Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Siapakah Raja Kerajaan Tuhan?

Siapakah Raja Kerajaan Tuhan?

Tuhan telah menyuruh beberapa penulis Bible untuk mencatatkan butiran tentang Raja Kerajaan Tuhan. Mari kita lihat beberapa butiran itu:

  • Dipilih oleh Tuhan. “Aku telah menabalkan raja pilihan-Ku . . . Aku akan memberikan bangsa-bangsa sebagai warisanmu, dan seluruh bumi sebagai milikmu.”​—Mazmur 2:6, 8.

  • Merupakan keturunan Daud. “Seorang anak telah dilahirkan bagi kita; seorang anak lelaki telah dikurniakan kepada kita . . . Kekuasaannya sebagai pemerintah akan terus bertambah; pemerintahannya akan membawa kedamaian yang tidak berkesudahan. Dia akan duduk di atas takhta [Daud] untuk memerintah. Dia akan mengukuhkan dan menguatkan kerajaannya.”​—Yesaya 9:6, 7.

  • Lahir di Betlehem. ‘Hai Betlehem, daripadamu akan bangkit seorang pemerintah yang mewakili-Ku. Kehebatannya akan sampai ke seluruh pelosok bumi.’​—Mikha 5:2, 4.

  • Ditolak dan dibunuh oleh manusia. “Dia dipandang rendah, dan kami juga tidak mempedulikannya. . . . Dia ditusuk kerana dosa kami; dia diseksa kerana kesalahan kami.”​—Yesaya 53:3, 5.

  • Dibangkitkan dan dimuliakan. “Engkau tidak akan meninggalkan aku di Kuburan. Engkau tidak akan membiarkan hamba-Mu yang setia mereput di lubang kubur. . . . Kegembiraanku kekal abadi kerana aku berada di sebelah kanan-Mu.”​—Mazmur 16:10, 11.

Yesus Kristus—Pemerintah yang Terbaik

Dalam sejarah manusia, hanya seorang yang memenuhi semua butiran itu, iaitu Yesus Kristus. Sebelum dia lahir, satu malaikat memberitahu ibunya Maria, “Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta [Daud], nenek moyangnya. . . . Kerajaannya tidak akan berkesudahan.”​—Lukas 1:31-33.

Yesus tidak menjadi raja di bumi. Sebaliknya, dia akan memerintah dari syurga sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Mengapakah Yesus ialah pemerintah yang terbaik? Perhatikan apa yang dilakukannya semasa di bumi.

  • Yesus mengambil berat terhadap orang lain. Yesus membantu semua orang tanpa mengira jantina, usia, latar belakang, atau kedudukan mereka. (Matius 9:36; Markus 10:16) Semasa seorang pesakit kusta merayu, “Jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku,” Yesus berasa kasihan terhadapnya lalu menyembuhkan penyakitnya.​—Markus 1:40-42.

  • Yesus mengajar kita cara menggembirakan hati Tuhan. Dia berkata, “Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” Dia juga mengajarkan satu prinsip yang terkenal, iaitu kita mesti melayan orang lain sebagaimana kita ingin dilayan. Selain itu, Yesus menunjukkan bahawa Tuhan bukan sahaja memperhatikan perbuatan kita, tetapi juga fikiran dan perasaan kita. Maka, untuk menggembirakan hati Tuhan, kita mesti mengawal perasaan kita. (Matius 5:28; 6:24; 7:12) Yesus juga menegaskan bahawa jika kita ingin benar-benar bahagia, kita mesti mempelajari kehendak Tuhan dan melakukannya.​—Lukas 11:28.

  • Yesus mengajar kita cara menunjukkan kasih. Kata-kata dan perbuatan Yesus sangat berkesan dan menyentuh hati pendengarnya. Mereka “sangat kagum dengan cara dia mengajar,” kerana “dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa.” (Matius 7:28, 29) Yesus mengajar mereka agar ‘terus mengasihi musuh mereka.’ Yesus sendiri pun memberikan teladan baik dalam hal ini. Dia berdoa agar Tuhan memaafkan orang yang membunuhnya. Dia memohon, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.”​—Matius 5:44; Lukas 23:34.

Jelaslah, Yesus sangat baik hati dan suka membantu orang. Maka dialah yang paling layak memerintah bumi. Tetapi, bilakah dia mula memerintah?