Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Bagaimanakah orang pada zaman Bible tahu bila bermulanya tahun atau bulan?

BAGI orang Ibrani di Tanah yang Dijanjikan, bulan pertama dalam kalendar sekular bermula semasa mereka membajak dan menanam, iaitu sekitar bulan September atau Oktober dalam kalendar moden.

Menurut kalendar lunar, panjang satu bulan dikira berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi. Maka satu bulan ada 29 atau 30 hari. Menurut kalendar solar pula, panjang satu tahun dikira berdasarkan pergerakan bumi mengelilingi matahari. Namun, panjang satu tahun lunar (12 bulan) adalah lebih pendek daripada panjang satu tahun solar. Oleh itu, beberapa kaedah telah digunakan untuk menyelaraskan perbezaan antara dua cara pengiraan tersebut. Contohnya, beberapa hari akan ditambahkan dalam kalendar lunar sebelum permulaan tahun berikutnya, atau satu bulan akan ditambahkan dalam kalendar lunar dari masa ke masa. Dengan ini, musim menanam dan menuai akan selalu jatuh pada bulan yang sama dalam kalendar lunar dan solar.

Pada zaman Musa, Tuhan memberitahu umat-Nya bahawa dalam kalendar suci mereka, bulan pertama dalam setahun ialah bulan Abib, atau Nisan, yang merupakan bulan Mac atau April dalam kalendar moden. (Kel. 12:2; 13:4) Pada bulan itu, orang Israel akan menyambut perayaan dan mempersembahkan hasil pertama daripada tuaian barli kepada Yehuwa.​—Kel. 23:15, 16.

Bagaimanakah orang menentukan sama ada mereka perlu menambahkan satu bulan lagi dalam kalendar mereka atau tidak? Dalam buku The History of the Jewish People in the Age of Jesus Christ (175 B.C.–A.D. 135), seorang cendekiawan yang bernama Emil Schürer berkata, “Caranya mudah sahaja. Jamuan Paska, yang disambut semasa bulan purnama bulan Nisan (14 Nisan), mesti berlaku selepas ekuinoks musim bunga [iaitu hari semasa panjang waktu siang dan malam adalah sama, iaitu 12 jam]. . . . Menjelang hujung tahun, jika mereka mendapati bahawa Paska seterusnya akan berlaku sebelum ekuinoks musim bunga, mereka akan menambahkan satu bulan, iaitu bulan ke-13, sebelum bulan Nisan.”

Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan kaedah yang sama untuk menentukan tarikh Perjamuan Malam Tuan, yang berlangsung semasa musim bunga dan jatuh pada 14 Nisan dalam kalendar Ibrani. Awal-awal lagi, tarikh untuk Perjamuan Malam Tuan akan dimaklumkan kepada sidang-sidang di serata dunia. *

Namun, bagaimanakah orang Ibrani tahu bila satu bulan akan berakhir dan bulan baharu akan bermula? Kini anda hanya perlu melihat kalendar yang dicetak atau kalendar pada alat elektronik anda. Namun, hal ini tidak begitu mudah pada zaman Bible.

Semasa Banjir pada zaman Nuh, orang menganggap setiap bulan mempunyai 30 hari. (Kej. 7:11, 24; 8:3, 4) Tetapi dalam kalendar orang Ibrani, setiap bulan tidak semestinya mempunyai 30 hari. Bagi orang Ibrani, bulan baharu akan bermula semasa mereka dapat melihat anak bulan. Hal ini akan berlaku 29 atau 30 hari selepas hari pertama bulan yang lalu.

Pernah sekali, Daud dan Yonatan berkata, “Esok ialah perayaan bulan baharu.” (1 Sam. 20:5, 18) Kata-kata mereka menunjukkan bahawa sekitar abad ke-11 SM, orang sudah tahu bila bulan baharu akan bermula. Bagaimanakah mereka tahu? Mishnah, iaitu koleksi hukum lisan dan tradisi orang Yahudi, menyatakan bahawa selepas orang Yahudi kembali dari pembuangan di Babilon, Majlis Orang Yahudi (mahkamah tinggi orang Yahudi) telah menentukan bila bulan baharu akan bermula. Dalam setahun, Majlis Orang Yahudi akan memilih tujuh bulan dan bermesyuarat pada hari ke-30 bulan-bulan itu untuk menentukan bila bulan seterusnya akan bermula. Bagaimanakah mereka melakukannya?

Terdapat orang yang ditugaskan di tempat tinggi atau bukit di sekitar Yerusalem. Mereka akan memerhatikan langit malam untuk mencari anak bulan. Jika mereka melihat anak bulan, mereka akan segera melaporkannya kepada Majlis Orang Yahudi. Apabila Majlis Orang Yahudi yakin bahawa anak bulan sudah dilihat, mereka akan mengumumkan bahawa hari itu ialah hari pertama bulan baharu. Namun, bagaimana pula jika terdapat awan atau kabus, dan anak bulan tidak dapat dilihat? Jika begitu, Majlis Orang Yahudi akan mengumumkan bahawa bulan itu mempunyai 30 hari dan bulan baharu akan bermula pada keesokan harinya.

Menurut Mishnah, Majlis Orang Yahudi mengumumkan keputusan mereka dengan menyalakan api di atas Gunung Zaitun yang terletak berdekatan Yerusalem. Bagaimanakah orang Israel di tempat lain dimaklumkan tentang keputusan mereka? Pada mulanya, api dinyalakan di tempat-tempat yang tinggi di seluruh Israel. Pada kemudian hari, utusan dihantar untuk mengumumkan permulaan bulan baharu. Dengan demikian, orang Yahudi di Yerusalem, di seluruh Israel, dan di tempat-tempat lain, akan tahu bila bulan baharu bermula dan dapat menyambut perayaan pada masa yang sama.

Carta berikut akan membantu anda lebih memahami bulan, perayaan, dan musim dalam kalendar Ibrani.

^ Lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Februari 1990, ms. 15, dan Questions From Readers dalam The Watchtower terbitan 15 Jun 1977.