Lompat ke kandungan

Adakah Kain Kafan Turin Digunakan untuk Membalut Mayat Yesus?

Adakah Kain Kafan Turin Digunakan untuk Membalut Mayat Yesus?

Jawapan Bible

 Bible tidak sebut tentang Kain Kafan Turin. Sesetengah orang berpendapat bahawa kain linen itu ialah kain kafan Yesus Kristus semasa dia dimakamkan, dan menganggapnya sebagai salah satu barang peninggalan yang paling suci dalam kepercayaan gereja. Hari ini, kain kafan tersebut disimpan di sebuah gereja yang terletak di Turin, Itali, dan dilindungi dalam sebuah peti yang berteknologi tinggi.

 Adakah catatan Bible memberi tanggapan bahawa mayat Yesus pernah dibalut dengan Kain Kafan Turin? Tidak.

 Perhatikan tiga aspek yang berbeza antara apa yang dikatakan dalam Bible dengan kain tersebut.

  1.   Kain kafan ini adalah sehelai kain yang panjangnya 442 sentimeter dan lebarnya 113 sentimeter. Sehelai kain yang lebarnya 8 sentimeter dijahit pada panjang kain tersebut.

     Catatan Bible: Mayat Yesus dibalut dengan beberapa lembar kain, dan bukannya sehelai kain linen sahaja. Kepala Yesus dibalut dengan kain yang berasingan. Selepas Yesus dibangkitkan, salah seorang rasulnya datang ke makam yang kosong dan dia “nampak kain linen di situ.” Dalam bahasa asal, “kain linen” disebut dalam bentuk jamak, yang biasanya membawa maksud beberapa helai kain. Tambahan pula, Bible berkata, “Kain yang digunakan untuk menutupi kepala Yesus digulung tetapi tidak diletakkan bersama kain pembalut mayat.”​—Yohanes 20:​6, 7.

  2.   Kain kafan ini mempunyai tanda-tanda yang dianggap sebagai bekas darah dari mayat Yesus yang belum dibersihkan .

     Catatan Bible: Semasa Yesus meninggal, murid-muridnya mempersiapkan mayat Yesus “menurut adat pengebumian orang Yahudi.” (Yohanes 19:39-42) Menurut adat ini, mayat akan dibersihkan dan dilumurkan dengan minyak dan ramuan wangi sebelum pengebumian. (Matius 26:12; Kisah 9:​37) Oleh itu, murid-murid Yesus tentu telah membersihkan mayat Yesus sebelum membalutnya dengan kain.

  3.   Menurut Encyclopædia Britannica, kain kafan ini mengandungi imej seorang lelaki yang “berbaring terlentang secara memanjang di atas setengah kain kafan, manakala setengah lagi kain itu menutupi seluruh bahagian hadapan tubuhnya.”

     Catatan Bible: Murid-murid Yesus pernah membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kematian Yesus, makamnya yang kosong, dan laporan wanita bahawa mereka nampak “malaikat-malaikat yang mengatakan bahawa Yesus sudah hidup.” (Lukas 24:15-​24) Jika kain kafan itu ada di makam Yesus, sudah tentu murid-muridnya juga akan bincang tentang kain itu dan imej padanya. Tetapi, tiada catatan dalam Bible mengenai hal ini.

Haruskah kain kafan ini dipuja?

 Tidak. Pemujaan kain kafan memang salah, tidak kira kain itu pernah digunakan untuk membalut mayat Yesus atau tidak. Perhatikan beberapa prinsip Bible berikut:

  1.   Amalan ini tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Yesus berkata, “Tuhan ialah Roh, dan semua penyembah-Nya mesti menyembah-Nya dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.” (Yohanes 4:​24) Kita tidak harus menggunakan barang-barang peninggalan keagamaan dalam ibadat sejati.

  2.   Amalan ini dilarang oleh Tuhan. Penyembahan berhala dilarang dalam Sepuluh Hukum. (Ulangan 5:​6-​10) Bible juga memerintahkan orang Kristian supaya “jauhkanlah diri kamu daripada berhala.” (1 Yohanes 5:​21) Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa kain kafan ini bukan berhala, tetapi cuma simbol kepercayaan agama mereka. Tetapi, simbol ini menjadi berhala apabila seseorang memujanya. a Jadi, seseorang yang ingin menyenangkan Tuhan tidak akan memuja atau memuliakan apa-apa benda, termasuk kain kafan ini.

a Berhala ialah patung, gambar, atau lambang yang menyerupai sesuatu dan digunakan dalam ibadat.