Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Bercakap kepada Anak-Anak tentang Isu Perkauman

Bercakap kepada Anak-Anak tentang Isu Perkauman

 Sejak kecil, anak anda mungkin perhatikan bahawa sesetengah orang layan orang lain secara berbeza mengikut warna kulit atau kewarganegaraan. Bagaimana anda dapat bantu anak anda agar tidak terpengaruh oleh prasangka sebegini? Apa yang dapat anda lakukan jika anak anda dilayan dengan buruk kerana dia ialah kaum tertentu?

Dalam rencana ini

 Cara bercakap dengan anak tentang pelbagai kaum

 Apa yang boleh anda jelaskan. Di seluruh dunia, terdapat pelbagai adat dan rupa dalam kalangan manusia. Kepelbagaian ini menyebabkan sesetengah orang layan orang lain dengan buruk berdasarkan rupa atau kelakuan mereka.

 Namun, Bible ajar bahawa semua manusia ada nenek moyang yang sama. Dalam kata lain, kita semua bersaudara.

“Daripada seorang manusia, [Tuhan] menjadikan semua bangsa.”Kisah 17:26.

 “Kami dapati semasa anak-anak kami bergaul dengan orang dari pelbagai latar belakang, mereka lihat sendiri bahawa setiap orang layak dilayan dengan kasih dan hormat.”—Karen.

 Cara jelaskan isu perkauman kepada anak-anak

 Lambat laun, anak anda akan dengar berita tentang ketidakadilan dan jenayah akibat kebencian terhadap kaum lain. Bagaimana anda dapat jelaskan apa yang berlaku? Anda dapat jelaskan dalam cara yang berbeza bergantung pada umur anak anda.

  •   Umur 3-5 tahun. “Budak kecil memang tahu apa yang adil dan apa yang tidak adil. Ini membuka peluang yang baik untuk cakap tentang ketidakadilan,” kata Dr. Allison Briscoe-Smith, yang dipetik dalam majalah Parents.

“Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”Kisah 10:34, 35.

  •   Umur 6-12 tahun. Kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun memang ada perasaan ingin tahu yang kuat. Kadang-kadang mereka tanya soalan yang susah dijawab. Cubalah jawab sebaik yang mungkin. Cakap dengan anak tentang apa yang mereka lihat di sekolah dan media massa. Ini ialah peluang untuk anda jelaskan bahawa prasangka terhadap kaum lain adalah salah.

“Hendaklah kamu semua seia sekata, menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati.”1 Petrus 3:8.

  •   Umur 13-19 tahun. Orang muda pada peringkat umur ini dapat faham isu yang lebih rumit. Jadi, ini peluang yang baik bagi anda untuk bincang berita tentang prasangka terhadap kaum lain.

“Daya penilaian [orang matang] sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.”Ibrani 5:14.

 “Kami bercakap dengan anak tentang isu perkauman kerana lambat laun mereka akan alaminya, tidak kira di mana mereka tinggal. Jika tidak, mereka mungkin mula berfikir seperti orang lain yang berprasangka. Orang boleh beri banyak maklumat palsu kepada anak-anak kami dan kata itu adalah benar.”—Tanya.

 Cara menjadi teladan

 Anak-anak belajar melalui teladan. Jadi, sangat penting bagi anda sebagai ibu bapa untuk fikir baik-baik tentang kata-kata dan kelakuan sendiri. Contohnya:

  •   Adakah anda berjenaka tentang orang dari bangsa lain atau hina mereka? “Anak-anak anda melihat kelakuan dan dengar kata-kata anda. Secara semula jadi mereka ikut contoh anda,” kata Akademi Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Amerika Syarikat.

  •   Adakah anda suka bergaul dengan orang dari negara lain? Seorang doktor kanak-kanak, Alanna Nzoma berkata, “Jika anda ingin anak anda untuk . . . memiliki hubungan [baik] dengan orang dari pelbagai latar belakang, mereka juga seharusnya lihat anda berbuat demikian.”

“Hormatilah segala macam orang.”1 Petrus 2:17.

 “Selama bertahun-tahun, keluarga kami melayan tetamu yang datang dari serata dunia. Kami belajar tentang makanan serta muzik mereka, dan bahkan memakai pakaian tradisional mereka. Semasa bercakap dengan anak-anak tentang orang lain, kami tidak bertumpu pada bangsa mereka. Kami juga tidak membangga-banggakan budaya sendiri.”—Katarina.

 Jika anak anda menjadi mangsa prasangka kaum

 Walaupun ramai orang bercakap tentang layanan sama rata, isu perkauman masih berleluasa. Hal ini bermaksud bahawa anak anda mungkin akan dilayan dengan tidak baik, terutamanya jika dia dianggap sebahagian daripada kumpulan minoriti. a Jika hal itu berlaku . . .

 Dapatkan fakta-faktanya. Adakah orang itu sengaja, atau dia semata-mata bercakap tanpa berfikir? (Yakobus 3:2) Adakah orang itu perlu bertanggungjawab atas kelakuannya? Atau, bolehkah kejadian itu dilupakan?

 Jelaslah, anda perlu munasabah. Bible memberi nasihat yang bijak ini, “Jangan cepat tersinggung.” (Pengkhutbah 7:9) Isu perkauman tidak patut diremehkan. Namun, ini tidak bermaksud bahawa setiap kali anda rasa seseorang hina atau layan anda dengan tidak adil, itu adalah kerana dia benci bangsa anda.

 Sudah tentu, setiap keadaan adalah berbeza. Maka, kenal pasti apa yang benar-benar berlaku sebelum anda buat keputusan untuk ambil tindakan.

“Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.”Amsal 18:13.

 Selepas dapatkan fakta-faktanya, tanyalah diri:

  •   “Jika anak saya anggap bahawa semua orang berprasangka terhadapnya, adakah hal ini bermanfaat baginya?”

  •   “Bolehkah anak saya mendapat manfaat dengan ikut nasihat Bible ini, ‘Janganlah ambil hati terhadap setiap kata yang diucapkan orang’?”—Pengkhutbah 7:21.

“Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui.”Filipi 4:5.

 Bagaimana jika orang itu nampaknya sengaja? Bantu anak anda sedar bahawa situasi boleh jadi lebih baik atau buruk bergantung pada tindak balasnya. Kadangkala seseorang ejek, buli, atau hina orang lain untuk lihat apa reaksinya. Dalam situasi sebegitu, mungkin lebih baik jika tiada reaksi langsung.

“Tanpa kayu, api padam.”Amsal 26:20.

 Namun, jika selamat, anak anda boleh cuba bercakap dengan orang yang membulinya. Mungkin anak anda boleh kata (dalam cara yang tenang), “Saya rasa, apa yang kamu katakan (atau lakukan) itu tidak baik.”

 Bagaimana jika anda ingin melaporkan kejadian itu? Jika keadaan adalah berbahaya bagi anak anda, atau anda rasa hal ini tidak patut dibiarkan atas sebab tertentu, bercakaplah dengan pihak sekolah atau bahkan pihak polis jika perlu.

a Orang daripada kumpulan minoriti dianggap berbeza daripada kebanyakan orang atas sebab agama, kewarganegaraan, warna kulit, adat, atau ciri-ciri lain.