Lompat ke kandungan

Adakah Para Cendekiawan Percaya bahawa Yesus Pernah Wujud?

Adakah Para Cendekiawan Percaya bahawa Yesus Pernah Wujud?

 Para cendekiawan mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk percaya bahawa Yesus pernah wujud. Banyak sejarawan pada abad pertama dan kedua pernah menyebut tentang Yesus dan orang Kristian masa awal. Berkenaan hal ini, buku Encyclopædia Britannica, Edisi 2002, menyatakan, “Catatan-catatan ini membuktikan bahawa semua orang, bahkan penentang orang Kristian, tidak pernah mempersoalkan kewujudan Yesus. Isu ini mula dipertikaikan pada akhir abad ke-18, semasa abad ke-19, dan pada awal abad ke-20. Namun dakwaan bahawa Yesus tidak wujud langsung tidak berasas.”

 Pada tahun 2006, buku Jesus and Archaeology menyatakan, “Dewasa ini, tiada cendekiawan yang dihormati mempersoalkan kewujudan seorang lelaki Yahudi yang bernama Yesus anak Yusuf; banyak cendekiawan mengakui bahawa kita kini mempunyai banyak maklumat tentang perbuatan dan ajaran asas Yesus.”

 Bible menggambarkan Yesus sebagai seorang tokoh sejarah, dan Bible bahkan menyebut nama-nama leluhurnya dan nama-nama ahli keluarganya yang terdekat. (Matius 1:1; 13:55) Bible juga menyebut nama para pemerintah terkemuka yang hidup sezaman dengan Yesus. (Lukas 3:1, 2) Perincian sedemikian membantu para penyelidik untuk mengesahkan ketepatan kisah-kisah dalam Bible.