Lompat ke kandungan

Adakah Bumi Ini Akan Dimusnahkan?

Adakah Bumi Ini Akan Dimusnahkan?

Jawapan Bible

 Tidak, bumi ini tidak akan dimusnahkan, dibakar dalam api, atau digantikan dengan bumi baharu. Bible menyatakan bahawa Tuhan menciptakan bumi untuk didiami buat selama-lamanya.

  •   “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”​—Mazmur 37:29.

  •   “[Tuhan] telah mendirikan bumi kukuh pada asasnya; bumi tidak akan bergerak dari tempatnya buat selama-lamanya.”​—Mazmur 104:5.

  •   “Bumi kekal buat selama-lamanya.”​—Pengkhutbah 1:4.

  •   “Dia menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.”​—Yesaya 45:18.

Adakah bumi ini akan dimusnahkan oleh manusia?

 Tuhan tidak akan membenarkan manusia untuk merosakkan bumi ini dengan sepenuhnya melalui pencemaran, peperangan atau dengan apa jua cara lain. Sebaliknya, Dia akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.” (Wahyu 11:18) Bagaimanakah Tuhan akan melakukan hal itu?

 Tuhan akan menggantikan kerajaan manusia yang telah gagal melindungi bumi dengan sebuah kerajaan di syurga yang sempurna. (Daniel 2:​44; Matius 6:​9, 10) Kerajaan itu akan dipimpin oleh anak Tuhan, Yesus Kristus. (Yesaya 9:​6, 7) Semasa Yesus di bumi, dia telah melakukan mukjizat untuk mengawal kuasa alam. (Markus 4:​35-​41) Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus akan menggunakan kuasanya untuk memperbaharui bumi supaya keadaannya dipulihkan seperti firdaus di Taman Eden.​—Matius 19:28; Lukas 23:43.

Bukankah Bible mengajar bahawa bumi akan dimusnahkan dengan api?

 Tidak, Bible tidak mengajar tentang hal ini. Tanggapan yang salah ini berpunca daripada pemahaman yang salah tentang 2 Petrus 3:7, yang berkata: “Langit dan bumi yang ada sekarang dipelihara untuk dimusnahkan dengan api kelak.” Perhatikan dua isi penting yang dapat membantu kita untuk memahami maksud kata-kata tersebut:

  1.   Dalam Bible, perkataan “langit”, “bumi”, dan “api” membawa pelbagai maksud. Contohnya, Kejadian 11:1 berkata: “Penduduk di seluruh bumi hanya mempunyai satu bahasa.” Perkataan “bumi” di sini merujuk kepada masyarakat manusia.

  2.   Kita dapat mengetahui maksud langit, bumi, dan api di 2 Petrus 3:7 dengan merujuk kepada konteks ayat tersebut. Ayat 5 dan 6 menyebut tentang Air Bah pada zaman Nuh. Sebuah dunia zaman lampau telah dimusnahkan pada masa itu, tetapi bumi kita tetap wujud. “Bumi” yang dimusnahkan merujuk kepada masyarakat manusia yang jahat. (Kejadian 6:​11) Manakala “langit” yang dimusnahkan merupakan pemimpin manusia pada zaman itu. Jadi, ini bermakna hanya orang jahat yang dimusnahkan dan bukannya bumi kita. Nuh dan keluarganya terselamat ketika dunia yang jahat itu dimusnahkan, dan mereka terus mendiami bumi selepas Air Bah.—Kejadian 8:​15-​18.

 Seperti Air Bah pada zaman Nuh, pembinasaan yang dilambangkan oleh “api” di 2 Petrus 3:7 juga memaksudkan pembinasaan dunia orang jahat, bukannya bumi. Tuhan menjanjikan “langit baharu dan bumi baharu”, dan “di situ perkara yang baik akan berkekalan.” (2 Petrus 3:​13) “Bumi baharu” ini, atau masyarakat manusia yang baharu, akan dipimpin oleh “langit baharu”, iaitu di bawah pimpinan baharu Kerajaan Tuhan. Bumi firdaus akan dipulihkan melalui Kerajaan-Nya.​—Wahyu 21:​1-4.