Lompat ke kandungan

Siapakah Itu Nefilim?

Siapakah Itu Nefilim?

Jawapan Bible

 Orang Nefilim merupakan gergasi yang ganas dan luar biasa. Mereka hidup pada zaman Nuh, dan merupakan keturunan yang lahir apabila malaikat yang jahat mengadakan hubungan dengan wanita di bumi. a

 Bible menyatakan bahawa “anak-anak kepada Tuhan yang benar mula memperhatikan bahawa anak-anak perempuan itu cantik.” (Kejadian 6:2) Sebenarnya, “anak-anak Tuhan” merujuk kepada malaikat-malaikat yang memberontak terhadap Tuhan. Mereka ‘meninggalkan tempat tinggal mereka’ di syurga, menjelma menjadi manusia, dan “mula mengambil sesiapa sahaja yang diingini sebagai isteri.”​—Yudas 6; Kejadian 6:2.

 Anak-anak mereka menjadi gergasi yang ganas. (Kejadian 6:4) Orang Nefilim menjadi gergasi yang suka membuli orang dan bersikap zalim. Mereka memenuhi bumi dengan keganasan. (Kejadian 6:​13) Dalam Bible, mereka digambarkan sebagai “orang perkasa yang termasyhur pada zaman dahulu.” (Kejadian 6:4) Kisah keganasan dan perasaan gerun terhadap kaum Nefilim telah menjadi suatu cerita turun-temurun.​—Kejadian 6:5; Bilangan 13:33. b

Tanggapan yang salah mengenai golongan Nefilim

 Tanggapan yang salah: Hari ini, kaum Nefilim masih wujud.

 Kebenaran: Yehuwa telah mendatangkan banjir besar kepada seluruh bumi dan menghapuskan dunia yang ganas itu. Maka, orang Nefilim juga dihapuskan bersama-sama semua orang yang jahat. Yehuwa memperkenankan Nuh sekeluarga dan mereka sahajalah yang terselamat pada masa itu.​—Kejadian 6:9; 7:​12, 13, 23; 2 Petrus 2:5.

 Tanggapan yang salah: Bapa kepada orang Nefilim ialah manusia di bumi.

 Kebenaran: Sebenarnya, bapa mereka dipanggil sebagai “anak-anak kepada Tuhan yang benar.” (Kejadian 6:2) Bible menggunakan ungkapan yang sama semasa menyebut tentang para malaikat. (Ayub 1:6; 2:1; 38:7) Malaikat mempunyai kuasa untuk menjelma menjadi manusia. (Kejadian 19:​1-5; Yosua 5:​13-​15) Pernah sekali, rasul Paulus menyebut tentang “roh-roh di penjara, yang dahulunya ingkar pada zaman Nuh.” (1 Petrus 3:​19, 20) Seorang penulis Bible yang bernama Yudas juga menyatakan bahawa sesetengah malaikat “meninggalkan tugas asal dan tempat tinggal mereka.”​—Yudas 6.

 Tanggapan yang salah: Nefilim ialah malaikat-malaikat yang berdosa.

 Kebenaran: Menurut konteks Kejadian 6:4, orang Nefilim bukan malaikat. Sebaliknya, Nefilim terhasil disebabkan persetubuhan antara malaikat dengan wanita-wanita di bumi. Para malaikat telah “mengambil sesiapa sahaja yang diingini sebagai isteri.” Yehuwa berkata bahawa 120 tahun kemudian, Dia akan menghakimi dunia yang jahat pada masa itu. (Kejadian 6:​1-3) Catatan itu juga menyatakan bahawa “pada masa itu,” para malaikat yang menjelma menjadi manusia terus “mengadakan hubungan dengan anak-anak perempuan manusia” lalu melahirkan “orang perkasa yang termasyhur pada zaman dahulu,” iaitu orang Nefilim.​—Kejadian 6:4.

a Perkataan Ibrani untuk “Nefilim” mungkin bermaksud “Yang Menjatuhkan.” Menurut Wilson’s Old Testament Word Studies, perkataan itu merujuk kepada “mereka yang menjarah dan menjatuhkan orang lain dengan keganasan.”

b Sebagai contoh, mengikut Bilangan 13:33, para pengintip Israel mendakwa bahawa mereka ternampak orang yang kelihatan seperti orang Nefilim, sedangkan kaum itu telah pun mati berabad-abad sebelumnya.​—Kejadian 7:​21-​23.