Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah

Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah

 Hari ini, amatlah senang untuk mendapatkan maklumat, termasuk maklumat yang membantu anda tetap sihat dan selamat. Tetapi semasa mencari maklumat, anda perlulah berhati-hati tentang maklumat salah seperti:

 Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberikan amaran tentang wabak berita palsu. Dia berkata, “Terdapat banyak nasihat kesihatan yang tidak berguna dan bahkan berbahaya. Televisyen dan radio menyebarkan banyak maklumat palsu. Orang juga menyebarkan teori konspirasi menerusi Internet, dan menunjukkan kebencian dan prasangka terhadap kumpulan orang tertentu.”

 Sememangnya, maklumat salah bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, Bible menubuatkan bahawa pada zaman kita, “orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat. Mereka akan menyesatkan orang dan mereka sendiri juga akan disesatkan.” (2 Timotius 3:1, 13) Selain itu, dengan adanya Internet, kita mudah menerima dan menyebarkan berita palsu secara tidak sengaja. Akibatnya, e-mel, media sosial, dan ruangan berita dalam alat elektronik kita dipenuhi fakta-fakta yang telah diputarbalikkan dan separuh benar.

 Bagaimanakah anda dapat melindungi diri daripada maklumat yang menyesatkan dan teori-teori konspirasi? Perhatikan beberapa prinsip Bible yang dapat membantu.

  •   Jangan percaya semua yang anda lihat atau dengar

     Nasihat Bible: “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.

     Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin senang tertipu. Sebagai contoh, terdapat banyak gambar yang disertai kapsyen atau video singkat yang disebarkan menerusi Internet, terutamanya menerusi media sosial. Gambar atau video sebegini biasanya dipanggil meme dan bertujuan untuk membuat orang ketawa. Namun, gambar dan klip video senang diubah atau digunakan di luar konteks asalnya. Selain itu, orang juga dapat menyunting seseorang ke dalam suatu video, dan membuat seolah-olah orang dalam video itu melakukan atau mengatakan sesuatu.

     “Kebanyakan maklumat salah yang ditemui para penyelidik dalam media sosial merupakan gambar dan video yang telah hilang konteks asalnya, seperti meme.”—Axios Media.

     Tanyalah diri: “Adakah isi kandungannya berita sebenar atau hanyalah meme?”

  •   Periksa sumber maklumat dan isi kandungannya

     Nasihat Bible: “Periksalah semua perkara.”—1 Tesalonika 5:21.

     Sebelum mempercayai atau mengongsi suatu maklumat, bahkan jika maklumat itu dipercayai ramai atau banyak disebut dalam berita, pastikan bahawa maklumat itu benar. Bagaimana?

     Fikirkanlah sama ada sumber maklumat itu dapat dipercayai. Syarikat media dan organisasi lain mungkin melaporkan suatu berita dalam cara yang menyokong pendirian politik mereka atau kepentingan diri mereka sendiri. Bandingkanlah apa yang anda lihat dalam suatu saluran berita dengan saluran-saluran lain. Kadangkala, kawan-kawan anda mungkin menyebarkan maklumat salah secara tidak sengaja melalui e-mel atau media sosial. Jadi, janganlah percaya suatu berita, kecuali jika anda dapat memeriksa sumber asalnya.

     Pastikan bahawa isi kandungannya tepat dan terkini. Carilah tarikh, fakta yang dapat disahkan, serta bukti kukuh yang dapat menyokong apa yang sedang dikatakan. Berhati-hatilah terutamanya jika maklumat yang rumit nampaknya dijelaskan dalam cara yang terlalu ringkas, atau jika laporan itu direka untuk menimbulkan reaksi tertentu dalam diri anda.

     “Pada masa sekarang, mengesahkan kebenaran maklumat yang anda terima adalah sama penting dengan mencuci tangan.”—Sridhar Dharmapuri, seorang Pegawai Kanan Khasiat dan Keselamatan Makanan bagi PBB.

     Tanyalah diri: “Adakah laporan berita ini menyampaikan pandangan sendiri sebagai fakta atau satu bahagian cerita sahaja?”

  •   Biar diri anda dibimbing oleh fakta, bukannya apa yang anda suka

     Nasihat Bible: “Orang yang bodoh percaya kepada hatinya sendiri.”—Amsal 28:26.

     Kita cenderung mempercayai maklumat yang menyokong apa yang ingin kita percaya. Laman web dan aplikasi sering mengesyorkan berita dan maklumat kepada kita berdasarkan minat dan sejarah carian kita. Namun, apa yang kita suka dengar bukannya selalu apa yang kita perlu dengar.

     “Manusia mempunyai kebolehan untuk berfikir secara teliti dan rasional. Namun keinginan, harapan, dan kerisauan dalam diri kita sering menggerakkan kita untuk menerima sesuatu sebagai hal yang benar, jika hal itu menyokong apa yang ingin kita percaya.”—Peter Ditto, ahli psikologi sosial.

     Tanyalah diri: “Adakah saya mempercayai maklumat ini semata-mata kerana ini adalah apa yang ingin saya percaya?”

  •   Hentikan penyebaran maklumat salah

     Nasihat Bible: “Jangan sebarkan berita palsu.”—Keluaran 23:1.

     Ingatlah bahawa maklumat yang anda kongsi dengan orang lain dapat mempengaruhi fikiran dan tindakan mereka. Biarpun anda mungkin mengongsi maklumat salah secara tidak sengaja, akibatnya dapat memudaratkan.

     “Sebelum mengongsi maklumat dengan orang lain, perkara terpenting yang mesti anda lakukan ialah berhenti sejenak dan tanya diri, ‘Adakah saya begitu yakin tentang maklumat ini sehingga saya harus mengongsinya?’ Jika semua orang berbuat demikian, maklumat salah dalam Internet akan banyak berkurangan.”—Peter Adams, seorang naib presiden kanan News Literacy Project.

     Tanyalah diri: “Adakah saya mengongsi maklumat ini kerana saya tahu maklumat ini benar?”