Lompat ke kandungan

Adakah Yesus Dibangkitkan dalam Tubuh Jasmani atau Tubuh Roh?

Adakah Yesus Dibangkitkan dalam Tubuh Jasmani atau Tubuh Roh?

Jawapan Bible

 Bible menyatakan bahawa Yesus “dibunuh dalam tubuh jasmani tetapi dihidupkan [dibangkitkan] dalam tubuh roh.”​—1 Petrus 3:​18; Kisah 13:34; 1 Korintus 15:45; 2 Korintus 5:​16.

 Yesus sendiri mengatakan bahawa dia tidak akan dibangkitkan dalam tubuh manusia yang berdarah daging. Dia mengatakan bahawa dia akan menyerahkan ‘dagingnya’ sebagai tebusan “supaya umat manusia menerima kehidupan.” (Yohanes 6:​51; Matius 20:28) Jika Yesus dibangkitkan dengan tubuh jasmani, hal ini bermaksud dia menarik balik tebusan yang telah dikorbankannya. Sudah tentu perkara itu tidak berlaku kerana Bible menyatakan bahawa Yesus mengorbankan tubuh dan darahnya “sekali untuk selama-lamanya.”—Ibrani 9:​11, 12.

Jika Yesus dibangkitkan dalam tubuh roh, mengapakah para pengikutnya dapat melihatnya?

  •  Makhluk roh dapat menjelma sebagai manusia. Contohnya, malaikat yang pernah berbuat demikian dapat makan dan minum bersama manusia. (Kejadian 18:​1-8; 19:​1-3) Namun, mereka masih merupakan makhluk roh dan boleh meninggalkan bumi.—Hakim-Hakim 13:15-​21.

  •  Selepas pembangkitan Yesus, dia juga menjelma sebagai manusia buat seketika, seperti yang telah dilakukan oleh malaikat dahulu. Namun, sebagai makhluk roh, dia dapat muncul dan hilang dengan tiba-tiba. (Lukas 24:31; Yohanes 20:19, 26) Yesus menjelma dalam tubuh manusia yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, sahabat-sahabatnya tidak dapat mengecamnya. Mereka hanya dapat mengenalinya melalui kata-kata dan perbuatannya.​—Lukas 24:30, 31, 35; Yohanes 20:14-​16; 21:​6, 7.

  •  Semasa Yesus muncul di hadapan Rasul Tomas, dia menjelma dalam tubuh jasmani yang mempunyai bekas luka. Dia berbuat demikian untuk mengukuhkan iman Tomas kerana Tomas meragui bahawa Yesus telah dibangkitkan.​—Yohanes 20:24-​29.