Lompat ke kandungan

Adakah Bible New World Translation Tepat?

Adakah Bible New World Translation Tepat?

 Bahagian pertama daripada Bible New World Translation dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan pada 1950. Sejak itu, sesetengah orang memberikan komen atau mempersoalkan ketepatan New World Translation a kerana terjemahannya berbeza daripada Bible yang lain. Perbezaan ini disebabkan oleh sebab-sebab yang berikut:

  •   Boleh dipercayai. Bible New World Translation adalah berasaskan penyelidikan yang terkini daripada para cendekiawan dan berdasarkan naskhah kuno yang boleh dipercayai. Manakala, Bible King James Version yang diterbitkan pada 1611 adalah berdasarkan naskhah yang lebih baharu daripada yang digunakan dalam penterjemahan Bible New World Translation. Jadi, naskhah-naskhah yang digunakan dalam penterjemahan Bible King James Version adalah kurang tepat.

  •   Ketepatan. Bible New World Translation berusaha untuk menyampaikan mesej yang sebenar daripada Tuhan. (2 Timotius 3:16) Banyak terjemahan Bible melalaikan ketepatan mesej daripada Tuhan kerana terikut dengan tradisi manusia. Misalnya, Yehuwa, iaitu nama Tuhan, telah dikeluarkan dan digantikan dengan gelaran seperti Tuhan.

  •   Secara harfiah. Bible New World Translation tidak diterjemahkan secara parafrasa, iaitu mengungkapkan semula kandungan asal dengan menggunakan kata-kata yang mudah difahami. Sebaliknya, Bible New World Translation diterjemahkan secara harfiah, asalkan tidak menghasilkan ayat-ayat yang susah difahami atau menjejaskan makna yang sebenar. Terjemahan Bible yang berbentuk parafrasa mungkin menyelit masuk pandangan manusia serta mengabaikan perincian yang penting.

Perbezaan antara Bible New World Translation dan terjemahan Bible yang lain

 Kitab-kitab tambahan. Di dalam Bible Roman Katolik dan Bible Eastern Orthodox, kitab Apokrifa (Deuterokanonika) ditambahkan. Tetapi, orang Yahudi yang ‘diamanahkan dengan firman Tuhan’ tidak menerima kitab-kitab tambahan tersebut dalam daftar karya mereka. (Roma 3:​1, 2) Maka, Bible New World Translation dan banyak lagi terjemahan Bible yang moden tidak mengandungi kitab-kitab tambahan tersebut.

 Ayat-ayat tambahan. Sesetengah terjemahan Bible menambah ayat dan frasa yang tidak terdapat dalam naskhah kuno. Tetapi, Bible New World Translation tidak memasukkan maklumat tambahan ini. Banyak terjemahan Bible moden mengeluarkan ayat tambahan ini atau mengesahkan bahawa maklumat tambahan tersebut tidak berasal dari sumber yang boleh dipercayai. b

 Perkataan yang berlainan. Kadangkala, terjemahan secara perkataan demi perkataan adalah kurang jelas atau mengelirukan. Misalnya, kata-kata Yesus di Matius 5:3 diterjemahkan sebagai, “Diberkatilah mereka yang miskin secara roh.” (English Standard Version; King James Version; New International Version) Ramai orang mendapati bahawa frasa “miskin secara roh” amat mengelirukan. Yang lain pula berfikir bahawa Yesus menggalakkan sifat rendah diri atau kemiskinan. Sebenarnya, maksud Yesus ialah orang akan meraih kebahagiaan sejati apabila mereka sedar bahawa mereka memerlukan bimbingan Tuhan. Bible New World Translation secara tepat menterjemahkan kata-kata Yesus sebagai “orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”​—Matius 5:3. c

  Pujian daripada cendekiawan yang bukan Saksi mengenai New World Translation

  •   Dalam sebuah surat yang bertarikh 8 Disember 1950, seorang penterjemah dan cendekiawan Bible, Edgar J. Goodspeed menulis mengenai New World Translation of the Christian Greek Scriptures, “Saya tertarik dengan kerja Saksi-Saksi Yehuwa yang dilakukan di seluas dunia. Saya menghargai kerja terjemahan mereka yang lancar, jelas, dan penuh semangat. Hal ini menunjukkan bahawa mereka ialah pelajar Bible yang serius.”

    Edgar J. Goodspeed

  •   Profesor Allen Wikgren dari Universiti Chicago menggunakan Bible New World Translation sebagai contoh terjemahan yang menggunakan kata-kata moden. Menurut dia, terjemahan ini tidak meniru terjemahan lain, tetapi diterjemahkan daripada naskhah-naskhah asal.​—The Interpreter’s Bible, Jilid I, muka surat 99.

  •   Mengenai New World Translation of the Christian Greek Scriptures, seorang pengkritik Bible British, Alexander Thomson menulis, “Terjemahan ini merupakan karya cendekiawan yang mahir dan pintar. Mereka telah berusaha untuk menerangkan maksud asal dalam bahasa Yunani ke dalam bahasa Inggeris dengan sebaik yang mungkin.”​—The Differentiator, April 1952, muka surat 52.

  •   Walaupun Charles Francis Potter berasa bahawa terjemahan New World Translation mengandungi beberapa frasa yang kurang jelas, dia berkata, “Para penterjemah yang tidak diketahui ini memang menterjemah kitab Yunani mahupun kitab Ibrani dengan mahir dan membuat keputusan yang tepat.”​—The Faiths Men Live By, muka surat 300.

  •   Meskipun Robert M. McCoy berkata bahawa ada perkara yang ganjil di dalam New World Translation, dia menyimpulkan, “Terjemahan New World Translation menunjukkan bahawa antara Saksi-Saksi Yehuwa terdapat para cendekiawan yang layak untuk menangani masalah-masalah terjemahan Bible.”​—Andover Newton Quarterly, Januari 1963, muka surat 31.

  •   Profesor S. MacLean Gilmour tidak setuju dengan cara beberapa ayat diterjemahkan dalam New World Translation. Namun, dia mengaku bahawa para penterjemah Bible ini “memang fasih menggunakan bahasa Yunani.”​—Andover Newton Quarterly, September 1966, muka surat 26.

  •   Semasa mengulas tentang New World Translation yang merupakan sebahagian daripada Kingdom Interlinear Translation of the Greek Scriptures, Profesor Madya Thomas N. Winter menulis, “Terjemahan yang dilakukan oleh pertubuhan ini adalah yang terkini dan selalu tepat.”​—The Classical Journal, April-Mei 1974, muka surat 376.

  •   Pada tahun 1989, Profesor Benjamin Kedar-Kopfstein, seorang cendekiawan di Israel berkata, “Semasa membuat penyelidikan mengenai bahasa yang berkenaan dengan Kitab Ibrani, saya sering merujuk kepada New World Translation. Terjemahan ini tulus dan bertujuan untuk menyampaikan pemahaman yang paling tepat.”

  •   Selepas mengkaji sembilan terjemahan Bible dalam bahasa Inggeris, Jason David BeDuhn, seorang profesor madya dalam bidang agama menulis, “Terjemahan NW [New World Translation] adalah yang paling tepat antara semuanya.” Walaupun orang lain berfikir bahawa Bible ini berbeza kerana para penterjemahnya bersandar pada kepercayaan tertentu, BeDuhn berkata, “Kebanyakan perbezaan adalah disebabkan NW diterjemahkan secara harfiah, serta memelihara kesahihan ungkapan asal yang digunakan oleh penulis-penulis kitab Yunani.”​—Truth in Translation, muka surat 163, 165.

a Semua komen ini merujuk kepada New World Translation dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan sebelum keluaran edisi 2013.

b Contohnya, lihat Bible New International Version dan Bible Katolik New Jerusalem. Ayat tambahan ialah Matius 17:21; 18:11; 23:14; Markus 7:​16; 9:​44, 46; 11:26; 15:28; Lukas 17:36; 23:17; Yohanes 5:4; Kisah 8:​37; 15:34; 24:7; 28:29; dan Roma 16:24. Bible King James Version dan Douay-Rheims Version mengandungi ajaran Tritunggal di ayat 1 Yohanes 5:​7, 8 yang ditambahkan ratusan tahun kemudian, selepas Bible selesai ditulis.

c Begitu juga, J. B. Phillips menterjemah kata-kata Yesus sebagai “mereka yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan,” dan The Translator’s New Testament menggunakan frasa “mereka yang tahu keperluan rohani mereka.”