Lompat ke kandungan

“Saya Sedang Tunggu Kamu Menelefon Saya”

“Saya Sedang Tunggu Kamu Menelefon Saya”

 Ed dan isterinya, Jennie, cuba melakukan kesaksian telefon buat kali pertama pada tahun 2010. a “Saya langsung tidak suka kesaksian telefon,” kata Jennie. “Saya beritahu suami saya, ‘Saya tidak akan buat kesaksian telefon lagi!’” Ed juga tidak menikmati kesaksian telefon. Dia menjelaskan, “Saya tidak suka orang menelefon saya dan jual barang. Jadi saya rasa susah untuk memberikan kesaksian menerusi telefon.”

 Semasa pandemik COVID-19, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menginjil dari rumah ke rumah. Tetapi mereka masih berusaha mematuhi perintah Yesus untuk menyebarkan berita baik. Jadi, sebahagian besar kerja penyebaran mereka dilakukan menerusi surat dan telefon. (Matius 24:14; 28:19, 20) Semasa pandemik, perjumpaan Kristian, termasuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran, diadakan menerusi persidangan video. Semasa menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran, Ed memberanikan diri untuk mencuba kesaksian telefon lagi. Apakah perasaannya semasa hendak menelefon orang? Dia berkata, “Saya begitu gementar sehingga berdoa meminta bantuan Yehuwa! Kemudian, saya dail nombor yang diberikan. Tyrone telah menjawab panggilan saya.” b

 Tyrone dan isterinya, Edith, tinggal di kawasan terpencil di Kentucky, A.S. Tyrone berumur 83 tahun dan ada masalah penglihatan. Meskipun demikian, dia sudi belajar Bible dengan Ed. Dia menggunakan kanta pembesar untuk membaca bahan pembelajaran dan belajar Bible secara tetap dengan Ed menerusi telefon.

 Kira-kira sebulan kemudian, Tyrone dan Edith mula menghadiri perjumpaan. Namun, mereka tidak mempunyai sambungan Internet, maka mereka mendengar perjumpaan menerusi telefon. Mengapakah Edith juga berminat tentang kebenaran?

 Semasa membincangkan Bible dengan Tyrone, Ed dan Jennie dapat mendengar suara Edith semasa dia membantu Tyrone mencari jawapan dan membuka ayat Bible. Tetapi itu sahaja yang dilakukan Edith. Dia tidak pernah berkata bahawa dia pun mahu belajar. Jennie berkata, “Dia kedengaran sangat sedih, tetapi saya dan Ed tidak tahu mengapa.”

Ed dan Jennie memberikan kesaksian menerusi telefon

 Suatu hari, Jennie berasa bahawa dia harus bercakap kepada Edith. Dia menantikan masa yang sesuai, meminta fon daripada Ed, dan berkata, “Tyrone, saya dapat dengar suara isterimu. Bolehkah saya jemput dia untuk membaca satu ayat Bible atau kata sesuatu?”

 Seketika kemudian, Edith mula bercakap dengan lembut, “Sebenarnya sudah agak lama saya mahu bercakap dengan kamu. Saya pun seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dan saya sudah tidak aktif selama 40 tahun.”

 Jennie hampir tidak percaya apa yang didengarnya. “Kamu saudariku!” ujarnya. Mereka berdua mula menangis.

 Tidak lama kemudian, Ed memberi Edith brosur Kembalilah kepada Yehuwa. Dalam beberapa minggu berikutnya, Ed dan Jennie mendapati Edith sudah berubah. Ed berkata, “Pada mulanya, suara Edith kedengaran pedih dan pilu. Tetapi sekarang dia kembali bersemangat.” Edith membuat kemajuan rohani dengan baik, dan kini dia seorang penyiar yang aktif dan gembira. Suaminya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada Julai 2022.

 Memikir kembali sikapnya dahulu terhadap kesaksian telefon, Ed teringat satu perbualannya bersama Tyrone. Selepas Ed membacakan Yohanes 6:44 dan menjelaskan bahawa Yehuwa memimpin orang kepada kebenaran, Tyrone setuju dengan kata-kata Ed. Kemudian, Tyrone berkata, “Saya sedang tunggu kamu menelefon saya.” Jennie gembira kerana dia dan suaminya memberanikan diri untuk memberikan kesaksian menerusi telefon. Dia berkata, “Yehuwa memberkati usaha kita.”

a Semasa menjalankan kerja penyebaran, Saksi-Saksi Yehuwa selalu mentaati undang-undang perlindungan data yang ditetapkan.

b Sesetengah nama telah diubah.