Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Bible tentang Cara Menjaga Ibu Bapa yang Berusia?

Apakah Pandangan Bible tentang Cara Menjaga Ibu Bapa yang Berusia?

Jawapan Bible

 Anak-anak yang sudah dewasa bertanggungjawab memastikan bahawa ibu bapa mereka yang berusia dijaga dengan baik. Bible menyatakan bahawa mereka “harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa . . . . Perbuatan ini menyenangkan hati [Tuhan].” (1 Timotius 5:4, Alkitab Berita Baik) Apabila mereka menjaga ibu bapa yang berusia dengan baik, mereka sedang mematuhi arahan Bible untuk menghormati ibu bapa.—Efesus 6:2, 3.

 Bible tidak memberikan arahan teliti tentang cara menjaga ibu bapa yang sudah tua. Namun, Bible ada contoh hamba-hamba Tuhan yang menjaga ibu bapa dengan baik. Bible juga memberikan nasihat yang praktikal kepada mereka yang memikul tanggungjawab ini.

 Bagaimanakah sesetengah umat Tuhan pada zaman Bible menjaga ibu bapa mereka?

 Mereka melakukannya dalam pelbagai cara, menurut keadaan masing-masing.

  •   Yusuf tinggal jauh daripada bapanya, Yakub. Apabila keadaan mengizinkan, Yusuf mengaturkan supaya Yakub tinggal berdekatan dengannya. Yusuf melindungi bapanya dan menyediakan tempat tinggal serta makanan untuknya.—Kejadian 45:9-11; 47:11, 12.

  •   Rut berpindah ke negeri asal ibu mentuanya dan bekerja keras untuk menjaga ibu mentuanya.—Rut 1:16; 2:2, 17, 18, 23.

  •   Tidak lama sebelum Yesus meninggal, dia memilih seseorang untuk menjaga ibunya Maria. Nampaknya, pada masa itu ibunya sudah menjadi balu.—Yohanes 19:26, 27. a

 Apakah nasihat Bible kepada mereka yang menjaga ibu bapa?

 Kerja menjaga ibu bapa yang berusia ada kalanya sangat memenatkan secara fizikal dan emosi. Namun, prinsip-prinsip Bible dapat membantu.

  •   Hormatilah ibu bapa anda.

     Nasihat Bible: “Hormatilah ibu bapa kamu.”—Keluaran 20:12.

     Cara untuk menerapkan prinsip Bible: Anda boleh menunjukkan hormat dengan membiarkan ibu bapa berdikari selagi mereka mampu berbuat demikian. Benarkanlah mereka membuat keputusan tentang cara untuk menjaga diri selagi mereka mampu. Pada masa yang sama, anda juga boleh menunjukkan hormat dengan memberikan bantuan mengikut kemampuan anda.

  •   Tunjukkanlah pengertian dan sikap rela mengampuni.

     Nasihat Bible: “Orang yang berpengertian lambat naik marah, dan dia dipuji kerana mengampunkan kesalahan.”—Amsal 19:11.

     Cara untuk menerapkan prinsip Bible: Jika ibu bapa yang lanjut usia nampaknya tidak menghargai sokongan anda atau mengatakan sesuatu yang menyakitkan hati anda, tanyalah diri, “Apakah perasaan saya jika saya menghadapi keterbatasan dan tekanan yang serupa?” Jika anda berusaha menunjukkan pengertian dan bersikap rela mengampuni, anda dapat mencegah sesuatu situasi daripada menjadi lebih buruk.

  •   Dapatkan nasihat.

     Nasihat Bible: “Rancangan gagal jika tiada perbincangan, tetapi rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.”—Amsal 15:22.

     Cara untuk menerapkan prinsip Bible: Buatlah kajian tentang masalah kesihatan ibu bapa anda. Carilah maklumat tentang perkhidmatan yang tersedia bagi warga emas di kawasan anda. Berbincanglah dengan orang lain yang pernah menjaga ibu bapa mereka yang lanjut usia. Jika anda mempunyai adik-beradik, bincanglah sebagai sebuah keluarga tentang keperluan ibu bapa anda, cara untuk menjaga mereka, dan bagaimana semua ahli keluarga dapat bekerjasama.

    Bincanglah sebagai sebuah keluarga tentang cara menjaga ibu bapa yang lanjut usia

  •   Ketahuilah kemampuan anda.

     Nasihat Bible: “Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.”—Amsal 11:2.

     Cara untuk menerapkan prinsip Bible: Terimalah keterbatasan anda. Setiap orang mempunyai masa dan tenaga yang terhad. Hal ini mungkin mempengaruhi seberapa banyak bantuan yang anda dapat berikan kepada ibu bapa. Jika anda berasa terlalu susah untuk menjaga mereka, mintalah bantuan daripada ahli keluarga yang lain atau carilah bantuan daripada pihak yang mahir dalam bidang ini.

  •   Jagalah diri sendiri.

     Nasihat Bible: “Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya.”—Efesus 5:29.

     Cara untuk menerapkan prinsip Bible: Meskipun anda mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa yang lanjut usia, anda masih perlu menjaga keperluan sendiri dan keluarga jika anda sudah berkahwin. Jagalah pemakanan anda dan pastikan anda mendapatkan rehat yang secukupnya. (Pengkhutbah 4:6) Dari masa ke masa, ambillah cuti jika dapat. Dengan berbuat demikian, anda dapat menjaga ibu bapa anda dalam keadaan emosi, mental, dan fizikal yang baik.

 Adakah Bible menyatakan bahawa ibu bapa yang lanjut usia perlu dijaga di rumah?

 Bible tidak secara spesifik menunjukkan sama ada anak yang sudah dewasa perlu menjaga ibu bapanya di rumah atau tidak. Sesetengah ahli keluarga memilih agar ibu bapa mereka dijaga di rumah selagi keadaan mengizinkan. Jika keadaan sudah berubah, mereka mungkin perlu membawa ibu bapa yang lanjut usia ke pusat penjagaan. Untuk membuat keputusan yang terbaik bagi setiap orang yang terlibat, ahli keluarga mungkin perlu berjumpa untuk membincangkannya.—Galatia 6:4, 5.

a Mengenai kisah ini, sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Kemungkinan besar Yusuf [suami Maria] sudah lama meninggal, dan Maria telah lama dijaga oleh Yesus. Apakah yang akan berlaku kepada Maria selepas Yesus mati? . . . Melalui hal ini, Kristus mengajar anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka yang lanjut usia.”—The NIV Matthew Henry Commentary in One Volume, muka surat 428-429.