Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Pada zaman dahulu, adakah seseorang benar-benar akan menabur benih lalang di ladang orang lain?

Salinan Digest pada tahun 1468 merupakan salah satu rekod mengenai undang-undang pada zaman kuno

DI MATIUS 13:24-26, Yesus berkata, “Kerajaan di syurga bagaikan seorang lelaki yang menabur benih yang baik di ladangnya. Semasa semua orang tidur, musuhnya datang dan menabur benih lalang di antara gandum lalu beredar. Semasa daun dan bulir gandum muncul, lalang pun menjadi ketara.” Sesetengah penulis tertanya-tanya sama ada perumpamaan ini benar-benar berlaku. Namun, menurut undang-undang Roma kuno, hal ini mungkin pernah berlaku.

Sebuah kamus Bible menyatakan bahawa di bawah undang-undang Roma, adalah salah bagi seseorang untuk membalas dendam dengan menabur benih lalang dalam ladang orang lain. Kewujudan undang-undang ini membuktikan bahawa hal ini benar-benar berlaku. Seorang pakar undang-undang bernama Alastair Kerr menjelaskan bahawa Maharaja Roma Justinian telah menerbitkan buku Digest pada tahun 533 M. Buku ini mengandungi ringkasan undang-undang Roma dan petikan daripada pakar undang-undang sekitar tahun 100-250 M. Menurut Digest, seorang pakar undang-undang bernama Ulpian telah menulis tentang kes pada abad kedua. Benih lalang telah ditaburkan dalam ladang seseorang dan kemudian hasil ladang itu rosak. Buku Digest juga menerangkan cara seorang peladang boleh menggunakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi daripada pihak yang bersalah.

Memandangkan tindakan yang jahat ini berlaku dalam Empayar Roma, hal ini menunjukkan bahawa perumpamaan Yesus memang benar-benar berlaku.

Pada abad pertama, berapa banyak kebebasan yang diberikan oleh Kerajaan Roma kepada pihak berkuasa Yahudi di Yudea?

PADA masa itu, Yudea diperintah oleh Kerajaan Roma yang diwakili oleh seorang gabenor yang mengetuai askar. Tugas utama gabenor itu adalah untuk memungut cukai bagi Kerajaan Roma dan mengekalkan keamanan. Kerajaan Roma biasanya menyerahkan hal-hal pentadbiran seharian kepada pemimpin tempatan. Namun mereka akan bertindak untuk mengurangkan jenayah dan menghukum mereka yang menyebabkan kekecohan.

Sesi perbicaraan Majlis Orang Yahudi

Majlis Orang Yahudi berfungsi sebagai mahkamah agung dan majlis pimpinan yang mengendalikan hal-hal berkaitan hukum orang Yahudi. Di serata Yudea, mahkamah rendah juga wujud. Kebanyakan kes sivil dan jenayah mungkin diadili oleh mahkamah tersebut tanpa campur tangan Kerajaan Roma. Terdapat satu batasan yang mengehadkan mahkamah orang Yahudi, iaitu mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman kepada penjenayah. Hanya Kerajaan Roma mempunyai hak tersebut. Namun, Majlis Orang Yahudi telah bertindak di luar batasan ini apabila menjatuhkan hukuman agar Stefanus direjam sehingga mati.—Kis. 6:8-15; 7:54-60.

Majlis Orang Yahudi mempunyai bidang kuasa yang luas. Namun, seorang cendekiawan Emil Schürer menyatakan bahawa terdapat batasan besar bagi pihak berkuasa Yahudi. Batasan ini ialah pihak berkuasa Roma boleh masuk campur pada bila-bila masa jika mendapati seseorang disyaki melakukan kesalahan politik. Salah satu contoh adalah apabila ketua pasukan tentera Klaudius Lisias menangkap Rasul Paulus yang merupakan warganegara Roma.​—Kis. 23:26-30.