Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Roma 6:23—‘Ganjaran Dosa ialah Kematian tetapi Kurnia Tuhan ialah Kehidupan Kekal’

Roma 6:23—‘Ganjaran Dosa ialah Kematian tetapi Kurnia Tuhan ialah Kehidupan Kekal’

 “Upah dosa ialah kematian, tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus.”—Roma 6:23, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Tuhan ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus.’—Roma 6:23, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Roma 6:23

 Melalui kata-kata ini, Rasul Paulus menjelaskan bahawa manusia mati kerana mereka berdosa. Tetapi, Tuhan memberi penyembah-Nya yang setia harapan yang indah, iaitu kurniaan kehidupan kekal.

 “Upah dosa ialah kematian.” Semua orang dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna dan cenderung untuk berbuat dosa. a (Mazmur 51:5; Pengkhutbah 7:20) Oleh sebab mereka dilahirkan dalam keadaan berdosa, semua manusia menjadi tua dan mati.—Roma 5:12.

 Untuk menjelaskan poin ini, Paulus menggambarkan dosa seperti tuan yang membayar upah. Sepertimana pekerja tahu dia akan mendapat upah bagi kerjanya, manusia juga tahu bahawa mereka akan mati disebabkan keadaan mereka yang tidak sempurna.

 Namun, Paulus juga menjelaskan bahawa “apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.” (Roma 6:7) Semasa seseorang mati, dia dibebaskan daripada segala dosa yang telah dilakukannya. Maka, tiada sebab untuk berfikir bahawa orang mati akan terus menderita di suatu tempat disebabkan kesalahan lampau mereka. Sebenarnya, Bible menjelaskan bahawa orang mati tidak dapat berfikir, bertindak, atau rasa apa-apa.—Pengkhutbah 9:5.

 “Tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus.” Walaupun manusia akan mati kerana “upah” dosa, Tuhan menawarkan kurniaan berupa kehidupan kekal. Perkataan asal untuk “kurniaan” juga boleh diterjemahkan sebagai “kurniaan yang tidak layak diperoleh” atau “kurniaan yang murah hati.” Tiada manusia berdosa yang dapat memperoleh penyelamatan dan kehidupan kekal dengan hasil usaha sendiri. (Mazmur 49:7, 8) Namun, Tuhan memberikan kurniaan yang tidak ternilai secara percuma, iaitu kehidupan kekal kepada mereka yang menunjukkan iman terhadap Yesus.—Yohanes 3:16; Roma 5:15, 18.

Konteks Roma 6:23

 Paulus menulis surat ini kepada orang Kristian di Roma kira-kira pada 56 M. Nampaknya, sesetengah orang Kristian pada masa itu mempunyai pandangan yang salah tentang belas kasihan Tuhan. Disebabkan pengaruh falsafah Yunani, mereka mungkin berfikir bahawa semakin banyak dosa mereka, semakin banyak manfaat yang dapat diterima mereka daripada pengampunan Tuhan. (Roma 6:1) Ada pula yang berpendapat bahawa mereka tidak akan dihukum atas kesalahan mereka kerana mereka bukan lagi di bawah Hukum Musa. (Roma 6:15) Dalam suratnya, Paulus menekankan bahawa orang Kristian tidak boleh meraih manfaat daripada belas kasihan Tuhan jika mereka mengizinkan dosa mengawal kehidupan mereka.—Roma 6:12-14, 16.

 Kata-kata Paulus meyakinkan penyembah Tuhan hari ini bahawa walaupun mereka dilahirkan dalam keadaan yang berdosa, mereka masih ada harapan. Jika mereka mematuhi standard moral Tuhan dan tidak menyerah kepada keinginan yang salah, Tuhan berjanji untuk memberi mereka kehidupan kekal.—Roma 6:22.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Roma.

a Dalam Bible, “dosa” merujuk kepada apa-apa perbuatan atau sikap yang tidak selaras dengan standard Tuhan. (1 Yohanes 3:4) Lihat rencana “Apakah Itu Dosa?