Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah jika Anda Tiba-Tiba Mengalami Masalah Kesihatan?

Bagaimanakah jika Anda Tiba-Tiba Mengalami Masalah Kesihatan?

 Adakah kesihatan anda tiba-tiba merosot? Jika ya, masalah kesihatan tentu membuat anda berasa letih secara mental dan emosi. Rawatan yang diperlukan juga mungkin menggunakan banyak wang. Bagaimanakah anda dapat menanganinya? Bagaimanakah anda dapat membantu ahli keluarga atau kawan yang sedang menghadapi masalah kesihatan? Bible bukan sebuah buku perubatan. Namun prinsip Bible yang praktikal dapat membantu anda menangani situasi yang mencabar.

Tip untuk membantu anda menangani masalah kesihatan

  •   Dapatkan rawatan perubatan

     Bible berkata, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”—Matius 9:12.

     Penjelasan: Jika perlu, dapatkan bantuan pakar perubatan.

     Cadangan: Carilah rawatan perubatan yang paling baik yang tersedia bagi anda. Kadangkala, adalah lebih bijak untuk mendapatkan pendapat daripada doktor yang berlainan. (Amsal 14:15) Adakan komunikasi yang baik dengan pakar perubatan. Pastikan bahawa anda memahami mereka dan bahawa mereka memahami keadaan kesihatan anda dengan sepenuhnya. (Amsal 15:22) Cari tahu maklumat tentang penyakit anda, termasuk semua rawatan yang tersedia. Apabila anda memahami apa yang akan berlaku, anda akan lebih bersedia secara emosi dan dapat membuat keputusan yang baik tentang rawatan anda.

  •   Kekalkan tabiat yang sihat

     Bible berkata, “Latihan jasmani ada faedahnya.”—1 Timotius 4:8, Alkitab Berita Baik.

     Penjelasan: Mengekalkan tabiat yang sihat, seperti bersenam secara tetap, membawa manfaat.

     Cadangan: Cubalah bersenam secara tetap, makan makanan yang berkhasiat, dan dapatkan tidur yang secukupnya setiap malam. Anda mungkin perlu membuat banyak perubahan disebabkan masalah kesihatan anda. Namun, menurut pakar perubatan, jika anda mencurahkan masa dan tenaga untuk mengekalkan tabiat yang sihat, anda akan meraih manfaat. Pastikan bahawa anda memupuk tabiat yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda dan tidak menjejaskan rawatan yang anda jalani.

  •   Dapatkan bantuan orang lain

     Bible berkata, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

     Penjelasan: Sahabat anda dapat membantu anda mengharungi masa yang susah.

     Cadangan: Luahkanlah perasaan anda kepada seorang sahabat yang dapat dipercayai. Hal itu dapat mengurangkan stres anda dan membuat anda lebih gembira. Keluarga dan kawan-kawan anda mungkin ingin membantu anda, tetapi mereka tidak tahu caranya. Jadi beritahulah mereka dengan jelas tentang apa yang dapat dilakukan mereka. Cubalah bersikap munasabah dan selalu bersyukur atas bantuan yang diberikan. Walaupun kawan-kawan anda berniat baik untuk membantu anda, ada kalanya mereka mungkin membuat anda berasa letih. Jadi anda mungkin perlu menetapkan batasan tertentu, misalnya tentang berapa kerap dan berapa lama mereka melawat anda.

  •   Kekalkan sikap yang positif

     Bible berkata, “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab, tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.”—Amsal 17:22.

     Penjelasan: Sikap positif dapat membantu anda tetap stabil secara emosi agar anda dapat menangani masalah kesihatan yang menyebabkan stres.

     Cadangan: Seraya anda menyesuaikan diri dengan keadaan baharu anda, berfokuslah kepada apa yang anda dapat lakukan dan bukannya kepada apa yang di luar kawalan anda. Elakkan daripada membandingkan diri dengan orang lain atau membandingkan keadaan sekarang dengan keadaan dahulu sebelum anda jatuh sakit. (Galatia 6:4) Tetapkan matlamat yang munasabah dan mudah dicapai. Hal ini akan membantu anda tetap bersikap positif. (Amsal 24:10) Hulurkan bantuan kepada orang lain mengikut keadaan anda. Dengan itu, anda akan berasa lebih bahagia dan tidak berfokus kepada masalah anda.—Kisah 20:35.

Adakah Tuhan akan membantu anda menangani masalah kesihatan?

 Bible menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa a dapat membantu seseorang menangani masalah kesihatan. Walaupun kita tidak mengharapkan Yehuwa menyembuhkan penyakit kita secara mukjizat, orang yang menyembah-Nya dapat menerima bantuan-Nya dalam cara-cara berikut:

 Kedamaian. Yehuwa dapat memberikan “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Filipi 4:6, 7) Kesejahteraan atau kedamaian ini dapat membantu seseorang untuk tidak terlalu khuatir. Tuhan memberikan kedamaian ini kepada mereka yang berdoa dan meluahkan kerisauan mereka kepada-Nya.—1 Petrus 5:7.

 Kebijaksanaan. Yehuwa dapat memberi kita kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik. (Yakobus 1:5) Seseorang dapat memperoleh kebijaksanaan semasa dia mempelajari dan menerapkan prinsip Bible.

 Harapan masa depan yang melegakan. Yehuwa berjanji bahawa pada masa depan “tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’” (Yesaya 33:24) Harapan ini telah membantu ramai orang tetap bersikap positif walaupun menghadapi masalah kesihatan yang serius.—Yeremia 29:11, 12.

a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.—Mazmur 83:18.