Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pilihan Saya sewaktu Kecil

Pilihan Saya sewaktu Kecil

Sebagai seorang anak muda

Saya berumur 10 tahun pada 1985. Kanak-kanak dari Kemboja berpindah ke sekolah saya di Columbus, Ohio, A.S. Salah seorang daripada mereka hanya mengetahui beberapa perkataan Inggeris. Dengan menggunakan lukisan, dia menceritakan kisah seram tentang penyeksaan, pembunuhan, dan orang yang melarikan diri. Saya menangis sebelum tidur kerana berasa kasihan dengan kanak-kanak ini. Saya ingin memberitahu tentang harapan Firdaus dan pembangkitan, tetapi mereka tidak memahami bahasa saya. Meskipun masih kecil, saya memutuskan untuk belajar bahasa Kemboja agar dapat menceritakan tentang Yehuwa kepada rakan sekolah saya. Tanpa disedari, keputusan ini membentuk masa depan saya.

Mempelajari bahasa Kemboja memang susah. Dua kali saya ingin putus asa, tetapi Yehuwa menggalakkan saya melalui ibu bapa. Kemudian, guru dan rakan sekolah menggesa saya untuk mengejar kerjaya yang bergaji tinggi. Tetapi saya mahu merintis. Jadi saya memilih kursus sekolah yang dapat membantu saya mencari kerja separuh masa. Selepas masa sekolah, saya biasanya menginjil bersama perintis. Saya juga mengajar pelajar lain bahasa Inggeris. Keputusan ini membantu masa depan saya.

Semasa berumur 16 tahun, saya mendapati bahawa terdapat kumpulan Kemboja di Long Beach, California, A.S. Saya mengunjungi kumpulan itu dan belajar membaca bahasa Kemboja. Sejurus selepas tamat sekolah, saya menjadi perintis dan terus menginjil kepada orang Kemboja yang tinggal berdekatan. Apabila berumur 18 tahun, saya berfikir untuk pindah ke negara Kemboja. Tempat itu masih berbahaya, tetapi terdapat sepuluh juta penduduk yang kebanyakannya belum mendengar berita baik. Pada masa itu, hanya terdapat sebuah sidang dengan 13 orang penyiar. Saya melawat Kemboja semasa berumur 19 tahun. Dua tahun kemudian, saya berkeputusan untuk berpindah ke sana. Saya menemui kerja sambilan sebagai penterjemah dan mengajar bahasa Inggeris. Tidak lama kemudian, saya menemui seorang isteri yang memiliki matlamat hidup yang sama. Kami menikmati peluang untuk membantu banyak orang Kemboja menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Yehuwa telah ‘memuaskan keinginan hatiku.’ (Mzm. 37:4) Membantu orang menjadi murid Yesus adalah kerja yang paling menyenangkan. Selama 16 tahun saya di Kemboja, sebuah sidang dengan hanya 13 penyiar telah menjadi 12 sidang dan 4 kumpulan terpencil!—Diceritakan oleh Jason Blackwell.