Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Ibu Bapa Dapat Mengajar Anak Mereka tentang Seks?

Bagaimanakah Ibu Bapa Dapat Mengajar Anak Mereka tentang Seks?

Jawapan Bible

 Siapakah yang seharusnya mengajar anak-anak tentang seks? Menurut Bible, tanggungjawab ini diberikan kepada ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa mendapati bahawa cadangan-cadangan berikut amat berguna:

  •   Jangan berasa malu. Bible berterus terang apabila menyebut tentang seks dan alat kelamin. Tuhan juga memberitahu bangsa Israel bahawa kanak-kanak harus diajar tentang hal itu. (Ulangan 31:12; Imamat 15:​2, 16-​19) Semasa menyebut tentang seks dan alat kelamin, gunakanlah istilah yang bersesuaian supaya hal itu tidak dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.

  •   Ajar secara bertahap. Walaupun anak anda belum mencapai akil baligh, anda boleh memberikan penjelasan tentang seks secara beransur-ansur.​—1 Korintus 13:11.

  •   Ajarkan piawaian moral. Pihak sekolah mungkin menyediakan pendidikan tentang seks. Namun, Bible menggalakkan ibu bapa untuk mendidik anak, bukan hanya tentang bahagian tubuh badan, tetapi juga mengenai pandangan dan sikap yang betul tentang seks.​—Amsal 5:​1-​23.

  •   Jadilah pendengar yang baik. Jika anak anda menanyakan soalan tentang seks, tetaplah bertenang dan janganlah salah anggap tentang niatnya. Sebaliknya, anda harus “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”​—Yakobus 1:​19.

Cara melindungi anak anda daripada pemangsa seksual

Ajarlah anak anda melindungi diri daripada pemangsa seksual

  •   Cari maklumat. Ketahui cara-cara yang biasa digunakan oleh pemangsa seksual.​—Amsal 18:15; lihat bab 32 dalam buku “Pertanyaan Kaum Muda,” Jilid 1 dalam bahasa Indonesia.

  •   Ambil tahu tentang kegiatan seharian anak anda. Sebelum menyerahkan anak anda di bawah jagaan seseorang, pastikan terlebih dahulu orang itu dapat dipercayai. Selain itu, janganlah biarkan anak anda terlalu bebas dan “tidak dikawal.”​—Amsal 29:15.

  •   Ajar anak memiliki pandangan seimbang tentang kepatuhan. Anak-anak perlu belajar untuk mentaati ibu bapa mereka. (Kolose 3:​20) Namun, jika anda mengajar anak anda bahawa dia mesti selalu mentaati semua orang dewasa, anda sebenarnya mendedahkannya kepada bahaya. Ibu bapa Kristian boleh memberitahu anak mereka, “Jika sesiapa minta kamu untuk melakukan sesuatu yang salah di mata Tuhan, jangan lakukannya.”​—Kisah 5:​29.

  •   Berlatih cara untuk melindungi diri. Beritahulah anak anda apa yang harus dia lakukan sekiranya seseorang ingin mengambil kesempatan terhadapnya sewaktu anda tidak bersamanya. Dengan melakonkan situasi yang mungkin berlaku, anda dapat membantu anak anda memiliki keyakinan untuk mengatakan, “Jangan! Saya akan beritahu orang lain!” dan melarikan diri. Anda perlu mengajarkan hal ini kepada anak anda “secara berulang-ulang,” kerana mereka mungkin lupa tentangnya.​—Ulangan 6:7.