Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Kehidupan Saya Makin Hari Makin Teruk

Kehidupan Saya Makin Hari Makin Teruk
  • TAHUN LAHIR: 1952

  • NEGARA ASAL: AMERIKA SYARIKAT

  • DAHULU DIA: PANAS BARAN

MASA LALU SAYA:

Saya membesar di Los Angeles, California, A.S., di kawasan yang terkenal dengan gengster dan penagih dadah. Saya ialah anak kedua daripada enam orang adik-beradik.

Sejak kecil lagi, ibu membawa kami ke gereja evangelis. Namun semasa remaja, saya hidup bermuka dua. Saya menyertai koir gereja, tetapi saya juga berparti, menagih dadah, dan melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.

Saya panas baran dan ganas. Semasa bergaduh, saya akan menggunakan apa-apa sahaja sebagai senjata. Apa yang dipelajari di gereja tidak membantu. Saya selalu berkata, “Tuhan akan membalas dendam dan sayalah wakil-Nya!” Pada akhir 1960-an, semasa di sekolah menengah, saya mengagumi sebuah kumpulan politik yang sering menggunakan keganasan untuk menyuarakan isu hak sivil. Maka saya menyertai sebuah kesatuan pelajar yang memperjuangkan hak sivil. Kami sering mengadakan tunjuk perasaan, dan setiap kali, sekolah terpaksa ditutup buat sementara.

Tetapi saya masih tidak puas. Maka saya melakukan jenayah. Contohnya, semasa menonton wayang tentang abdi Afrika yang ditindas di Amerika, saya dan kawan-kawan begitu berang sehingga mula memukul pemuda orang putih di situ. Kemudian kami pergi ke kawasan orang putih untuk membelasah lebih ramai mangsa.

Pada usia lewat belasan tahun, saya, abang, dan adik lelaki saya melakukan banyak jenayah. Kami selalu ditahan pihak berkuasa. Salah seorang adik saya menyertai kumpulan kongsi gelap, dan saya pun ikut serta. Kehidupan saya makin hari makin teruk.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Ibu bapa seorang kawan saya ialah Saksi-Saksi Yehuwa, dan mereka menjemput saya untuk menghadiri perjumpaan. Saya nampak bahawa Saksi Yehuwa sangat berbeza. Semua orang menggunakan Bible semasa perjumpaan. Orang muda pun pandai menyampaikan ceramah. Saya sangat gembira mengetahui nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Mereka sering menyebut nama itu. (Mazmur 83:19; Kejadian 2:4, nota kaki) Walaupun ahli sidang terdiri daripada pelbagai kaum, mereka semua bersatu padu.

Saya suka menghadiri perjumpaan, tetapi saya masih tidak mahu belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada suatu malam, saya menghadiri perjumpaan, manakala kawan-kawan saya pergi ke konsert. Di sana, mereka memukul seorang pemuda hingga mati kerana dia enggan menyerahkan jaketnya. Keesokan hari, mereka bercakap besar tentang pembunuhan itu. Semasa di mahkamah, mereka meremehkan perbuatan itu. Kebanyakan daripada mereka dipenjarakan seumur hidup. Saya sangat bersyukur kerana tidak mengikut mereka pada malam itu. Maka saya bertekad untuk mengubah cara hidup saya, dan mula belajar Bible.

Bagi saya, prasangka antara kaum memang lumrah hidup. Jadi saya sangat kagum dengan para Saksi. Misalnya, semasa seorang saudara berkulit putih pergi ke luar negara, sebuah keluarga Saksi yang berkulit hitam telah menjaga anak-anaknya. Selain itu, sebuah keluarga Saksi yang berkulit putih telah menawarkan tempat tinggal kepada seorang pemuda berkulit hitam. Semua itu meyakinkan saya bahawa Saksi-Saksi Yehuwa mengikut nasihat Yesus di Yohanes 13:35: “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” Saya yakin saya telah menemui persaudaraan yang sejati.

Semasa mengkaji Bible, saya sedar bahawa fikiran saya perlu diubah. Saya bukan sahaja perlu menjauhi keganasan, saya juga perlu menganggap kedamaian sebagai haluan yang terbaik. (Roma 12:2) Saya membuat kemajuan secara beransur-ansur. Pada Januari 1974, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

Saya bukan sahaja perlu menjauhi keganasan, saya juga perlu menganggap kedamaian sebagai haluan yang terbaik

Selepas dibaptis, saya masih perlu mengawal kemarahan saya. Pernah sekali, semasa saya menginjil, radio kereta saya dicuri. Saya mengejar pencuri itu, dan apabila saya menghampirinya, dia meninggalkan radio itu lalu melarikan diri. Semasa saya menceritakan hal itu kepada saudara saudari, seorang penatua bertanya, “Stephen, jika kamu berjaya menangkap pencuri itu, apa yang akan kamu buat?” Soalan itu merangsang fikiran saya dan mendorong saya untuk berusaha berdamai dengan orang.

Pada Oktober 1974, saya menceburi khidmat sepenuh masa, dan meluangkan 100 jam sebulan untuk mengajar orang tentang Bible. Kemudian, saya berpeluang berkhidmat di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn, New York. Namun pada tahun 1978, saya kembali ke Los Angeles untuk menjaga ibu saya yang sakit. Dua tahun kemudian, saya mengahwini Aarhonda. Dia banyak membantu, dan kami menjaga ibu saya sehingga akhir hayatnya. Selepas itu, saya dan Aarhonda menghadiri Sekolah Gilead, lalu diutus ke Panama sebagai mubaligh.

Sejak dibaptis, terdapat beberapa situasi yang menyebabkan saya marah. Jika orang lain cuba membangkit kemarahan saya, saya akan cuba menanganinya dengan beredar atau menangani situasi itu dengan cara lain. Banyak orang, termasuk isteri saya, telah memuji saya kerana menangani situasi yang mencabar dengan baik. Saya sendiri pun hairan melihat perubahan ini! Saya percaya bahawa hal ini berlaku bukan kerana usaha sendiri, tetapi kerana Bible memang mempunyai kuasa untuk mengubah hidup.—Ibrani 4:12.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Setelah mempelajari Bible, hidup saya menjadi lebih bermakna, dan saya dibantu agar benar-benar mencintai kedamaian. Saya tidak lagi memukul orang, tetapi saya membantu mereka mendapat kebenaran. Saya bahkan berpeluang belajar Bible dengan seorang rakan sekolah yang dahulunya musuh saya. Selepas dia dibaptis, kami pernah menjadi teman sebilik. Sehingga hari ini, kami masih kawan baik. Setakat ini, saya dan isteri telah membantu lebih daripada 80 orang untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Hati saya berlimpah dengan rasa syukur kepada Yehuwa. Dia membolehkan saya menikmati hidup yang bermakna dan bahagia bersama saudara saudari.