Lompat ke kandungan

Mereka Menghargai Suratnya

Mereka Menghargai Suratnya

 Saudari Brooke ialah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal di Amerika Syarikat. Semasa pandemik COVID-19, dia menginjil menerusi surat. Brooke menulis banyak surat setiap minggu, tetapi setahun setengah kemudian, dia berasa tawar hati. Sepanjang masa itu, hanya ada satu orang yang membalas suratnya, dan lelaki itu menyuruh Brooke agar jangan menulis surat kepadanya lagi. Brooke rasa usahanya sia-sia sahaja.

 Beberapa lama kemudian, Kim, seorang Saksi yang bekerja di bank, memberitahu Brooke tentang perbualannya dengan seorang pelanggan. Pelanggan itu memberitahu Kim bahawa dia menerima sepucuk surat daripada Saksi-Saksi Yehuwa. Rupa-rupanya, surat itu daripada Brooke! Pada minggu berikutnya, pelanggan itu kembali ke bank. Semasa dia bercakap dengan Kim, dia menanya jika dia boleh menghadiri perjumpaan sidang, yang pada masa itu diadakan menerusi persidangan video.

 Tidak lama kemudian, David, yang juga seorang Saksi, memberitahu Brooke bahawa rakan kerjanya telah menerima surat Brooke. Rakan kerja itu sangat tersentuh kerana surat itu ditulis dengan tangan. Dia berkata, “Lebih banyak orang harus menunjukkan minat peribadi sebegini kepada orang lain.” David menggunakan peluang itu untuk memberitahu dia lebih banyak tentang Bible. Rakan kerjanya berminat dan sudi menerima bahan bacaan yang ditawarkan oleh David.

 Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa mereka tidak selalunya tahu bila benih kebenaran yang mereka tanam akan bertumbuh. (Pengkhutbah 11:5, 6) Pengalaman Brooke telah menguatkan semangatnya untuk terus menginjil.—1 Korintus 3:6.