Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Kagum dengan Jawapan Bible yang Jelas dan Masuk Akal

Saya Kagum dengan Jawapan Bible yang Jelas dan Masuk Akal
  • TAHUN LAHIR: 1948

  • NEGARA ASAL: HUNGARY

  • LATAR BELAKANG: MENCARI JAWAPAN KEPADA SOALAN PENTING TENTANG KEHIDUPAN

KISAH SILAM SAYA:

Saya lahir di Székesfehérvár, Hungary, iaitu sebuah kota bersejarah yang wujud sejak sekitar 1,000 tahun. Sedihnya, Perang Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang buruk atas kota itu.

Semasa saya kecil, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Saya sangat mengasihi mereka, terutamanya nenek saya Elisabeth. Dia mengajar saya untuk beriman kepada Tuhan. Sejak berumur tiga tahun, saya akan mengulangi Doa Bapa Kami setiap petang. Namun, saya hanya mula memahami doa itu semasa berumur lebih daripada 20 tahun.

Datuk dan nenek menjaga saya sejak kecil kerana ibu bapa saya sibuk bekerja. Ibu bapa saya mahu mengumpulkan wang supaya dapat membeli rumah yang selesa untuk keluarga kami. Setiap dua minggu, pada hari Sabtu, kami sekeluarga akan berkumpul untuk makan bersama. Saya gembira apabila mengenang masa yang telah kami luangkan bersama.

Pada tahun 1958, impian ibu bapa saya menjadi kenyataan. Mereka dapat membeli sebuah rumah untuk kami bertiga. Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat tinggal bersama ibu bapa saya. Tapi kegembiraan kami tidak kekal lama. Enam bulan kemudian, bapa saya meninggal akibat kanser.

Hati saya hancur berkecai. Saya berdoa kepada Tuhan, “Saya mohon banyak kali kepada Engkau untuk selamatkan bapa saya. Saya perlukan bapa saya. Mengapakah Engkau tidak mendengar doa saya?” Saya betul-betul ingin tahu di mana bapa saya. Saya tertanya-tanya, “Adakah dia di syurga? Dapatkah saya jumpa dia lagi?” Saya rasa cemburu apabila lihat anak-anak lain yang masih ada bapa.

Selama bertahun-tahun, saya pergi ke kuburan hampir setiap hari. Saya berlutut dekat kubur bapa saya dan berdoa, “Tuhan, tolonglah beritahu saya di mana bapa saya sekarang.” Saya juga berdoa untuk mengetahui makna kehidupan.

Semasa saya berumur 13 tahun, saya mula belajar bahasa Jerman. Saya sangka bahan bacaan Jerman yang begitu banyak dapat membantu saya mencari jawapan kepada soalan saya. Pada tahun 1967, saya pergi ke bandar Jena yang merupakan sebahagian daripada Jerman Timur. Saya tidak sabar membaca buku-buku yang ditulis oleh ahli falsafah Jerman, terutamanya yang menyentuh tentang makna kewujudan manusia. Biarpun saya telah mempelajari hal-hal yang menarik, saya tidak menemui jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan saya. Maka saya terus berdoa kepada Tuhan untuk memohon bantuan-Nya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada tahun 1970, saya kembali ke Hungary. Di sana, saya jumpa Rose, bakal isteri saya. Pada masa itu, Hungary berada di bawah pemerintahan Komunis. Tidak lama selepas kami berkahwin, kami melarikan diri ke Austria. Rancangan kami adalah untuk berpindah ke tempat pak cik saya di Sydney, Australia.

Tidak lama kemudian, saya dapat kerja di Austria. Pada suatu hari, seorang rakan kerja memberitahu saya bahawa saya boleh dapat jawapan kepada semua soalan saya daripada Bible. Dia juga memberi saya beberapa buku tentang Bible. Saya membaca semua buku itu dengan cepat sekali dan ingin mendapat lebih banyak maklumat. Maka saya menulis surat kepada penerbit buku-buku itu, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa, untuk meminta lebih banyak bahan bacaan.

Pada ulang tahun perkahwinan kami yang pertama, seorang Saksi muda mengunjungi kami. Dia membawa bahan bacaan yang saya minta dan menawarkan pembelajaran Bible kepada saya. Saya menerima tawaran itu. Oleh sebab saya mendahagakan kebenaran Bible, kami belajar dua kali seminggu, dan kami menghabiskan kira-kira empat jam bagi setiap sesi pembelajaran!

Saya sangat teruja dengan apa yang saya belajar daripada Bible. Saya terkejut apabila para Saksi menunjukkan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, dalam Bible saya sendiri! Biarpun saya sudah menghadiri gereja selama 27 tahun, saya langsung tidak pernah dengar nama Tuhan disebut. Saya kagum dengan jawapan Bible yang jelas dan masuk akal. Contohnya, saya belajar bahawa orang mati seolah-olah sedang tidur dan mereka tidak sedar akan apa-apa pun. (Pengkhutbah 9:5, 10; Yohanes 11:11-15) Saya juga belajar janji Bible bahawa “kematian tidak akan ada lagi” di dunia baharu. (Wahyu 21:3, 4) Saya tidak sabar untuk berjumpa semula dengan bapa saya kerana Tuhan berjanji untuk “membangkitkan orang.”​—Kisah 24:15.

Rose juga ikut saya semasa pembelajaran Bible, dan kami membuat kemajuan yang pesat. Kami habis belajar buku pembelajaran dalam masa dua bulan sahaja! Kami juga menghadiri setiap perjumpaan di Dewan Perjumpaan. Kami sangat tersentuh melihat kasih, kebaikan hati, dan perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa.​—Yohanes 13:34, 35.

Pada tahun 1976, Rose dan saya diizinkan untuk masuk ke Australia. Di sana, kami segera mencari Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menyambut kami dengan ramah. Pada tahun 1978, kami dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Akhirnya, saya mendapat jawapan kepada soalan-soalan saya. Saya juga berpeluang mengenali dan menghampiri Yehuwa, Bapa yang terbaik. (Yakobus 4:8) Selain itu, saya berasa syukur kerana ada harapan untuk berjumpa semula bapa kandung saya di dunia baharu.​—Yohanes 5:28, 29.

Pada tahun 1989, saya dan Rose membuat keputusan untuk kembali ke Hungary supaya kami dapat mengongsi kebenaran dengan keluarga, kawan-kawan, dan orang lain. Kami berpeluang mengajar Bible kepada ratusan orang. Lebih daripada 70 orang mula menyembah Yehuwa bersama kami, termasuk ibu saya.

Selama 17 tahun, saya telah berdoa untuk mendapat jawapan kepada soalan saya. Kini, 39 tahun sudah berlalu dan saya masih berdoa kepada Tuhan. Tapi doa saya sangat berbeza daripada dahulu. Sekarang saya sering berdoa, “Terima kasih Bapa yang di syurga kerana menjawab doa-doa saya sejak kecil.”