Lompat ke kandungan

Mereka Terus Menginjil semasa Pandemik

Mereka Terus Menginjil semasa Pandemik

 Semasa pandemik COVID-19, saudara saudari kita telah menyesuaikan cara mereka mengongsi mesej Bible yang membawa kelegaan. Sebelum ini, mereka menginjil melalui kesaksian awam atau dari rumah ke rumah. Tetapi sekarang, mereka sering kali menginjil menerusi telefon dan menulis surat. a Banyak orang menghargai usaha yang dicurahkan mereka dan Yehuwa juga telah memberkati mereka. (Amsal 16:3, 4) Perhatikan beberapa pengalaman daripada sebuah negara kepulauan.

 Sebelum pandemik, Helen mengunjungi seorang wanita muda secara tetap dan menawarkan pembelajaran Bible kepadanya. Namun wanita itu sering menolak tawarannya. Sehari sebelum sekatan pergerakan dikenakan kerana COVID-19, Helen memberi wanita itu sebuah Bible dan buku Apakah yang Diajarkan Bible? Semasa sekatan pergerakan bermula, Helen menawarkan pembelajaran Bible lagi kepadanya dan menjelaskan bahawa mereka boleh belajar menerusi telefon. Kali ini, wanita itu sudi menerima tawaran Helen. Dia sangat menikmati pembelajaran Bible dan meminta agar Helen mengajarnya setiap hari! Dia juga menghadiri perjumpaan melalui telefon secara tetap. Dia bukan sahaja menerapkan ajaran Bible, tetapi dia juga mengongsi apa yang dipelajarinya dengan orang lain.

 Beberapa orang Saksi di sebuah sidang telah menulis surat kepada para pegawai polis untuk mengungkapkan penghargaan atas khidmat mereka kepada masyarakat. Polis-polis di sana terkejut menerima surat mereka. Seorang polis berjumpa dengan Jefferson, yang merupakan seorang penatua, dan berkata, “Saya fikir Saksi-Saksi Yehuwa tidak suka polis.” Jefferson menjelaskan kepadanya bahawa hal itu tidak benar. Polis itu sangat suka dengan kandungan surat itu sehingga mereka melekatkan surat itu di pintu masuk balai polis. Seorang lagi polis berkata, “Surat ini dapat membantu orang lain ada pandangan yang positif tentang kami.”

 Edna dan Ednalyn ialah perintis biasa. b Mereka tidak dapat menyertai perjumpaan menerusi persidangan video kerana mereka tiada Internet. Jadi mereka menghubungi jiran mereka, seorang wanita yang bukan Saksi, dan bertanya jika mereka boleh menggunakan Wi-Fi miliknya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka akan berkongsi bayar bil Wi-Fi. Wanita itu dengan baik hati membenarkan mereka menggunakan Wi-Fi secara percuma. Apabila Edna dan Ednalyn menjemput dia menyertai perjumpaan, dia pun hadir. Kini, wanita itu dan salah seorang anaknya serta dua cucunya sedang belajar Bible bersama para Saksi. Mereka juga menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap.

 Saudara saudari tempatan menjemput jiran-jiran mereka, rakan sekerja, dan orang lain untuk mendengar ceramah umum yang disampaikan melalui persidangan video. Ellaine, yang bekerja di sebuah hospital, pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menjemput rakan sekerjanya. Dia berfikir bahawa sesetengah doktor mungkin ada pandangan yang negatif terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Meskipun begitu, dia menghantar SMS untuk menjemput doktor-doktor di hospital. Namun, Ellaine khasnya berasa ragu-ragu untuk menjemput sepasang suami isteri yang merupakan doktor di sana. Selepas membuat perenungan dan berdoa tentang hal itu, dia pun menghantar SMS untuk menjemput mereka. Isteri itu membalas, “Jadi kamu mahu saya ikut agama kamu?” Ellaine menjelaskan bahawa perjumpaan itu terbuka kepada semua orang, bukan hanya untuk Saksi-Saksi Yehuwa. Pada keesokan hari, Ellaine terkejut kerana pasangan doktor itu menyertai perjumpaan! Ellaine berkata, “Sebelum perjumpaan itu berakhir, isteri itu SMS saya dan kata, ‘Ini kali pertama saya hadir perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya sangat suka. Terima kasih kerana jemput saya.’”

Ellaine

 Ellaine telah menjemput sebanyak 20 orang doktor dan 16 daripada mereka menghadiri perjumpaan. Dia memetik kata-kata Rasul Paulus sambil berkata, “Saya gembira saya memupuk ‘keberanian’ untuk memberitahu rakan sekerja saya ‘berita baik tentang Tuhan.’”—1 Tesalonika 2:2.

 Banyak orang berasa susah akibat pandemik ini. Namun, saudara saudari kita di kepulauan ini dan di tempat-tempat lain dapat tetap bersukacita dan mempunyai pandangan yang positif. Hal ini kerana mereka berusaha mengongsi berita yang membawa kelegaan dan membantu orang lain.—Kisah 20:35.

a Semasa menjalankan kerja penyebaran, Saksi-Saksi Yehuwa selalu mentaati undang-undang perlindungan data yang ditetapkan.

b Perintis ialah penginjil sepenuh masa.