Satu Korintus 11:1-34

  • “Ikutlah teladanku” (1)

  • Kekepalaan dan perihal menudung kepala (2-16)

  • Merayakan Perjamuan Malam Tuan (17-34)

11  Ikutlah teladanku sebagaimana aku juga mengikut teladan Kristus.+  Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa ingat akan aku dan berpegang teguh pada ajaran yang aku berikan kepada kamu.  Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa Kristus ialah kepala setiap lelaki;+ lelaki ialah kepala wanita;+ dan Tuhan ialah kepala Kristus.+  Setiap lelaki yang menudung kepalanya semasa berdoa atau bernubuat memalukan kepalanya.  Tetapi setiap wanita yang tidak memakai tudung semasa berdoa atau bernubuat+ memalukan kepalanya, kerana dia sama seperti seorang wanita yang kepalanya dicukur.  Jika seorang wanita tidak memakai tudung, dia harus memotong rambutnya. Namun amatlah memalukan jika seorang wanita memotong atau mencukur rambutnya. Oleh itu dia harus memakai tudung.  Seorang lelaki tidak patut menudung kepala, kerana dia diciptakan menurut gambaran Tuhan,+ dan dia mencerminkan kemuliaan Tuhan. Namun wanita merupakan kemuliaan lelaki.  Hal ini demikian kerana lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.+  Lagipun, lelaki tidak diciptakan demi kepentingan wanita, tetapi wanita diciptakan demi kepentingan lelaki.+ 10  Oleh itu, demi malaikat-malaikat, wanita harus memakai tudung sebagai tanda bahawa dia tunduk kepada kepalanya.+ 11  Selain itu, dalam sidang Tuan kita, lelaki memerlukan wanita dan wanita memerlukan lelaki. 12  Sebagaimana wanita wujud melalui lelaki,+ lelaki juga wujud melalui wanita, tetapi segala sesuatu berasal daripada Tuhan.+ 13  Pertimbangkanlah sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Tuhan tanpa memakai tudung? 14  Tidakkah kamu tahu bahawa secara semula jadi, jika seorang lelaki memiliki rambut yang panjang, hal itu merupakan suatu kehinaan baginya, 15  tetapi jika seorang wanita memiliki rambut yang panjang, hal itu merupakan suatu kemuliaan bagi dirinya? Hal ini demikian kerana wanita dikurniai rambut dan bukannya tudung. 16  Meskipun demikian, jika ada orang yang mempertikaikan hal ini dan mengajar orang untuk mengikut adat yang lain, kita tahu bahawa baik kita mahupun sidang-sidang Tuhan tidak mempunyai adat yang lain. 17  Aku tidak memuji kamu semasa aku memberikan arahan-arahan ini, kerana perjumpaan kamu membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. 18  Pertama sekali, aku mendengar bahawa perpecahan berlaku dalam kalangan kamu semasa kamu berkumpul dalam sidang. Aku percaya hal itu sedikit sebanyak ada kebenarannya. 19  Kumpulan-kumpulan agama* pasti akan ada dalam kalangan kamu.+ Dengan demikian, sesiapa antara kamu yang diperkenankan Tuhan akan menjadi nyata. 20  Semasa kamu berkumpul di suatu tempat, kamu sebenarnya tidak berkumpul untuk makan Perjamuan Malam Tuan.+ 21  Hal ini demikian kerana apabila tiba masanya untuk makan Perjamuan Malam Tuan, kamu masing-masing sudah makan malam terlebih dahulu. Akibatnya ada antara kamu yang lapar dan ada pula yang mabuk. 22  Bukankah kamu mempunyai rumah sendiri untuk makan dan minum? Atau adakah kamu mahu menghina sidang Tuhan dan membuat mereka yang tidak mempunyai apa-apa berasa malu? Apakah yang dapat aku katakan kepada kamu? Patutkah aku memuji kamu? Dalam hal ini aku tidak memuji kamu. 23  Aku mengajar kamu apa yang aku terima daripada Tuan kita: Pada malam+ Tuan Yesus dikhianati, dia telah mengambil roti, 24  dan selepas mengucapkan syukur, dia membahagikan roti itu lalu berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku+ yang akan diserahkan untuk kamu. Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”+ 25  Selepas mereka makan malam, dia mengambil cawan+ dan melakukan hal yang sama lalu berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baharu+ yang termeterai dengan darahku.+ Setiap kali kamu minum daripadanya, lakukanlah hal itu untuk mengenang aku.”+ 26  Oleh itu, setiap kali kamu makan roti dan minum daripada cawan ini, kamu sedang mengumumkan kematian Tuan kita, dan kamu akan terus mengumumkan kematiannya sehingga dia datang. 27  Oleh itu, jika sesiapa makan roti atau minum daripada cawan Tuan kita walaupun dia tidak layak berbuat demikian, dia sudah berdosa terhadap tubuh dan darah Tuan kita. 28  Maka, sebelum seseorang makan roti dan minum daripada cawan tersebut, dia harus memeriksa dirinya dengan teliti terlebih dahulu+ untuk memastikan sama ada dia layak berbuat demikian atau tidak. 29  Hal ini demikian kerana jika seseorang makan dan minum tanpa memahami apa yang dilambangkan oleh tubuh Tuan kita, orang itu akan membawa hukuman kepada dirinya sendiri. 30  Itulah sebabnya ramai antara kamu yang lemah dan sakit, dan agak ramai juga yang sedang tidur dalam kematian.*+ 31  Tetapi jika kita memeriksa diri kita terlebih dahulu, kita tidak akan dihakimi. 32  Meskipun begitu, semasa kita dihakimi, Yehuwa* sebenarnya sedang mendisiplinkan+ kita agar kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini.+ 33  Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berkumpul untuk makan perjamuan ini, kamu harus saling menunggu. 34  Jika ada sesiapa yang lapar, dia harus makan di rumah. Dengan demikian, kamu tidak akan dihukum semasa kamu berkumpul.+ Berkenaan hal-hal yang lain, aku akan menguruskannya semasa aku datang kelak.

Nota Kaki

Atau “Perpecahan.” Lihat Kamus, “Kumpulan agama.”
Nampaknya merujuk kepada kematian rohani.