Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | DAUD

‘Yehuwa Sentiasa Menang dalam Peperangan’

‘Yehuwa Sentiasa Menang dalam Peperangan’

DAUD nampak askar-askar di sekelilingnya melarikan diri. Mereka semua ketakutan. Mengapa? Askar-askar itu berulang kali menyebut nama seorang lelaki. Lelaki itu sedang berdiri di Lembah Ela dan Daud tidak pernah melihat lelaki yang begitu besar dalam hidupnya.

Namanya ialah Goliat! Dia sangat tinggi dan besar. Sekarang barulah Daud faham mengapa askar Israel berasa takut. Tanpa perisainya, Goliat mungkin lebih berat daripada dua orang lelaki yang besar. Tetapi pahlawan yang gagah itu sedang memakai perisai dan dilengkapi senjata. Goliat mencabar para askar Israel. Bayangkan suara Goliat yang kuat apabila dia mencemuh askar-askar Israel dan raja mereka, iaitu Saul. Dia mencabar salah seorang daripada mereka untuk melawannya dan mengakhiri peperangan itu dengan satu pertarungan!​—1 Samuel 17:4-10.

Orang Israel dan Raja Saul berasa takut. Daud mendapat tahu bahawa situasi ini berlanjutan lebih daripada sebulan! Tentera Filistin dan tentera Israel tidak dapat menyelesaikan pertempuran ini sementara Goliat mencabar orang Israel hari demi hari. Daud berasa resah. Betapa malunya raja Israel serta askar-askarnya, yang merangkumi tiga orang abang Daud, kerana mereka ketakutan! Pada pandangan Daud, Goliat bukan sahaja memalukan tentera Israel, tetapi dia menghina Tuhan Israel, iaitu Yehuwa! Namun, apakah yang dapat dilakukan oleh Daud yang masih muda? Apakah yang dapat kita pelajari daripada iman Daud?​—1 Samuel 17:11-14.

“INILAH ORANGNYA. LANTIKLAH DIA!”

Mari kita lihat apa yang berlaku beberapa bulan sebelum itu. Daud sedang menjaga biri-biri ayahnya di lereng bukit yang berdekatan Betlehem pada waktu senja. Dia kacak dan matanya menawan. Dia mungkin masih seorang remaja. Pada waktu yang sunyi, dia menghayati keindahan ciptaan Tuhan sambil bermain kecapi. Kemahiran muziknya semakin meningkat kerana dia meluangkan banyak masa untuk berlatih. Tetapi pada petang itu, Daud dipanggil. Ayahnya ingin segera berjumpa dengannya.​—1 Samuel 16:12.

Dia nampak ayahnya, iaitu Isai, sedang berbual dengan seorang lelaki tua, iaitu Nabi Samuel. Yehuwa telah mengutus Samuel untuk melantik salah seorang anak Isai untuk menjadi raja Israel yang seterusnya! Samuel telah berjumpa dengan tujuh orang abang Daud, tetapi Yehuwa tidak memilih mereka. Apabila Daud tiba, Yehuwa memberitahu Samuel, “Inilah orangnya. Lantiklah dia!” Maka di depan abang-abang Daud, Samuel mengambil tanduk yang berisi minyak lalu mengurapinya dengan melumuri kepala Daud dengan minyak. Mulai saat itu, kehidupan Daud berubah. Bible berkata, ‘Daya aktif Yehuwa menguasai Daud dan menyertai dia sejak hari itu.’​—1 Samuel 16:1, 5-13.

Daud dengan rendah hati berkata bahawa Yehuwalah yang menyelamatkannya daripada singa dan beruang

Adakah Daud tiba-tiba bercita-cita menjadi raja? Tidak, dia sanggup menunggu bimbingan daya aktif Yehuwa untuk memberitahu masa baginya untuk memikul tanggungjawab besar itu. Sementara itu, dia terus melakukan kerja sebagai gembala dengan rendah hati, berani, dan sepenuh hati. Kawanan biri-biri ayahnya pernah diancam sebanyak dua kali, sekali oleh singa, dan sekali oleh beruang. Daud tidak hanya mengusir binatang itu dari jauh. Sebaliknya, dia bersedia untuk berlawan supaya melindungi biri-biri ayahnya. Dia berjaya membunuh kedua-dua binatang buas itu!​—1 Samuel 17:34-36; Yesaya 31:4.

Tidak lama kemudian, Daud dipanggil lagi. Reputasinya telah diketahui oleh Raja Saul. Walaupun Saul masih seorang pahlawan yang kuat, dia telah hilang perkenan Yehuwa kerana mengingkari arahan-Nya. Yehuwa berhenti mencurahkan daya aktif pada Saul, dan raja itu sering dipengaruhi fikiran buruk seperti lekas marah, syak wasangka, dan keganasan. Apabila Saul diganggu oleh fikiran sedemikian, muzik dapat melegakannya. Sesetengah hamba Saul tahu bahawa Daud bermain kecapi dengan mahir dan merupakan seorang pahlawan gagah. Maka Daud dipanggil, dan dia berkhidmat sebagai ahli muzik di halaman istana Saul dan sebagai pembawa senjatanya.​—1 Samuel 15:26-29; 16:14-23.

Kaum muda dapat mempelajari banyak daripada iman Daud. Perhatikan bahawa dia menggunakan masa lapangnya untuk melakukan perkara yang membantunya menghampiri Yehuwa. Tambahan lagi, dia meningkatkan kemahirannya yang praktikal agar dapat menggunakannya dalam khidmat Yehuwa. Yang terpenting, dia dibimbing oleh daya aktif Yehuwa. Kita memang memperoleh pengajaran yang baik daripada teladan Daud!​—Pengkhutbah 12:1.

“TIDAK PERLU SESIAPA PUN TAKUT KEPADA ORANG FILISTIN ITU”

Semasa berkhidmat kepada Saul, Daud sering balik ke rumah untuk menjaga kawanan biri-biri. Kadangkala dia pulang untuk masa yang lama. Pada suatu ketika, Isai mengutus Daud pergi melawat tiga abangnya yang berkhidmat sebagai askar Saul. Dengan taat, Daud yang sarat dengan bekalan menuju ke Lembah Ela untuk berjumpa dengan abang-abangnya. Apabila sampai di sana, dia terkejut melihat situasi dua pasukan tentera yang disebut pada permulaan rencana. Tentera Filistin berada di sebuah bukit dan tentera Israel berada di bukit yang lain, dan di antara mereka terdapat sebuah lembah.​—1 Samuel 17:1-3, 15-19.

Bagi Daud, situasi itu tidak boleh dibiarkan. Bagaimana boleh askar-askar yang mewakili Yehuwa lari ketakutan hanya kerana seorang manusia kafir? Daud sedar bahawa cabaran Goliat sebenarnya menghina Yehuwa. Maka dia bercakap dengan para askar tentang menumpaskan Goliat. Abang sulung Daud, iaitu Eliab, mendengar percakapan Daud lalu memarahinya dengan keras. Abangnya menuduh bahawa dia hanya datang untuk melihat peperangan. Tetapi, Daud menjawab, “Apakah salahku? Aku hanya bertanya.” Dia dengan yakin mengatakan bahawa Goliat boleh dikalahkan, sehinggalah kata-katanya diketahui oleh Saul. Raja Saul memerintah agar Daud berjumpa dengannya.​—1 Samuel 17:23-31.

Daud menguatkan semangat raja dengan berkata, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu.” Saul dan askar-askarnya memang telah hilang semangat disebabkan Goliat. Mereka mungkin telah membandingkan ketinggian mereka dengan gergasi itu dan mereka hanya sampai ke bahagian perut Goliat. Mereka juga berasa bahawa gergasi yang dilengkapi senjata itu dapat mengalahkan mereka dengan mudah. Namun, Daud tidak berasa sedemikian. Dia memandang masalah itu dengan cara yang berbeza. Maka, dia merelakan diri untuk melawan Goliat.​—1 Samuel 17:32.

Saul membantah, “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.” Daud memang terlalu muda untuk menjadi askar. Penampilannya juga kelihatan muda. Tetapi, Daud sudah dikenali sebagai pahlawan gagah dan umurnya mungkin lewat belasan tahun.​—1 Samuel 16:18; 17:33.

Daud meyakinkan Saul dengan menceritakan apa yang telah dilakukannya terhadap seekor singa dan beruang. Adakah Daud sedang bercakap besar? Tidak, Daud tahu mengapa dia berjaya melakukan hal itu. Dia berkata, ‘Yehuwa sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.’ Akhirnya, Saul telah diyakinkan dan berkata, ‘Pergilah, semoga Yehuwa menyertai engkau.’​—1 Samuel 17:37.

Adakah anda ingin mempunyai iman seperti Daud? Perhatikan bahawa iman Daud bukan sekadar angan-angan. Dia beriman kepada Tuhan kerana pengetahuan dan pengalaman. Dia mengetahui bahawa Yehuwa dapat memberikan perlindungan dan menunaikan janji-janji-Nya. Jika kita ingin mempunyai iman sedemikian, kita harus terus belajar tentang Tuhan yang benar. Dengan menerapkan apa yang dipelajari, kita akan meraih hasil yang baik dan iman kita akan dikuatkan.​—Ibrani 11:1.

‘YEHUWA AKAN MENYERAHKAN ENGKAU KE DALAM TANGANKU’

Pada mulanya, Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud. Pakaian itu merangkumi baju besi yang diperbuat daripada gangsa. Daud cuba berjalan dengan pakaian perang itu tetapi dia tidak biasa menggunakannya. Pakaian perang yang dipakai oleh Saul itu besar kerana dia merupakan lelaki yang tertinggi dalam kalangan orang Israel! (1 Samuel 9:2) Lagipun Daud tidak dilatih sebagai askar. Jadi dia menanggalkan seluruh pakaian perang itu dan memilih untuk menggunakan pakaian biasa sebagai gembala.​—1 Samuel 17:38-40.

Daud membawa tongkat gembala, beg yang digantung pada bahu, serta ali-ali. Ali-ali merupakan senjata yang kecil, tetapi sangat berkesan bagi seorang gembala. Ali-ali ini mempunyai kantung kecil yang diikat kepada dua tali yang diperbuat daripada kulit. Daud meletakkan sebiji batu ke dalam kantung tersebut, memutarkan ali-ali itu di udara lalu melepaskan salah satu talinya. Maka batu tersebut akan dihumban dan mengena sasaran dengan tepat. Senjata ini sangat berkesan, bahkan tentera pun menggunakan ali-ali.

Maka, Daud bersedia menghadapi musuhnya. Kita boleh membayangkan dia berdoa dengan tekun sambil mengutip lima batu yang bulat daripada sungai yang kering di situ. Kemudian, Daud berlari ke medan pertempuran.

Apabila Goliat nampak Daud, ‘Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak.’ Goliat berkata, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Rupa-rupanya, Goliat hanya nampak tongkat Daud tetapi bukan ali-ali yang dibawanya. Goliat mengutuk Daud demi dewanya dan berkata, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!”​—1 Samuel 17:41-44.

Reaksi Daud menunjukkan bahawa dia mempunyai iman yang besar. Pemuda itu berkata kepada Goliat, ‘Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama Yehuwa Yang Maha Kuasa, Tuhan tentera Israel, yang engkau hina itu.’ Daud sedar bahawa kekuatan manusia serta perlengkapan senjata tidak penting. Goliat telah menghina Tuhan Yehuwa, maka Yehuwa akan bertindak. Daud berkata, ‘Yehuwa sentiasa menang dalam peperangan.’​—1 Samuel 17:45-47.

Daud tahu bahawa Goliat itu besar dan senjatanya hebat. Namun Daud tidak berasa takut. Dia tidak mempunyai pandangan yang sama seperti Saul dan tenteranya. Daud tidak membandingkan dirinya dengan Goliat. Sebaliknya, dia membandingkan Goliat dengan Yehuwa. Walaupun ketinggian Goliat kira-kira 2.9 meter dan dia lebih besar berbanding lelaki lain, adakah Goliat lebih besar daripada Tuhan Yang Maha Tinggi? Tidak. Goliat hanyalah manusia yang seperti serangga di mata Yehuwa dan Tuhan akan menghapuskannya!

Daud berlari ke arah musuhnya lalu memasukkan tangan ke dalam begnya. Dia mengambil sebiji batu, meletakkannya pada ali-ali, lalu memutarkan ali-ali itu dengan cepat. Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Sebenarnya ketinggian Goliat merupakan kelemahannya kerana pembawa perisai tidak cukup tinggi untuk melindungi kepala Goliat yang dijadikan sasaran Daud.​—1 Samuel 17:41.

Daud sedar bahawa gergasi itu sangat kecil jika dibandingkan dengan Tuhan Yehuwa

Kemudian, Daud menghumban batu itu. Bayangkan batu itu sedang menuju ke arah Goliat. Yehuwa memastikan Daud hanya perlu menghumban satu batu sahaja. Batu itu terbenam ke dalam dahi Goliat sehingga dia rebah tertiarap ke tanah! Barangkali pembawa perisai Goliat melarikan diri kerana ketakutan. Kemudian Daud mendekati Goliat, menghunus pedang Goliat, lalu memancung kepalanya.​—1 Samuel 17:48-51.

Akhirnya, Saul dan tenteranya menjadi berani. Mereka bersorak sambil mengejar tentera Filistin. Apa yang dikatakan Daud kepada Goliat terbukti benar, ‘Yehuwa akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.’​—1 Samuel 17:47, 52, 53.

Hari ini, umat Tuhan tidak lagi berperang. (Matius 26:52) Namun kita boleh meniru iman Daud. Yehuwa perlu menjadi nyata bagi kita, dan kita harus menyembah dan menghormati-Nya. Kadangkala, kita berasa bahawa masalah kita sangat besar. Namun, ingatlah bahawa kuasa Yehuwa jauh lebih besar. Jika kita menyembah Yehuwa dan beriman kepada-Nya seperti Daud, tiada cabaran atau masalah yang dapat menggentarkan kita. Kuasa Yehuwa dapat mengatasi apa jua halangan!