Lompat ke kandungan

Apakah Itu Tasik Api? Adakah Tasik Ini Bermaksud Neraka atau Gehena?

Apakah Itu Tasik Api? Adakah Tasik Ini Bermaksud Neraka atau Gehena?

Jawapan Bible

 Tasik api ialah tempat simbolik yang melambangkan kebinasaan kekal. Maksudnya sama dengan Gehena, tetapi berbeza daripada neraka. Neraka sebenarnya bermaksud kuburan manusia.

Bukan tasik harfiah

 Lima ayat Bible yang menggunakan istilah “tasik api” atau “tasik yang bernyala-nyala dengan api” merujuk kepada tasik yang simbolik, dan bukannya tasik harfiah. (Wahyu 19:20; 20:10, 14, 15; 21:8) Apakah yang akan dicampakkan ke dalam tasik api?

Simbol kebinasaan kekal

 Bible mengatakan bahawa tasik api “melambangkan kematian yang kedua.” (Wahyu 20:14; 21:8) Kematian jenis pertama yang disebut dalam Bible merujuk kepada kematian akibat dosa Adam. Orang yang mengalami kematian ini boleh dibangkitkan. Akhirnya, kematian ini akan dilenyapkan oleh Tuhan.​—1 Korintus 15:21, 22, 26.

Tiada jalan keluar dari tasik api yang simbolik

 Tasik api melambangkan kematian yang berbeza, iaitu kematian jenis kedua. Walaupun kematian ini juga merujuk kepada keadaan tidak aktif, atau ketidakwujudan, Bible tidak memberikan harapan pembangkitan bagi kematian jenis kedua. Contohnya, menurut Bible, Yesus mempunyai “kunci neraka dan kunci maut.” (Wahyu 1:​18; 20:13, King James Version) Hal ini menunjukkan bahawa Yesus berkuasa untuk membebaskan orang daripada kematian akibat dosa Adam. Namun, tiada sesiapa pun termasuk Yesus yang mempunyai kunci tasik api. Tasik simbolik ini melambangkan hukuman abadi iaitu kebinasaan kekal.​—2 Tesalonika 1:9.

Mirip dengan Gehena, Lembah Hinom

 Gehena (Yunani geʹen·na) disebut sebanyak 12 kali di dalam Bible. Gehena membawa erti yang sama dengan tasik api, iaitu kebinasaan kekal. Beberapa penterjemah menggunakan perkataan “neraka” bagi Gehena. Namun demikian, Gehena sebenarnya berbeza daripada neraka (Ibrani sheʼohlʹ, Yunani haiʹdes).

Lembah Hinom

 Perkataan “Gehena” secara harfiah bermaksud “Lembah Hinom,” yang terletak di luar Yerusalem. Pada zaman Bible, penduduk kota menggunakan lembah ini sebagai tempat pembuangan sampah. Mereka memastikan api sentiasa bernyala untuk membakar sampah, manakala sampah yang tidak terbakar akan dimakan ulat.

 Yesus menggunakan Gehena sebagai lambang kebinasaan kekal. (Matius 23:33) Menurut Yesus, “ulat di sana tidak mati dan api di sana tidak padam.” (Markus 9:​47, 48) Dia mengaitkan Gehena dengan keadaan di Lembah Hinom dan juga nubuat di Yesaya 66:24 yang berbunyi, “Mereka akan keluar dan melihat mayat orang yang telah memberontak terhadap-Ku. Ulat di atas mayat-mayat itu tidak akan mati, dan api yang membakar mayat-mayat itu tidak akan padam.” Perumpamaan Yesus menggambarkan pembinasaan yang menyeluruh, dan bukannya penyeksaan. Ulat dan api memusnahkan mayat, bukannya orang yang masih hidup.

 Bible tidak pernah menyebut tentang jalan keluar dari Gehena. “Tasik api” dan “api Gehena” melambangkan kebinasaan kekal dan abadi.​—Wahyu 20:14, 15; 21:8; Matius 18:9.

Apakah maksud “diseksa siang dan malam buat selama-lamanya”?

 Jika tasik api merupakan lambang kebinasaan, mengapakah Bible mengatakan bahawa Si Iblis, binatang buas, dan nabi palsu “akan diseksa siang dan malam buat selama-lamanya”? (Wahyu 20:10) Perhatikan empat sebab yang membuktikan bahawa penyeksaan ini bukan secara harfiah:

  1.   Jika Iblis akan diseksa selama-lamanya, dia harus hidup selama-lamanya. Namun, Bible mengatakan bahawa Iblis akan dibinasakan.​—Ibrani 2:​14.

  2.   Kehidupan kekal ialah kurniaan Tuhan, dan bukannya hukuman.​—Roma 6:​23.

  3.   Binatang buas dan nabi palsu hanyalah lambang dan tidak dapat diseksa secara harfiah.

  4.   Ayat-ayat Bible yang lain menunjukkan bahawa seksaan yang dialami Si Iblis merujuk kepada kekangan atau pembinasaan buat selama-lamanya.

 Perkataan “seksaan” dalam Bible juga boleh bermaksud “keadaan dikekang.” Contohnya, di Matius 18:34, perkataan asal Yunani yang bermaksud “penyeksa” diterjemahkan sebagai “pengawal [penjara]” dalam banyak terjemahan Bible. Demikian juga, kisah selari di Matius 8:​29 dan Lukas 8:​30, 31 menyamakan “seksaan” dengan “jurang yang dalam,” yang melambangkan keadaan tidak aktif atau kematian. (Roma 10:7; Wahyu 20:1, 3) Sebenarnya, perkataan “seksaan” digunakan beberapa kali secara simbolik dalam buku Wahyu.​—Wahyu 9:5; 11:10; 18:​7, 10.