Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Mazmur 46:10​—’Diamlah, dan Ketahuilah Aku Tuhan’

Mazmur 46:10​—’Diamlah, dan Ketahuilah Aku Tuhan’

 “Tuhan berfirman, ‘Tunduklah kepada-Ku dan ketahuilah bahawa Akulah Tuhan. Aku akan diagungkan dalam kalangan bangsa-bangsa, dan Aku akan dimuliakan di seluruh bumi.’”—Mazmur 46:10, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Diamlah, dan ketahuilah Aku Tuhan; Aku akan dimuliakan dalam kalangan bangsa-bangsa, Aku akan dimuliakan di bumi ini.’—Mazmur 46:10, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Mazmur 46:10

 Tuhan menggesa semua orang untuk menyembah-Nya dan mengakui hak-Nya untuk memerintah seluruh bumi. Kuasa dan hak-Nya untuk memerintah tidak dapat dinafikan dan semua orang yang ingin hidup selama-lamanya mesti mengakui kebenaran ini.—Wahyu 4:11.

 “Tunduklah kepada-Ku dan ketahuilah bahawa Akulah Tuhan.” Sesetengah terjemahan Bible menterjemahkan bahagian pertama ayat ini sebagai “diamlah.” Itulah sebabnya ramai orang mempunyai tanggapan yang salah tentang ayat ini. Mereka berfikir bahawa ini adalah perintah untuk menunjukkan hormat dan berdiam diri semasa di gereja. Namun, frasa Ibrani yang diterjemahkan sebagai “Tunduklah kepada-Ku dan ketahuilah bahawa Akulah Tuhan,” merupakan suatu seruan daripada Tuhan Yehuwa a sendiri. Dia menggesa orang dari segala bangsa untuk berhenti menentang-Nya dan mengakui bahawa Dia sahaja layak disembah.

 Mazmur 2 mengandungi seruan yang serupa. Dalam mazmur itu, Yehuwa berjanji untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menentang-Nya. Sebaliknya, orang yang mengakui hak Tuhan untuk memerintah akan bergantung kepada-Nya untuk mendapatkan bimbingan, kekuatan, dan kebijaksanaan. Jadi, “orang yang berlindung kepada-Nya” berasa bahagia dan dilindungi, terutamanya semasa menghadapi kesusahan.—Mazmur 2:9-12.

 “Aku akan diagungkan dalam kalangan bangsa-bangsa, dan Aku akan dimuliakan di seluruh bumi.” Pada masa lampau, Yehuwa dimuliakan apabila Dia menggunakan kuasa-Nya yang hebat untuk melindungi umat-Nya. (Keluaran 15:1-3) Pada masa depan pula, Dia akan dimuliakan pada skala yang jauh lebih besar apabila semua orang di bumi tunduk kepada pemerintahan-Nya dan menyembah-Nya.—Mazmur 86:9, 10; Yesaya 2:11.

Konteks Mazmur 46:10

 Suatu rujukan menyebut bahawa Mazmur 46 ialah “satu lagu rohani yang mengagungkan kuasa Tuhan, pelindung perkasa bagi umat-Nya.” Apabila menyanyikan Mazmur 46, umat Tuhan sedang mengungkapkan keyakinan mereka bahawa Yehuwa dapat melindungi dan menolong mereka. (Mazmur 46:1, 2) Kata-kata ini mengingatkan mereka bahawa Yehuwa sentiasa menyertai mereka.—Mazmur 46:7, 11.

 Untuk menguatkan keyakinan bahawa Yehuwa mempunyai kuasa untuk melindungi mereka, mazmur itu menggalakkan mereka untuk merenungkan perbuatan menakjubkan yang pernah dilakukan-Nya. (Mazmur 46:8) Secara khasnya, mazmur itu menonjolkan kebolehan Tuhan untuk menghentikan peperangan. (Mazmur 46:9) Boleh dikatakan, Tuhan telah menghentikan peperangan pada zaman Bible dengan melindungi umat-Nya daripada bangsa-bangsa yang merupakan musuh mereka. Namun, Bible berjanji bahawa tidak lama lagi Tuhan akan melakukan hal yang sama dalam skala yang lebih besar apabila Dia menghentikan semua peperangan di seluas dunia.—Yesaya 2:4.

 Adakah Yehuwa masih membantu para penyembah-Nya hari ini? Ya. Malah, Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian dengan kuat supaya bergantung kepada Yehuwa untuk mendapatkan bantuan-Nya. (Ibrani 13:6) Kata-kata di Mazmur 46 menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa mempunyai kuasa untuk melindungi kita dan membantu kita memandang Tuhan sebagai “tempat naungan dan kekuatan kita.”—Mazmur 46:1.

 Sila menonton video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Mazmur.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihatlah rencana “Siapakah Yehuwa?