Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Bible tentang Berpuasa?

Apakah Pandangan Bible tentang Berpuasa?

Jawapan Bible

 Pada zaman Bible, Tuhan memperkenankan orang yang berpuasa dengan motif yang betul, tetapi Dia murka terhadap mereka yang berpuasa dengan niat yang salah. Namun, Bible tidak memerintah atau melarang orang untuk berpuasa pada zaman sekarang.

Dalam situasi apa sesetengah orang pada zaman Bible berpuasa?

  •   Semasa memohon bantuan dan bimbingan Tuhan. Orang Yahudi berpuasa semasa mereka menuju ke Yerusalem kerana ingin menunjukkan bahawa mereka benar-benar mahu bantuan daripada Tuhan. (Ezra 8:​21-​23) Ada kalanya, Paulus dan Barnabas juga berpuasa semasa melantik penatua sidang.​—Kisah 14:23.

  •   Semasa bertumpu kepada pelaksanaan kehendak Tuhan. Bagi mempersiapkan dirinya untuk melakukan kehendak Tuhan melalui aktiviti penyebaran, Yesus berpuasa selama 40 hari selepas dia dibaptis.​—Lukas 4:​1, 2.

  •   Semasa seseorang bertaubat daripada dosa lampau. Melalui nabi Yoel, Tuhan berfirman kepada orang Israel yang tidak setia: “Kembalilah kepada-Ku dengan segenap hati. Berpuasalah sambil menangis dan meratap.”​—Yoel 2:​12-​15.

  •   Semasa menyambut Hari Pengampunan Dosa. Hukum Tuhan mewajibkan bangsa Israel untuk berpuasa pada Hari Pengampunan Dosa setiap tahun. a (Imamat 16:29-​31) Semasa berpuasa, mereka diingatkan bahawa mereka tidak sempurna dan memerlukan pengampunan daripada Tuhan.

Apakah beberapa motif yang salah untuk berpuasa?

  •   Untuk menarik perhatian orang lain. Yesus mengajar kita bahawa berpuasa atas sebab agama ialah suatu hal yang peribadi antara Tuhan dan orang itu.​—Matius 6:​16-​18.

  •   Untuk membuktikan dirinya alim. Seseorang tidak menjadi lebih baik secara moral atau rohani hanya kerana dia berpuasa.​—Lukas 18:​9-​14.

  •   Untuk menutupi dosa yang disengajakan. (Yesaya 58:3, 4) Tuhan hanya menerima puasa seseorang jika dia taat kepada Tuhan dan benar-benar bertaubat.

  •   Dilakukan semata-mata sebagai kewajipan agama. (Yesaya 58:5-7) Seperti ibu bapa yang ingin anak menunjukkan kasih daripada hati, Tuhan juga tidak gembira apabila kita melakukan sesuatu secara terpaksa.

Perlukah orang Kristian berpuasa?

 Tidak. Walaupun Tuhan memberi perintah kepada orang Israel untuk berpuasa pada Hari Pengampunan Dosa, aturan ini sudah dibatalkan setelah Yesus menebus dosa semua orang yang bertaubat untuk selama-lamanya. (Ibrani 9:​24-​26; 1 Petrus 3:​18) Orang Kristian tidak perlu menyambut Hari Pengampunan Dosa kerana mereka tidak lagi tertakluk kepada Hukum Musa. (Roma 10:4; Kolose 2:​13, 14) Oleh itu, setiap orang Kristian boleh membuat keputusan sama ada mahu berpuasa atau tidak.​—Roma 14:​1-4.

 Orang Kristian sedar bahawa amalan berpuasa bukanlah tumpuan mereka dalam ibadat. Bible tidak pernah mengaitkan berpuasa dengan kebahagiaan. Sebaliknya, ibadat Kristian yang sejati haruslah membawa sukacita, kerana hal ini mencerminkan sifat Yehuwa sebagai “Tuhan yang gembira.”​—1 Timotius 1:​11; Pengkhutbah 3:​12, 13; Galatia 5:​22.

Tanggapan yang salah mengenai pandangan Bible tentang berpuasa

 Tanggapan yang salah: Yesus berpuasa selama 40 hari di padang belantara selepas pembaptisannya, jadi orang Kristian harus berpuasa untuk mengingatkan hal tersebut.

 Kebenaran: Yesus tidak pernah memerintahkan pengikutnya untuk berpuasa atas sebab ini, dan tiada bukti dalam Bible yang menunjukkan bahawa orang Kristian abad pertama berbuat demikian. b

 Tanggapan yang salah: Orang Kristian harus berpuasa semasa memperingati kematian Yesus.

 Kebenaran: Yesus tidak memerintahkan murid-muridnya untuk berpuasa semasa memperingati kematiannya. (Lukas 22:14-​18) Semasa Yesus berkata bahawa murid-muridnya akan berpuasa apabila dia mati, sebenarnya dia sedang memberitahu mereka apa yang bakal berlaku, dan bukanlah memberi suatu perintah. (Matius 9:​15) Bible mengarahkan orang Kristian yang lapar untuk makan terlebih dahulu di rumah sebelum menghadiri Peringatan kematian Yesus.​—1 Korintus 11:33, 34.

a Tuhan berfirman bahawa orang Israel “harus berdukacita atas dosa-dosa” mereka pada Hari Pengampunan Dosa. (Imamat 16:29, 31) Perintah ini boleh dikaitkan dengan berpuasa. (Yesaya 58:3) Dalam Alkitab Berita Baik, frasa ini diterjemahkan sebagai “berpuasa dan tidak boleh bekerja.”

b Mengenai sejarah puasa Pra-Paskah (Lent) yang berlanjutan selama 40 hari, New Catholic Encyclopedia menyatakan, ‘Dari abad pertama hingga abad ketiga, jangka masa berpuasa sempena persiapan untuk hari Paska (Easter) biasanya satu atau dua hari sahaja, dan tidak melebihi seminggu. Jangka masa selama 40 hari disebut buat kali pertama dalam kanun kelima Majlis Nicaea (325). Namun begitu, sesetengah cendekiawan mempertikaikan sama ada hal itu merujuk kepada Pra-Paskah.’​—Edisi Kedua, Jilid 8, muka surat 468.