Lompat ke kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | MIRYAM

“Bernyanyilah untuk Yehuwa”!

“Bernyanyilah untuk Yehuwa”!

 Seorang gadis sedang bersembunyi dari kejauhan sambil memerhatikan sebuah bakul yang terlindung di antara rumput tinggi. Sungai Nil mengalir dengan perlahan dan serangga berterbangan berhampirannya. Namun dia tetap menunggu dengan sabar. Hatinya sedih apabila melihat adiknya yang ada di dalam bakul itu ditinggalkan begitu sahaja. Namun dia tahu bahawa keputusan ibu bapanya ini adalah yang terbaik. Dia tahu bahawa inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa adiknya.

 Gadis ini menunjukkan keberanian yang mengagumkan walaupun dia masih muda. Seraya masa berlalu, keberanian dan imannya semakin jelas kelihatan. Dalam peristiwa yang digambarkan pada permulaan rencana ini, dia telah menunjukkan iman yang teguh terhadap Tuhan. Iman juga telah membantunya pada usia tua, iaitu semasa dia melihat peristiwa yang paling mendebarkan dalam sejarah bangsanya. Apabila dia melakukan dosa yang serius, iman juga telah membantunya. Siapakah dia? Apakah yang dapat kita pelajari daripada imannya?

Miryam—Anak yang Dilahirkan dalam Perhambaan

 Walaupun Bible tidak memberitahu kita nama gadis itu, kita tahu bahawa dia ialah Miryam. Dia merupakan anak sulung kepada Amram dan Yokhebed yang merupakan hamba Ibrani di Mesir. (Bilangan 26:59) Adik keduanya yang berumur kira-kira tiga tahun bernama Harun, dan adik bongsunya pada kemudian hari diberi nama Musa. Kita tidak pasti berapa umur Miryam ketika itu, tetapi nampaknya dia belum lagi mencapai umur 10 tahun.

 Miryam hidup pada masa yang amat mencabar bagi orang sebangsanya. Orang Mesir menganggap orang Ibrani sebagai ancaman. Maka orang Ibrani ditindas dan dijadikan hamba. Apabila bilangan orang Ibrani terus bertambah banyak, orang Mesir menjadi semakin takut dan memperhamba mereka dengan kejam. Firaun telah memerintahkan agar semua bayi lelaki berbangsa Ibrani dibunuh semasa lahir. Namun dua orang bidan iaitu Sifra dan Pua, membiarkan bayi-bayi Ibrani terus hidup. Sudah pasti Miryam mengenali dua wanita yang takut akan Tuhan itu.—Keluaran 1:8-22.

 Miryam juga belajar daripada iman ibu bapanya. Apabila anak ketiga mereka ini dilahirkan, Amram dan Yokhebed menyembunyikannya selama tiga bulan. Mereka tidak membiarkan rasa takut terhadap raja Mesir membuat mereka sanggup membunuh bayi sendiri. (Ibrani 11:23) Namun menyembunyikan seorang bayi memang tidak mudah. Yokhebed tahu dia harus meninggalkan bayinya dalam tangan seseorang yang dapat melindungi dan membesarkannya. Bayangkanlah dia berdoa dengan sepenuh hati sambil membuat sebuah bakul yang diperbuat daripada papirus untuk bayi kesayangannya itu. Dia menyalutinya dengan tar agar kalis air, dan setelah itu dia meninggalkan bayinya di Sungai Nil. Sudah pasti dia menyuruh Miryam untuk melihat apa yang berlaku.—Keluaran 2:1-4.

Miryam—Seorang Penyelamat

 Miryam terus menunggu dengan sabar. Tidak lama kemudian, dia melihat sekumpulan wanita sedang datang untuk mandi di Sungai Nil. Bayangkan betapa terkejutnya Miryam apabila melihat bahawa mereka ialah puteri Firaun dan dayang-dayangnya! Sanggupkah puteri Firaun melanggar perintah bapanya semata-mata untuk melindungi seorang bayi Ibrani? Pada saat itu juga, Miryam pasti telah berdoa dengan sepenuh hati kepada Yehuwa.

 Puteri Firaun ternampak bakul itu di antara rumput tinggi, lalu menyuruh dayangnya membawa bakul itu kepadanya. Bible menyatakan, “Dia membuka bakul itu dan nampak seorang bayi lelaki yang sedang menangis.” Mungkin dia sedar apa yang sedang berlaku: Seorang ibu Ibrani pasti cuba menyelamatkan nyawa bayi sendiri. Hati puteri Firaun mula dipenuhi rasa kasihan terhadap bayi itu. (Keluaran 2:5, 6) Apabila melihat raut wajah puteri itu, Miryam tahu itulah saatnya untuk dia bertindak. Dengan penuh keberanian dan iman kepada Yehuwa, dia mendekati puteri itu.

 Kita tidak tahu apa akibatnya jika seorang hamba Ibrani cuba mendekati dan bercakap dengan ahli keluarga diraja. Namun, Miryam dengan berani bertanya kepada puteri itu, “Bolehkah hamba pergi memanggil seorang wanita Ibrani untuk menyusui dan menjaga anak ini?” Bayangkan betapa gembiranya Miryam apabila puteri itu menjawab, “Baik, pergilah!” (Keluaran 2:7, 8) Puteri itu mungkin berasa bahawa lebih selamat jika bayi itu dijaga oleh wanita bangsa Ibrani. Setelah itu, dia dapat mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan menjaga serta memberinya pendidikan. Lagipun puteri itu juga tahu bahawa dia tidak dapat menyusui bayi itu.

Miryam dengan berani memperhatikan adiknya

 Miryam segera berlari pulang ke rumahnya. Ibunya yang kerisauan pasti gembira setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Miryam. Yokhebed tentu sedar bahawa Yehuwalah yang membantu mereka. Dia dan Miryam segera berjumpa dengan puteri Firaun dan puteri itu berkata kepadanya, “Bawalah anak ini dan susuilah dia untukku. Aku akan memberimu upah.” (Keluaran 2:9) Kita tentu dapat membayangkan Yokhebed yang cuba menyembunyikan kegembiraannya setelah mendengar kata-kata puteri itu.

 Peristiwa itu telah membantu Miryam untuk lebih mengenali Tuhannya, Yehuwa. Dia belajar bahawa Tuhan peduli tentang umat-Nya dan mendengar doa hamba-Nya yang setia. (Mazmur 65:2) Dia juga belajar bahawa semua orang, tidak kira tua atau muda, lelaki mahupun wanita, dapat menunjukkan keberanian dan iman. Sudah pasti, kita semua ingin mengingati pengajaran penting ini, terutamanya pada masa yang mencabar ini.

Miryam—Seorang Kakak yang Sabar

 Dengan sepenuh hati, Yokhebed telah menjaga dan menyusui bayinya itu. Hari demi hari, ikatan kasih Miryam terhadap adiknya pasti bertambah kuat. Barangkali, dialah yang membantu adiknya untuk belajar bercakap. Cuba bayangkan betapa gembiranya dia apabila adiknya mula menyebut nama Tuhan Yehuwa! Namun kegembiraan mereka sekeluarga tidak kekal lama. Mereka akhirnya perlu berpisah apabila anak itu semakin membesar dan perlu dibawa kepada puteri Firaun. (Keluaran 2:10) Anak itu kemudiannya diberi nama Musa oleh ibu angkatnya. Sebagai seorang kakak, sudah tentu Miryam ingin tahu bagaimana kehidupan adiknya. Adakah dia akan terus mengasihi Yehuwa walaupun dibesarkan dalam keluarga diraja Mesir?

 Setelah masa berlalu, Miryam mendengar berita tentang adiknya. Walaupun adiknya hidup dalam kemewahan, dia tetap memilih untuk menyembah Tuhan. Betapa bangga dan gembiranya Miryam mendengar hal itu! Namun semasa Musa berumur 40 tahun, dia telah bertindak melulu. Demi mempertahankan seorang hamba Ibrani yang dianiaya oleh seorang lelaki Mesir, dia membunuh lelaki Mesir itu. Musa sedar bahawa kini nyawanya dalam bahaya, maka dia segera melarikan diri.—Keluaran 2:11-15; Kisah 7:23-29; Ibrani 11:24-26.

 Musa telah tinggal di Midian selama 40 tahun sebagai seorang gembala. Sepanjang masa itu, Miryam mungkin tidak lagi mendengar apa-apa berita tentang adiknya. (Keluaran 3:1; Kisah 7:29, 30) Seraya masa berlalu, Miryam melihat penganiayaan yang dihadapi bangsanya bertambah teruk.

Miryam—Seorang Nabi Wanita

 Miryam mungkin berumur lebih daripada 80 tahun semasa Musa kembali ke Mesir. Musa telah diutus oleh Tuhan untuk menyelamatkan bangsanya, dan Harun dipilih sebagai jurucakap Musa. Kedua-dua adiknya telah menghadap Firaun untuk meminta agar orang Ibrani dibenarkan meninggalkan Mesir, namun Firaun tetap berdegil. Maka Musa dan Harun berulang kali menghadap Firaun untuk memberikan amaran tentang tulah daripada Yehuwa. Sudah pasti Miryam terus memberikan sokongan dan galakan kepada adik-adiknya. Pada suatu malam, semua anak sulung di Mesir telah mati. Akhirnya, saat pembebasan orang Israel telah tiba! Selepas tulah terakhir itu, Musa telah memimpin mereka keluar dari Mesir. Sudah pasti Miryam juga telah membanting tulang untuk membantu bangsanya meninggalkan Mesir.—Keluaran 4:14-16, 27-31; 7:1–12:51.

 Kemudian apabila orang Israel terperangkap antara Laut Merah dengan tentera Mesir, Miryam melihat Musa berdiri di hadapan laut sambil mengangkat tongkatnya. Air laut pun terbelah dua! Semasa menyeberangi dasar sungai yang kering, iman Miryam kepada Yehuwa tentu diteguhkan. Dia dapat melihat bahawa Tuhan yang disembahnya mampu melakukan apa sahaja untuk menunaikan janji-Nya!—Keluaran 14:1-31.

 Selepas mereka selamat menyeberangi Laut Merah, air laut itu segera menimpa Firaun dan askar-askarnya dan menenggelamkan mereka. Miryam sedar bahawa tiada satu pun tentera di muka bumi ini yang dapat mengalahkan Tuhannya. Hati orang Israel yang dipenuhi kesyukuran mendorong mereka untuk menyanyikan lagu pujian bagi Yehuwa. Kemudian Miryam memimpin para wanita untuk bernyanyi, “Bernyanyilah untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang. Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut.”—Keluaran 15:20, 21; Mazmur 136:15.

Di Laut Merah, Miryam memimpin para wanita Israel untuk menyanyikan lagu kemenangan

 Itulah peristiwa yang tidak akan pernah dilupakan Miryam. Sejak itu juga, Bible menyebut Miryam sebagai nabi, dan dialah wanita pertama yang mendapat gelaran tersebut. Hanya beberapa orang wanita sahaja yang pernah dipilih Yehuwa untuk tugas istimewa itu.—Hakim-Hakim 4:4; 2 Raja-Raja 22:14; Yesaya 8:3; Lukas 2:36.

 Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa Yehuwa memperhatikan kita dan akan memberkati usaha kita, ketabahan kita, dan keinginan kita untuk memuji-Nya. Semoga kita semua, tidak kira tua atau muda, terus berusaha meniru iman yang ditunjukkan Miryam. Kita yakin bahawa iman yang kita tunjukkan tidak akan dilupakan Yehuwa. Sememangnya, hal itu menyenangkan hati Yehuwa dan Dia pasti akan memberkati kita.—Ibrani 6:10; 11:6.

Miryam—Kesombongan Menguasainya

 Walaupun tugas dan kedudukan yang istimewa merupakan suatu berkat, hal itu juga dapat menjadi jerat. Apabila orang Israel dibebaskan daripada perhambaan, Miryam nampaknya telah menjadi seorang wanita yang terkenal dalam kalangan orang Israel. Adakah hal itu akan membuatnya menjadi sombong? (Amsal 16:18) Sedihnya, Miryam mula membiarkan kesombongan berakar dalam hatinya.

 Semasa Musa berada di Midian selama 40 tahun, dia telah berkahwin dengan Zipora dan mendapat dua orang anak lelaki. Maka beberapa bulan selepas pembebasan orang Israel, bapa mentuanya, Yitro, telah datang ke perkhemahan orang Israel bersama Zipora dan dua anaknya. Kemungkinan sebelum ini Zipora telah melawat keluarganya di Midian dan kini dia datang bersama bapanya. (Keluaran 18:1-5) Bayangkan keriuhan yang timbul! Sudah tentu ramai orang ingin melihat isteri kepada lelaki yang dipilih Tuhan untuk membebaskan mereka.

 Adakah Miryam juga gembira untuk berjumpa dengan isteri adiknya? Pada mulanya, Miryam mungkin berasa senang hati. Namun, Miryam membiarkan perasaan angkuh menguasainya. Dia mungkin menganggap bahawa kedatangan Zipora akan menggugat kedudukannya dalam kalangan bangsa Israel. Maka dia dan Harun mula bercakap hal-hal buruk mengenai Zipora. Mereka mencela Zipora kerana dia merupakan orang Kus a dan bukannya sebangsa dengan mereka. Lama-kelamaan, mereka mula bersungut-sungut tentang Musa. Mereka berkata, “Adakah Yehuwa berfirman melalui Musa sahaja? Bukankah Dia berfirman melalui kita juga?”—Bilangan 12:1, 2.

Miryam—Dijangkiti Kusta

 Melalui kata-kata mereka, kita dapat melihat bahawa Miryam dan Harun mula diracuni kebencian. Mereka tidak puas hati dengan cara Yehuwa menggunakan Musa, dan ingin mendapat lebih banyak kuasa. Adakah Musa menyalahgunakan kuasanya dan suka mengagung-agungkan diri? Tidak. Biarpun Musa orang yang tidak sempurna, dia bukanlah seorang yang sombong. Bible bahkan menyatakan bahawa dia ialah orang yang “paling rendah hati di seluruh bumi.” Sebenarnya, tindakan Miryam dan Harun sudah melampau, dan Yehuwa sedang “mendengar kata-kata” mereka yang berbisa itu.—Bilangan 12:2, 3.

 Maka Yehuwa menyuruh mereka bertiga untuk pergi ke khemah pertemuan. Di pintu masuk khemah itu, mereka melihat tiang awan yang menggambarkan kehadiran Yehuwa. Kemudian, Yehuwa mula berfirman lalu Dia menegur Miryam dan Harun. Dia mengingatkan mereka tentang hubungan istimewa antara Dia dengan Musa dan betapa besar kepercayaan-Nya terhadap Musa. Kemudian Yehuwa berkata, “Mengapa kamu begitu berani mencela hamba-Ku Musa?” Bayangkan betapa takutnya Miryam dan Harun ketika itu! Ya, Yehuwa menganggap celaan yang dilontarkan terhadap Musa seolah-olah dilontarkan terhadap-Nya.—Bilangan 12:4-8.

 Nampaknya Miryamlah yang memulakan masalah itu dan mempengaruhi Harun untuk berpihak padanya. Itulah sebabnya Yehuwa menghukumnya. Dia diserang penyakit kusta dan kulitnya menjadi “putih seperti salji.” Apabila melihat keadaan kakaknya, Harun dengan rendah hati berkata kepada Musa, “Kami tahu bahawa tindakan kami sangat bodoh.” Maka Musa merayu kepada Yehuwa, “Ya Tuhan, tolonglah sembuhkan dia. Sembuhkanlah dia!” (Bilangan 12:9-13) Walaupun Miryam telah melakukan apa yang salah, adik-adiknya tetap mengasihinya dan ingin dia disembuhkan.

Yehuwa Mengampuni Miryam

 Yehuwa menunjukkan belas kasihan dengan menyembuhkan Miryam. Namun Yehuwa menyuruh Miryam diasingkan di luar perkhemahan selama tujuh hari. Disiplin daripada Yehuwa itu tentu membuat Miryam berasa malu. Namun Miryam beriman kepada Yehuwa dengan mengikut arahan-Nya. Dia yakin bahawa Yehuwa mendisiplinkannya atas dasar kasih. Oleh itu selama tujuh hari, orang Israel tidak memindahkan perkhemahan mereka sehinggalah dia “dibawa masuk semula.”—Bilangan 12:14, 15.

 Yehuwa mendisiplinkan orang yang dikasihi-Nya. (Ibrani 12:5, 6) Oleh sebab Yehuwa mengasihi Miryam, Dia tidak ingin membiarkan Miryam terus dikuasai kesombongan. Disiplin daripada Yehuwa memang menyakitkan, namun kerana Miryam menerimanya dengan rendah hati, dia mendapat perkenan Yehuwa semula. Dia hidup sehingga akhir perjalanan orang Israel di padang belantara. Semasa dia meninggal di Kades, di padang belantara Zin, dia mungkin berumur hampir 130 tahun. b (Bilangan 20:1) Ratusan tahun kemudian, Yehuwa memuji kesetiaan Miryam. Melalui Nabi Mikha, Dia mengingatkan umat-Nya, “Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan. Aku telah mengutus Musa, Harun, dan Miryam kepadamu.”—Mikha 6:4.

Iman Miryam membantunya untuk menerima disiplin daripada Yehuwa dengan rendah hati

 Kisah hidup Miryam mengajar kita banyak perkara. Seperti Miryam, kita perlu melindungi mereka yang lemah dan harus berani mempertahankan apa yang benar. (Yakobus 1:27) Kita juga perlu mengisytiharkan berita daripada Tuhan dengan penuh semangat. (Roma 10:15) Selain itu, kita harus menjauhi perasaan cemburu dan benci. (Amsal 14:30) Kita juga patut menerima disiplin daripada Yehuwa dengan rendah hati. (Ibrani 12:5) Jika kita berusaha melakukan semua itu, kita sedang meniru iman yang ditunjukkan Miryam.

a Perkataan “Kus” yang digunakan untuk merujuk kepada Zipora nampaknya bermaksud dia berasal dari Arab seperti kebanyakan orang Midian, dan bukannya dari Etiopia.

b Tiga adik-beradik ini meninggal mengikut urutan kelahiran mereka. Nampaknya dalam jangka masa setahun, Miryam meninggal, kemudian Harun, dan akhirnya Musa.