Lompat ke kandungan

Adakah Kerajaan Tuhan Ada Di Dalam Hati Anda?

Adakah Kerajaan Tuhan Ada Di Dalam Hati Anda?

Jawapan Bible

 Tidak, Kerajaan Tuhan tidak ada di dalam hati orang Kristian. a Bible memberitahu kita lokasi sebenar kerajaan ini dengan memanggilnya sebagai “Kerajaan di syurga.” (Matius 4:​17) Marilah kita melihat bagaimana Bible menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan yang memerintah dari syurga.

 Sesetengah orang percaya bahawa Kerajaan Tuhan ada di dalam hati mereka, atau Kerajaan Tuhan akan memerintah melalui hati mereka. Tetapi Bible tidak menyokong pandangan sedemikian. Sebaliknya Bible menyatakan bahawa “perkhabaran tentang Kerajaan Tuhan” atau “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” dapat meninggalkan kesan yang baik dalam hati kita dan patut mempengaruhi kehidupan kita.​—Matius 13:19; 24:14.

Apakah maksud ‘kerajaan Tuhan ada di dalam kamu’?

 Ada orang yang keliru tentang lokasi Kerajaan Tuhan setelah membaca terjemahan Bible tertentu. Contohnya, dalam terjemahan Alkitab Versi Borneo, Lukas 17:21 menyatakan bahawa ‘kerajaan Tuhan ada di dalam kamu.’ Untuk memahami maksud sebenar ayat ini, kita perlu mengkaji konteksnya.

Kerajaan Tuhan tidak ada di dalam hati musuh-musuh Yesus yang degil dan yang berkomplot untuk membunuhnya

 Yesus sedang bercakap dengan orang Farisi, iaitu sekumpulan pemimpin agama yang membencinya dan yang berkomplot untuk membunuhnya. (Matius 12:14; Lukas 17:20) Jadi, adakah masuk akal untuk mengatakan bahawa Kerajaan Tuhan ada di dalam hati mereka yang keras seperti batu? Pastinya tidak! Yesus memberitahu mereka, “Hati kamu penuh dengan dusta dan kejahatan.”​—Matius 23:27, 28.

 Beberapa terjemahan Bible menterjemahkan kata-kata Yesus dengan tepat di Lukas 17:21. Contohnya, Alkitab Berita Baik menyatakan, ‘Tuhan sudah mula memerintah antara kamu.’ Terjemahan Dunia Baharu pula menyatakan, “Kerajaan Tuhan ada dalam kalangan kamu.” Ya, Kerajaan Tuhan ada “antara” atau “dalam kalangan” mereka kerana Yesus, iaitu individu yang dilantik oleh Tuhan untuk menjadi Raja Kerajaan Tuhan, ada bersama mereka.​—Lukas 1:​32, 33.

a Banyak gereja Kristian mengajarkan bahawa Kerajaan Tuhan ada di dalam diri seseorang, atau di dalam hatinya. Contohnya, di Amerika Syarikat, gereja Southern Baptist Convention menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan ialah “pemerintahan Tuhan yang ada di dalam hati dan hidup seseorang.” Begitu juga, dalam bukunya Jesus of Nazareth, Paus Benedict XVI menyatakan bahawa “Kerajaan Tuhan akan datang dalam hati orang yang beriman.”