Lompat ke kandungan

Apakah Maksud Menghormati Ibu Bapa Anda?

Apakah Maksud Menghormati Ibu Bapa Anda?

Jawapan Bible

 Perintah untuk menghormati ibu bapa sering disebut dalam Bible. (Keluaran 20:12; Ulangan 5:16; Matius 15:4; Efesus 6:2, 3) Hal ini melibatkan empat aspek.

  1.   Hargai mereka. Anda menghormati ibu bapa dengan menunjukkan bahawa anda menghargai semua hal yang telah dilakukan mereka. Anda juga patut menghargai bimbingan yang mereka berikan. (Amsal 7:1, 2; 23:26) Bible menggalakkan kita untuk berasa “bangga akan ibu bapa.”—Amsal 17:6.

  2.   Terima kekuasaan mereka. Terutamanya semasa anda muda, anda menghormati ibu dan bapa anda dengan mengakui kekuasaan yang Tuhan berikan kepada mereka. Kolose 3:20 mengatakan, “Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita.” Semasa Yesus muda, dia pun mentaati kedua-dua ibu bapanya.—Lukas 2:51.

  3.   Layan mereka dengan hormat. (Imamat 19:3; Ibrani 12:9) Hal ini biasanya melibatkan cara anda bercakap kepada mereka. Memang benar sesetengah ibu bapa membuatkan keadaan sukar bagi anak-anak untuk menghormati mereka. Namun, anak-anak masih boleh menunjukkan hormat dengan mengelak kata-kata mahupun perbuatan yang tidak sopan. (Amsal 30:17) Bible mengatakan bahawa menggunakan kata-kata cacian terhadap ibu bapa merupakan kesalahan yang serius.—Matius 15:4.

  4.   Bekalkan keperluan mereka. Apabila ibu bapa anda semakin tua, mereka mungkin memerlukan bantuan praktikal. Anda boleh menunjukkan hormat kepada mereka dengan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan mereka. (1 Timotius 5:4, 8) Sebagai contoh, sebelum Yesus meninggal, dia mengatur supaya ibunya dijaga.—Yohanes 19:25-27.

Tanggapan yang salah mengenai menghormati ibu bapa

 Tanggapan yang salah: Jika anda menghormati ibu bapa, anda mesti membiarkan mereka mengawal perkahwinan anda.

 Kebenaran: Bible mengajarkan bahawa ikatan perkahwinan perlu diutamakan berbanding ikatan kekeluargaan yang lain. Kejadian 2:24 berkata, “Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya.” (Matius 19:4, 5) Pasangan yang sudah berkahwin boleh mengambil manfaat daripada nasihat ibu bapa atau mentua. (Amsal 23:22) Walau bagaimanapun, pasangan suami isteri mempunyai hak untuk menetapkan batas bagi mengehadkan ahli keluarga yang lain daripada mencampuri urusan rumah tangga mereka.​—Matius 19:6.

 Tanggapan yang salah: Ibu bapa anda mempunyai kuasa mutlak.

 Kebenaran: Walaupun Tuhan memberikan kekuasaan kepada ibu bapa, semua kekuasaan yang dimiliki manusia mempunyai hadnya, dan tidak boleh melebihi kekuasaan Tuhan. Sebagai contoh, apabila mahkamah tinggi memberikan arahan kepada pengikut Yesus untuk mengingkari perintah Tuhan, mereka menjawab, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kisah 5:27-29) Begitu juga, anak-anak mematuhi ibu bapa mereka asalkan hal itu “selaras dengan kehendak Tuan” dan tidak bertentangan dengan hukum Tuhan.—Efesus 6:1.

 Tanggapan yang salah: Jika anda menghormati ibu bapa, anda mesti menganuti agama mereka.

 Kebenaran: Bible menggalakkan kita untuk memeriksa sama ada apa yang kita pelajari ialah kebenaran. (Kisah 17:11; 1 Yohanes 4:1) Seseorang yang berbuat demikian mungkin memilih agama yang berlainan daripada ibu bapanya. Bible menyebut beberapa hamba Tuhan yang tidak mengikut agama ibu bapa mereka, seperti Abraham, Rut, dan Rasul Paulus.—Yosua 24:2, 14, 15; Rut 1:15, 16; Galatia 1:14-16, 22-24.

 Tanggapan yang salah: Jika anda menghormati ibu bapa, anda mesti menyertai upacara pemujaan nenek moyang.

 Kebenaran: Bible mengatakan, “Yehuwa Tuhanmu yang mesti kamu sembah, dan kepada Dia sahaja kamu mesti memberikan khidmat suci.” (Lukas 4:8) Seseorang yang menyembah nenek moyangnya tidak akan mendapat perkenan Tuhan. Lagipun, Bible mengajarkan bahawa “orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.” Maka, orang yang telah mati tidak akan sedar bahawa orang sedang menyembah mereka. Mereka juga tidak dapat membantu atau menyakiti orang yang masih hidup.​—Pengkhutbah 9:5, 10; Yesaya 8:19.