Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Saya Cepat Naik Angin”

“Saya Cepat Naik Angin”
  • Tahun Lahir: 1975

  • Negara Asal: Mexico

  • Latar Belakang: Ganas; banduan

KISAH SILAM SAYA

 Saya dilahirkan di San Juan Chancalaito, sebuah pekan kecil di negeri Chiapas, Mexico. Keluarga saya merupakan suku Chol, keturunan kaum Maya. Ibu bapa saya mempunyai 12 orang anak dan saya ialah anak yang kelima. Ketika masih kecil, saya dan adik-beradik belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Namun semasa remaja, saya tidak menerapkan nasihat Bible.

 Ketika berumur 13 tahun, saya mengambil dadah dan mencuri barang orang. Pada masa itu, saya sudah meninggalkan rumah dan hidup berpindah-randah. Saya mula bekerja di ladang ganja semasa berumur 16 tahun. Hampir setahun saya bekerja di sana. Pernah sekali semasa kami menggunakan bot untuk mengangkut sejumlah besar ganja pada sebelah malam, kami diserang oleh kartel atau kumpulan pengeluar dadah yang merupakan musuh. Mereka dilengkapi dengan senjata. Untuk mengelak daripada ditembak, saya melompat ke dalam sungai dan berenang sampai ke hilir. Selepas itu, saya larikan diri ke Amerika Syarikat.

 Di sana, saya meneruskan aktiviti menyeludup dadah dan menimbulkan lebih banyak masalah. Ketika berumur 19 tahun, saya ditangkap dan dihukum penjara kerana merompak dan mencuba untuk membunuh orang. Semasa di penjara pula, saya menyertai sebuah geng dan melakukan lebih banyak perbuatan ganas. Akibatnya, saya dipindahkan ke penjara yang dikawal ketat di Lewisburg, Pennsylvania.

 Semasa dalam penjara Lewisburg, tingkah laku saya menjadi semakin teruk. Saya senang menyertai semula geng yang saya ikuti di penjara sebelumnya kerana badan saya sudah pun bertatu gengster. Saya menjadi semakin ganas, dan asyik terlibat dalam pergaduhan. Pernah sekali semasa dalam penjara, saya terlibat dalam suatu pergaduhan ganas dengan gengster lain. Kami menggunakan kayu pemukul besbol dan peralatan angkat berat. Untuk meleraikan pergaduhan kami, pengawal penjara menggunakan gas pemedih mata. Kemudian, saya dihantar ke penjara yang khas untuk banduan berbahaya. Saya cepat naik berang dan menggunakan kata-kata yang biadab. Menumbuk orang merupakan perkara biasa bagi saya. Saya berasa seronok berbuat demikian, dan langsung tidak menyesal atas perbuatan saya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Semasa di penjara khas tersebut, hampir sepanjang hari saya dikurung di dalam sel. Jadi, untuk mengisi masa lapang, saya pun mula membaca Bible. Tidak lama kemudian, seorang pengawal memberi saya sebuah buku yang bertajuk, “You Can Live Forever in Paradise on Earth.” a Semasa membaca buku itu, saya teringat semula perkara-perkara yang telah saya pelajari bersama para Saksi ketika masih kecil. Saya merenungkan betapa jauhnya saya tersimpang kerana sifat ganas saya. Saya juga memikirkan keluarga saya. Kakak dan adik perempuan saya sudah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Saya pun berfikir, “Mereka akan dapat hidup selama-lamanya. Bagaimana pula dengan saya?” Sejak saat itu, saya bertekad untuk membuat perubahan.

 Namun saya sedar bahawa saya memerlukan bantuan untuk berubah. Pertama sekali, saya berdoa kepada Tuhan Yehuwa dan merayu agar Dia membantu saya. Kemudian, saya menulis surat kepada pejabat cawangan di Amerika Syarikat untuk mendapatkan pembelajaran Bible. Pejabat cawangan mengaturkan salah satu sidang berhampiran untuk menghubungi saya. Pada masa itu, pelawat yang bukan ahli keluarga saya tidak dibenarkan untuk melawat saya. Maka, seorang Saksi daripada sidang itu mengirim bahan bacaan Bible dan surat-surat untuk menggalakkan saya. Hal itu telah membuat saya lebih bertekad untuk berubah.

 Saya telah membuat keputusan besar untuk meninggalkan kumpulan gengster yang sudah saya sertai selama bertahun-tahun. Pada masa itu, ketua kumpulan gengster saya juga berada di penjara khas tersebut. Jadi semasa waktu berekreasi, saya memberitahu dia bahawa saya ingin menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Saya terkejut apabila dia berkata, “Kalau itu benar-benar keputusan kamu, baiklah. Saya tidak dapat lawan dengan Tuhan. Tetapi kalau kamu hanya mahu keluar daripada kumpulan ini, kamu tahu apa akibatnya.”

 Selama dua tahun, pegawai penjara nampak bahawa terdapat perubahan dalam keperibadian saya. Hasilnya, mereka bertimbang rasa terhadap saya. Misalnya, apabila tiba masanya untuk mandi, mereka tidak lagi menggari tangan saya semasa mengiring saya keluar dari penjara. Bahkan salah seorang pengawal juga datang memberitahu saya untuk meneruskan usaha saya yang baik. Semasa tahun terakhir saya di penjara, pegawai penjara telah memindahkan saya ke sebuah kem yang tidak dikawal ketat, yang berhampiran dengan penjara utama. Selepas 10 tahun dipenjarakan, saya telah dibebaskan pada tahun 2004 dan dihantar ke Mexico menggunakan bas banduan.

 Sebaik sahaja saya tiba di Mexico, saya dapat mencari sebuah Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya menghadiri perjumpaan buat kali pertama dengan memakai pakaian seragam penjara. Itulah satu-satunya baju terbaik yang saya miliki pada masa itu. Meskipun demikian, para Saksi menyambut saya dengan begitu ramah sekali tanpa menghiraukan penampilan saya. Semasa melihat kebaikan hati mereka, saya berasa bahawa saya berada dalam kalangan orang Kristian yang sejati. (Yohanes 13:35) Pada perjumpaan tersebut, para penatua telah mengaturkan agar saya mendapatkan pembelajaran Bible. Setahun kemudian, pada 3 September 2005, saya telah dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

 Pada Januari 2007, saya mula menceburi khidmat sepenuh masa dengan meluangkan 70 jam setiap bulan untuk mengajar orang tentang Bible. Pada tahun 2011, saya mendapat lulusan Sekolah Bible untuk Saudara Bujang (yang kini dipanggil sebagai Sekolah Latihan Penginjil). Sekolah ini telah membantu saya untuk melaksanakan tanggungjawab di sidang dengan baik.

Kini saya gembira mengajar orang untuk hidup damai

 Pada tahun 2013, saya mengahwini Pilar, isteri kesayangan saya. Dia berkata sambil berjenaka bahawa dia berasa susah untuk percaya apabila mendengar tentang kisah silam saya. Saya sudah meninggalkan haluan lampau saya. Saya dan isteri percaya bahawa sememangnya kuasa Bible yang menyebabkan perubahan berlaku dalam diri saya.​—Roma 12:2.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Saya berasa bahawa kata-kata Yesus di Lukas 19:10 menjadi kenyataan pada diri saya. Dalam ayat itu Yesus berkata, ‘Aku datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.’ Kini, hidup saya tidak lagi tanpa hala tujuan. Saya juga tidak lagi menyakiti orang. Saya bersyukur kerana Bible telah membantu saya menikmati tujuan hidup yang terbaik. Saya juga belajar untuk berurusan dengan orang dalam cara yang damai. Yang penting sekali, saya dapat menikmati hubungan yang baik dengan Pencipta saya iaitu Yehuwa.

[NOTA KAKI]

a Buku ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa tetapi tidak dicetak lagi. Kini, bahan pembelajaran Bible mereka yang utama ialah buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!