 orang akan dibangkitkan ke syurga. (Wahyu 7:4) Di buku Wahyu 14:​1-3, rasul Yohanes mendapat penglihatan tentang ‘Anak Bebiri berdiri di atas Gunung Sion, bersamanya ada 144,000 orang.’ “Anak Bebiri” itu merujuk kepada Yesus yang telah dibangkitkan. (Yohanes 1:​29; 1 Petrus 1:​19) “Gunung Sion” pula merujuk kepada kedudukan tinggi yang dimiliki Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya di syurga.​—Mazmur 2:6; Ibrani 12:22.

 Mereka “yang dipanggil dan dipilih” untuk memerintah bersama Yesus merujuk kepada “kawanan kecil.” (Wahyu 17:14; Lukas 12:32) Hal ini menunjukkan bahawa jumlah orang yang dipilih untuk naik ke syurga hanya sedikit berbanding dengan biri-biri Yesus yang lain.​—Yohanes 10:16.

Tanggapan yang salah mengenai orang yang naik ke syurga

 Tanggapan yang salah: Semua orang yang baik naik ke syurga.

 Kebenaran: Tuhan berjanji bahawa kebanyakan orang yang baik akan mempunyai harapan untuk hidup kekal di bumi.​—Mazmur 37:11, 29, 34.

  •   Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang naik ke syurga.” (Yohanes 3:​13) Hal ini menunjukkan bahawa orang baik yang meninggal sebelum kematian Yesus tidak pergi ke syurga. Misalnya, Abraham, Musa, Ayub, dan Daud. (Kisah 2:29, 34) Sebaliknya, mereka memiliki harapan untuk dibangkitkan di bumi.​—Ayub 14:13-​15.

  •   Pembangkitan ke syurga dipanggil sebagai “pembangkitan yang pertama.” (Wahyu 20:6) Hal ini menunjukkan bahawa terdapat satu lagi pembangkitan yang akan berlaku, iaitu pembangkitan di bumi.

  •   Bible mengajar bahawa apabila Kerajaan Tuhan memerintah, “kematian tidak akan ada lagi.” (Wahyu 21:​3, 4) Janji ini harus berlaku di bumi kerana kematian tidak pernah wujud di syurga.

 Tanggapan yang salah: Setiap orang memilih sama ada dia ingin hidup di syurga atau di bumi.

 Kebenaran: Tuhanlah yang memilih orang Kristian yang setia untuk “menerima kehidupan di syurga.” (Filipi 3:​14) Keinginan atau cita-cita seseorang tidak akan mempengaruhi sama ada dia dipilih atau tidak.​—Matius 20:20-​23.

 Tanggapan yang salah: Harapan untuk hidup kekal di bumi adalah kurang bernilai. Harapan ini hanya diberikan kepada orang yang tidak layak naik ke syurga.

 Kebenaran: Tuhan memanggil orang yang memiliki harapan untuk hidup kekal di bumi sebagai “umat-Ku.” Mereka ialah umat pilihan Tuhan dan yang ‘diberkati-Nya.’ (Yesaya 65:21-23) Yehuwa ingin manusia menikmati kehidupan abadi dalam keadaan yang sempurna di bumi. Mereka yang memiliki harapan ini berpeluang memenuhi tujuan asal Tuhan.​—Kejadian 1:​28; Mazmur 115:16; Yesaya 45:18.

 Tanggapan yang salah: Angka 144,000 yang dinyatakan dalam buku Wahyu dianggap simbolik, bukannya harfiah.

 Kebenaran: Meskipun buku Wahyu mengandungi angka-angka simbolik, sesetengah angka dalam buku itu membawa maksud harfiah. Contohnya, buku Wahyu menyebut tentang “12 nama, iaitu nama 12 orang rasul Anak Bebiri.” (Wahyu 21:14) Perhatikan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa angka 144,000 patut dianggap secara harfiah.

 Di Wahyu 7:4 menyatakan,“mereka yang dimeterai itu [atau yang mendapat kehidupan di syurga] berjumlah 144,000 orang.” Namun, dalam bab yang sama juga ada menyebut tentang kumpulan kedua, iaitu “kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun.” Mereka yang tergolong dalam “kumpulan besar” juga akan diselamatkan oleh Tuhan. (Wahyu 7:​9, 10) Jika angka 144,000 bukan angka yang harfiah dan merujuk kepada suatu kumpulan yang tiada jumlah tertentu, maka perbandingan antara jumlah dua kumpulan ini tidak lagi masuk akal. a

 Selain itu, Bible menyatakan bahawa 144,000 orang “dibeli daripada kalangan umat manusia sebagai hasil pertama.” (Wahyu 14:4) Ungkapan “hasil pertama” merujuk kepada sejumlah kecil orang yang dipilih. Hal ini tepat menggambarkan bahawa mereka yang menyertai Yesus di syurga akan memerintah manusia yang tidak terhitung banyaknya di bumi.​—Wahyu 5:​10.

a Tambahan pula, Profesor Robert L. Thomas menulis mengenai angka 144,000 yang dicatatkan di Wahyu 7:4, “Suatu angka yang spesifik telah dicatatkan dalam ayat ini, manakala tiada angka yang disebutkan bagi kumpulan yang tercatat di Wahyu 7:9. Jika angka 144,000 ini dianggap secara simbolik, tiada angka dalam buku Wahyu yang dapat dianggap secara harfiah.”​—Wahyu 1-7: An Exegetical Commentary, muka surat 474.