Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Adakah pihak berkuasa Roma membenarkan penjenayah yang dihukum mati pada tiang untuk dikebumikan, seperti yang berlaku kepada Yesus?

RAMAI orang tahu bahawa Yesus telah dihukum mati pada tiang di antara dua orang penjenayah. (Mat. 27:35-38) Namun, sesetengah pengkritik meragui catatan Bible yang menyatakan bahawa selepas itu, mayat Yesus telah dipersiapkan untuk dikebumikan dan diletakkan di dalam sebuah makam.​—Mrk. 15:42-46.

Mereka berpendapat bahawa orang yang dihukum mati akan dilayan dengan buruk dan tidak mungkin dibenarkan untuk dikebumikan. Dalam sebuah artikel dalam majalah Smithsonian, Ariel Sabar menjelaskan sebab di sebalik pandangan itu. Dia menulis, “Hanya sampah masyarakat yang akan disalibkan. Jadi sesetengah pakar berasa bahawa pihak berkuasa Roma tidak mungkin membenarkan orang sebegini untuk dikebumikan dengan baik.” Orang Roma ingin menghina penjenayah dengan seteruk-teruknya. Jadi mayat penjenayah biasanya ditinggalkan pada tiang untuk dimakan binatang, dan bahagian mayat yang selebihnya akan dibuang ke dalam kubur beramai-ramai.

Namun, penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sesetengah orang Yahudi yang dihukum mati telah diberi layanan yang berbeza. Pada tahun 1968, di dalam makam sebuah keluarga Yahudi yang terletak berdekatan Yerusalem, sebuah kotak batu yang digunakan untuk menyimpan tulang mayat telah ditemui. Antara tulang-tulang di dalam kotak itu, terdapat seketul tulang tumit yang dipakukan pada papan kayu dengan menggunakan paku besi yang panjangnya 11.5 cm. Ariel Sabar menulis, “Tumit itu milik seorang lelaki yang bernama Yehochanan. Penemuan ini membuktikan bahawa catatan Bible tentang pengebumian Yesus bukanlah sesuatu yang mustahil. Tulang tumit Yehochanan merupakan contoh bahawa pada zaman Yesus, orang Roma pernah membenarkan orang yang disalibkan untuk dikebumikan mengikut adat Yahudi.”

Berdasarkan tulang tumit itu, terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang cara Yesus dipakukan pada tiang. Meskipun begitu, tulang tumit itu membuktikan bahawa mayat sesetengah penjenayah telah dikebumikan dan bukannya dibuang begitu sahaja. Jelaslah, catatan Bible tentang pengebumian Yesus memang boleh dipercayai dan disokong oleh bukti yang kukuh.

Lebih penting lagi, Yehuwa sudah menubuatkan bahawa Yesus akan dikebumikan di dalam makam orang kaya, dan tiada seorang pun yang dapat menghalang nubuat Yehuwa daripada menjadi kenyataan.​—Yes. 53:9; 55:11.