Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Selain Bible, apakah yang membuktikan bahawa orang Israel pernah menjadi hamba di Mesir?

Bible melaporkan bahawa selepas orang Midian membawa Yusuf ke Mesir, bapanya Yakub dan keluarganya berpindah dari Kanaan ke Mesir, lalu menetap di Gosyen, yang terletak di Delta Sungai Nil. (Kej. 47:1, 6) Apabila bilangan orang Israel “bertambah dengan cepat sekali dan mereka menjadi semakin kuat,” orang Mesir menjadi takut dan memaksa mereka untuk menjadi hamba.​—Kel. 1:7-14.

Sesetengah pengkritik mendakwa bahawa laporan Bible itu hanyalah cerita dongeng. Namun, terdapat bukti bahawa orang Semitik * pernah hidup sebagai hamba di Mesir kuno.

Sebagai contoh, ahli kaji purba telah menemui reruntuhan petempatan kuno di utara Mesir. Dr. John Bimson, seorang pengkaji Bible, melaporkan bahawa terdapat lebih daripada 20 buah petempatan Semitik di kawasan itu. Tambahan lagi, James K. Hoffmeier, seorang ahli kaji purba Mesir, berkata, “Antara tahun 1800 hingga 1540 SM, ramai orang yang berbahasa Semitik dari barat Asia [tempat asal keluarga Yakub] berhijrah ke Mesir. Waktu ini sama dengan zaman Abraham, Ishak, dan Yakub, dan sama dengan keadaan dan jangka masa dalam catatan buku Kejadian.”

Terdapat juga bukti dari selatan Mesir. Pada satu cebisan papirus dari Kerajaan Pertengahan Mesir (sekitar 2000–1600 SM), terdapat nama-nama hamba yang bekerja sebagai tukang masak, tukang tenun, dan buruh bagi sebuah keluarga di selatan Mesir. Lebih daripada 40 nama itu merupakan nama orang Semitik. Hoffmeier berkata, “Jika satu keluarga di Thebaid [selatan Mesir] sudah mempunyai lebih daripada 40 orang Semitik, kemungkinan besar ada banyak orang Semitik di seluruh Mesir, khususnya di kawasan Delta.”

David Rohl, seorang ahli arkeologi, menulis bahawa sesetengah nama hamba pada cebisan papirus itu mirip dengan nama-nama yang ada dalam Bible, seperti Isakhar, Asyer, dan Sifra. (Kel. 1:3, 4, 15) Dia menyimpulkan, “Itulah bukti yang kukuh bahawa orang Israel pernah menjadi hamba di Mesir.”

Dr. Bimson berkata, “Kisah Bible bahawa orang Israel pernah menjadi hamba di Mesir dan kemudian dibebaskan, merupakan fakta sejarah yang dapat dipercayai.”

^ per. 4 Nama “Semitik” berasal daripada nama “Sem,” iaitu salah seorang anak Nuh. Keturunan Sem nampaknya merangkumi orang Elam, orang Assyria, orang Kasdim zaman kuno, orang Ibrani, orang Siria, dan pelbagai suku Arab.