Lompat ke kandungan

Ekspedisi Menyusuri Sungai Maroni

Ekspedisi Menyusuri Sungai Maroni

 Jauh daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota, terdapat penduduk dari pelbagai bangsa, suku kaum, dan bahasa yang tinggal di dalam hutan hujan Amazon di Amerika Selatan. Maka, pada Julai 2017, 13 orang Saksi-Saksi Yehuwa memulakan ekspedisi menyusuri Sungai Maroni dan anak-anak sungainya di Guiana Perancis. Matlamat mereka? Untuk menyebarkan mesej Bible yang membawa harapan kepada mereka yang tinggal di sepanjang sungai itu.

Membuat Persiapan untuk Ekspedisi

 Ekspedisi ini akan berlangsung selama 12 hari. Sebulan sebelumnya, kesemua peserta telah menghadiri sebuah mesyuarat perancangan. “Kami mendapat tahu butiran mengenai kawasan itu dan sejarahnya, serta membincangkan bagaimana kami dapat membuat persiapan untuk perjalanan tersebut,” kata Winsley. Setiap peserta membawa sebuah bekas kedap air untuk menyimpan hammock (buaian untuk tidur) dan kelambu. Perjalanan ini melibatkan dua penerbangan dan banyak masa dalam perahu lading.

Claude dan Lisette

 Apakah perasaan saudara saudari yang dijemput untuk menyertai ekspedisi ini? Claude dan Lisette, sepasang suami isteri yang berumur 60-an, menerima jemputan itu dengan serta-merta. “Saya sangat gembira, tapi rasa sikit takut juga,” kata Claude. “Saya pernah dengar tentang bahayanya arus sungai yang deras di sana.” Lisette juga menyatakan kerisauannya, “Saya ragu-ragu sama ada saya dapat bertutur dalam bahasa penduduk asli di sana.”

 Seorang lagi peserta yang bernama Mickaël juga berperasaan sedemikian. Dia berkata, “Kami tidak berapa tahu tentang suku Wayana, jadi saya membuat sedikit penyelidikan di Internet untuk belajar beberapa perkataan agar dapat bertegur sapa dengan mereka dalam bahasa Wayana.”

 Shirley, yang menyertai ekspedisi ini bersama suaminya, Johann, membuat senarai bahasa-bahasa yang dituturkan oleh penduduk di sepanjang sungai. Dia berkata, “Kami memuat turun beberapa video dalam bahasa mereka dari jw.org dan juga mendapat sebuah kamus percakapan harian dalam bahasa Wayana.”

Bermulanya Ekspedisi

 Pada hari Selasa, 4 Julai, kumpulan itu menaiki sebuah kapal terbang di Saint-Laurent du Maroni dan berlepas ke Maripasoula, sebuah pekan kecil yang terletak di kawasan pedalaman Guiana Perancis.

 Dalam masa empat hari berikutnya, kumpulan itu menaiki perahu lading bermotor dan menginjil kepada penduduk kampung yang tinggal di persisiran hulu Sungai Maroni. Salah seorang daripada kumpulan itu yang bernama Roland berkata, “Orang di sana sangat berminat tentang topik-topik Bible. Mereka mempunyai banyak pertanyaan, dan ada juga yang mahu belajar Bible dengan kami.”

 Johann dan Shirley bertemu dengan sepasang suami isteri muda di sebuah kampung. Salah seorang sepupu mereka baru sahaja membunuh diri. Johann berkata, “Kami menunjukkan video Seorang Peribumi Amerika yang Menemui Penciptanya [yang terdapat di Siaran JW] kepada mereka, dan mereka amat tersentuh. Mereka memberi kami alamat e-mel mereka kerana ingin terus menghubungi kami.”

 Kawasan terjauh yang mereka kunjungi adalah Antécume Pata. Di sana, ketua kampung membenarkan para Saksi yang keletihan untuk memasang hammock mereka di kawasan awam. Mereka juga mandi di sungai seperti penduduk tempatan.

 Seterusnya, mereka menuju ke sebuah kampung yang bernama Twenké. Penduduk di sana sedang berkabung atas kematian salah seorang yang dikasihi. Éric, salah seorang penganjur ekspedisi ini, mengatakan, “Penghulu kampung itu membenarkan kami untuk bergerak bebas supaya dapat melegakan hati sesiapa sahaja yang sedang bersedih. Penghulu kampung dan keluarganya menghargai kata-kata yang kami bacakan dari Bible kepada mereka dalam bahasa Wayana. Kami juga memainkan video yang menunjukkan janji Bible tentang pembangkitan.”

Menuju ke Grand-Santi dan Apatou

 Kemudian, para Saksi menuju ke hilir sungai dengan menaiki sebuah kapal terbang selama 30 minit dari Maripasoula ke sebuah pekan kecil yang bernama Grand-Santi. Pada hari Selasa dan Rabu, para Saksi mengongsi mesej Bible dengan penduduk tempatan. Pada hari Khamis, mereka menyusuri Sungai Maroni selama lima jam setengah sehingga sampai ke kampung Apatou.

Sungai Maroni dan hutan hujan Amazon di antara Maripasoula dan Grand-Santi

 Sehari sebelum ekspedisi ini berakhir, saudara saudari mengunjungi kampung-kampung suku Maroon yang terletak di hutan. Suku Maroon adalah keturunan orang Afrika yang dibawa ke Amerika Selatan sebagai hamba semasa Suriname, yang merupakan negara jiran Guiana Perancis, dijajah oleh kuasa asing. Para Saksi menjemput semua orang untuk menghadiri perjumpaan yang diadakan di bawah sebuah khemah yang besar di dalam hutan. Claude berkata, “Kami begitu gembira melihat ramai orang datang ke perjumpaan, padahal pagi itu saja kami menjemput mereka!” Karsten, yang menyertai ekspedisi ke kawasan pedalaman buat kali pertama, telah memberikan ceramah yang bertema “Adakah Hidup Kita Sia-Sia Sahaja?” dalam bahasa Aukan. 91 orang yang datang daripada beberapa kampung telah menghadiri perjumpaan itu.

“Kami Bersedia Melakukannya Lagi!”

 Akhirnya, para peserta ekspedisi ini kembali ke Saint-Laurent du Maroni. Semua peserta kagum dengan sambutan positif yang ditunjukkan oleh penduduk di sana. Mereka menerima banyak bahan bacaan dan menonton banyak video yang telah dihasilkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

 Lisette berkata, “Saya tidak dapat ungkapkan dalam kata-kata betapa gembiranya saya berpeluang untuk menyertai ekspedisi ini.” Cindy bersetuju, “Saya betul-betul ingin melakukannya jika dapat peluang lagi. Sukacita ini perlu dialami baru dapat difahami!”

 Ekspedisi ini telah menyemarakkan keinginan sesetengah peserta untuk kembali. Mickaël berkata, “Kami bersedia melakukannya lagi!” Winsley telah pun berpindah ke Saint-Laurent du Maroni. Claude dan Lisette juga telah memutuskan untuk berpindah ke Apatou.