Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Keselamatan Perempuan​—Pandangan Bible

Keselamatan Perempuan​—Pandangan Bible

 Berjuta-juta perempuan di seluruh dunia pernah didera. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Belajarlah mengapa keselamatan anda penting bagi Tuhan dan apa yang akan Dia lakukan tentang hal-hal buruk yang dialami perempuan.

 “Semasa saya kecil, abang saya mendera saya secara fizikal. Dia juga menghina saya setiap hari. Selepas saya berkahwin, ibu mentua saya juga melakukan hal yang sama. Dia dan bapa mentua saya melayan saya seperti hamba abdi. Saya bergelut dengan perasaan ingin bunuh diri.”—Madhu, a India.

 “Keganasan terhadap perempuan ialah satu masalah yang biasa berlaku di seluruh dunia,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Statistik menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada tiga perempuan mengalami keganasan fizikal atau seksual dalam kehidupan mereka.

 Jika hal-hal ini pernah berlaku kepada anda, anda mungkin rasa keselamatan anda selalu terancam. Anda juga mungkin risau akan selalu menjadi mangsa hinaan, penderaan, atau keganasan seksual. Oleh sebab kejadian seperti ini sering menimpa perempuan, anda mungkin rasa kebanyakan orang tidak peduli tentang kesejahteraan perempuan. Tapi fikirkan soalan ini, “Adakah golongan perempuan penting di mata Tuhan?”

Bible menunjukkan bahawa keselamatan perempuan amat penting bagi Tuhan

Apakah pandangan Tuhan terhadap perempuan?

 Ayat Bible: “Tuhan menciptakan . . . lelaki dan perempuan.”—Kejadian 1:27.

 Maksud: Memandangkan Tuhan telah menciptakan lelaki dan perempuan, Dia ingin kedua-dua golongan ini dihormati. Selain itu, Tuhan juga mahu suami “mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Maka, para suami tidak patut mengawal isteri atau bersikap kasar dari segi kata-kata mahupun perbuatan. (Efesus 5:33; Kolose 3:19) Jelaslah, keselamatan perempuan sangat penting bagi Tuhan.

 “Semasa kecil, saya didera secara seksual oleh saudara-mara saya. Semasa saya berumur 17 tahun, majikan saya ugut untuk pecat saya kalau saya tidak melakukan hubungan seks dengan dia. Semasa dewasa pula, saya selalu dipandang rendah oleh suami saya, ibu bapa, dan jiran-jiran saya. Tetapi, apabila saya belajar tentang Yehuwa, b iaitu Pencipta kita, saya sedar bahawa Dia sangat menghormati para wanita. Ini meyakinkan saya bahawa Tuhan mengasihi saya dan saya sangat bernilai di mata-Nya.”—Maria, Argentina.

Apakah yang dapat bantu anda mula pulih secara emosi?

 Ayat Bible: “Ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.”—Amsal 18:24.

 Maksud: Kawan yang sejati akan menyokong anda. Maka, kongsilah perasaan anda dengan seseorang yang anda percaya jika anda rasa hal itu dapat meringankan beban anda.

 “Selama 20 tahun, saya tidak beritahu sesiapa pun yang saya pernah dicabul. Ini buat saya jadi tidak gembira, semakin khuatir, dan murung. Tapi saya beritahu pengalaman pahit itu kepada seseorang yang sudi dengar dan saya rasa sangat lega selepas itu.” —Elif, Türkiye.

 Ayat Bible: “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

 Maksud: Apabila anda berdoa, Tuhan betul-betul mendengar dan memberikan perhatian kepada anda. (Mazmur 55:22; 65:2) Oleh kerana Dia mengambil berat terhadap anda, Dia dapat bantu anda sedar bahawa anda benar-benar berharga.

 “Saya ada banyak luka emosi. Tapi selepas belajar tentang Yehuwa, saya rasa saya beransur-ansur pulih. Sekarang, saya dapat meluahkan segala isi hati saya kepada Yehuwa melalui doa. Dia ialah kawan yang benar-benar memahami perasaan saya.”—Ana, Belize.

Apakah yang akan Tuhan lakukan tentang penderitaan yang dialami perempuan?

 Ayat Bible: “Yehuwa . . . menegakkan keadilan bagi anak yatim dan orang yang ditindas. Maka mereka tidak akan takut lagi terhadap manusia fana yang hanyalah debu belaka.”—Mazmur 10:​17, 18.

 Maksud: Tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan semua hal yang tidak adil, termasuk perbuatan jahat dan keganasan terhadap perempuan.

 “Selepas belajar bahawa Yehuwa akan melenyapkan semua perkara buruk yang menimpa perempuan, hal ini ibarat ubat yang membantu saya pulih. Saya juga mendapat ketenangan minda.”—Roberta, Mexico.

 Ketahuilah lebih lanjut tentang harapan dalam Bible, mengapa anda dapat mempercayai janji-janjinya, dan bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa memberikan bantuan menerusi bimbingan Bible. Hubungilah Saksi-Saksi Yehuwa untuk kunjungan yang percuma.

 Muat turun versi cetakan bagi rencana ini.

a Nama-nama telah diubah.

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?