Lompat ke kandungan

Dia Tetap Bertabah Menghadapi Tragedi

Dia Tetap Bertabah Menghadapi Tragedi

 Virginia ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang menghidap penyakit saraf (atau locked-in syndrome). Seluruh badannya lumpuh. Dia dapat melihat dan mendengar, membuka dan menutup mata, dan melakukan pergerakan kecil dengan kepalanya. Dia tidak boleh bercakap atau makan. Sebelum ini, dia seorang yang sihat dan bertenaga. Tetapi pada suatu pagi tahun 1997, belakang kepalanya sangat sakit. Suaminya telah membawanya ke hospital, dan pada petang itu, keadaannya merosot sehingga dia berada dalam koma. Apabila dia sedar dua minggu selepas itu, dia berada di unit rawatan rapi. Waktu itu, dia sudah lumpuh dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Selama beberapa hari, dia tidak dapat ingat apa-apa pun, bahkan siapa dirinya.

 Virginia menjelaskan apa yang berlaku seterusnya. “Secara beransur-ansur, ingatan saya kembali. Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu mati dan meninggalkan anak kecil saya tanpa seorang ibu. Untuk mendapatkan keberanian, saya cuba ingat seberapa banyak ayat Bible yang mungkin.

 “Akhirnya, doktor memindahkan saya dari unit rawatan rapi. Selepas menghabiskan enam bulan dalam beberapa hospital dan sebuah pusat pemulihan, saya dibenarkan untuk pulang. Saya masih lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan orang lain. Saya begitu tawar hati! Saya rasa tidak berguna kepada orang lain dan Yehuwa. Saya juga risau kerana saya tidak dapat menjaga anak saya.

 “Saya mula membaca pengalaman Saksi-Saksi lain yang menghadapi situasi yang serupa, dan saya kagum dengan apa yang mereka dapat lakukan untuk Yehuwa. Hasilnya, saya cuba memupuk sikap yang positif dengan bertumpu kepada apa yang saya dapat lakukan. Sebelum saya jatuh sakit, saya tidak ada begitu banyak masa untuk hal-hal rohani. Tetapi sekarang saya dapat meluangkan masa sepanjang hari, setiap hari, untuk berbuat demikian. Jadi, daripada berasa tawar hati, saya berfokus kepada Yehuwa.

 “Saya belajar cara untuk menggunakan komputer. Untuk menaip, saya menggunakan program komputer yang menjejaki pergerakan kepala saya. Saya berasa letih, tetapi program ini membantu saya untuk belajar Bible, dan untuk berkongsi harapan saya dengan orang lain menerusi surat dan e-mel. Untuk berkomunikasi dengan orang di sekeliling saya, saya ada sekeping papan dengan abjad di atasnya. Orang di sisi saya akan menunjuk huruf-huruf itu satu demi satu. Apabila dia menunjuk huruf yang betul, saya akan mengelipkan mata. Kami mengulangi proses ini untuk membentuk perkataan dan ayat-ayat. Beberapa orang saudari yang sering meluangkan masa dengan saya selalu tahu apa yang saya ingin katakan. Ada kalanya apabila mereka tersilap, kami ketawa bersama-sama.

Berkomunikasi menerusi sekeping papan yang mempunyai huruf-huruf

 “Saya suka menyertai aktiviti sidang. Saya selalu menghadiri perjumpaan melalui panggilan telefon, dan sekarang saya dapat menghadirinya melalui panggilan video. Saya dapat menaip komen sendiri, dan seseorang akan membacanya semasa sesi soal jawab. Saya juga menyertai sekumpulan kecil saudara saudari untuk menonton program bulanan Siaran JW. a

 “Sekarang, sudah 23 tahun saya menghidap penyakit ini. Ada masanya, saya berasa sedih. Tetapi saya dapat mengatasi rasa sedih ini dengan berdoa, bergaul dengan saudara saudari, dan tetap aktif secara rohani. Sebenarnya, dengan bantuan sidang, saya dapat menjadi perintis sokongan selama lebih daripada enam tahun. Saya berusaha untuk menjadi teladan yang baik untuk anak saya, Alessandro, yang kini sudah berkahwin dan berkhidmat sebagai penatua. Dia juga berkhidmat sebagai perintis biasa bersama isterinya.

 “Saya sering memikirkan apa yang saya dapat lakukan di bumi Firdaus kelak. Hal pertama yang saya ingin lakukan ialah bercakap kepada Yehuwa dengan suara saya sendiri. Saya juga ingin berjalan-jalan di tepi anak sungai kecil dan menikmati pemandangan kampung yang indah. Memandangkan saya diberi makan melalui tiub selama lebih daripada 20 tahun, saya tidak sabar-sabar untuk memetik sebiji epal dan memakannya. Lagipun, saya ialah orang Itali, jadi saya ingin sekali memasak dan memakan makanan Itali kegemaran saya, termasuk pizza!

 “‘Harapan penyelamatan’ telah memelihara daya pemikiran saya. (1 Tesalonika 5:8) Dengan membayangkan diri saya di dunia baharu, saya dapat terus bersukacita meskipun masih menghidap penyakit ini. Saya yakin saya akan disembuhkan tidak lama lagi. Ya, saya tidak sabar-sabar untuk menikmati ‘kehidupan yang sejati’ yang dijanjikan oleh Yehuwa menerusi Kerajaan-Nya.”—1 Timotius 6:19; Matius 6:9, 10.

a Pautan ke Siaran JW boleh dijumpai di jw.org/ms.