Lompat ke kandungan

Adakah Bible Mengajar Bahawa Bumi Berbentuk Leper?

Adakah Bible Mengajar Bahawa Bumi Berbentuk Leper?

Jawapan Bible

 Tidak, Bible tidak mengajar bahawa bumi berbentuk leper. a Walaupun Bible bukan sebuah buku sains, catatan Bible tidak pernah bercanggah dengan pengetahuan sains yang terbukti. Kata-kata Bible “selalu dapat dipercayai, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.”​—Mazmur 111:8.

 Apakah maksud “keempat-empat penjuru bumi” yang disebut dalam Bible?

 Ungkapan “keempat-empat penjuru bumi” dan “hujung bumi” yang digunakan dalam Bible tidak harus difahami secara harfiah, seolah-olah bumi berbentuk segi empat ataupun mempunyai hujung. (Yesaya 11:12; Ayub 37:3) Sebaliknya, ungkapan-ungkapan ini digunakan untuk merujuk kepada seluruh permukaan bumi. Bible juga menggunakan ungkapan “timur, barat, utara, dan selatan,” iaitu empat arah mata angin, untuk tujuan yang sama.​—Lukas 13:29.

 Istilah Ibrani yang diterjemahkan sebagai “penjuru” atau “hujung” nampaknya ialah suatu simpulan bahasa yang berdasarkan perkataan “sayap.” Menurut The International Standard Bible Encyclopedia, “oleh kerana burung membentangkan sayap untuk melindungi anak-anaknya, [istilah Ibrani ini] boleh merujuk kepada bahagian hujung sesuatu yang dibentangkan.” Karya rujukan ini juga menjelaskan bahawa dalam Ayub 37:3 dan Yesaya 11:12, “istilah itu bererti persisiran, sempadan, atau bahagian hujung permukaan daratan di bumi.” b

 Adakah cara Iblis menggoda Yesus membuktikan bahawa bumi berbentuk leper?

 Sewaktu menggoda Yesus, “Iblis membawanya ke sebuah gunung yang luar biasa tinggi dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan dunia serta kegemilangannya.” (Matius 4:8) Sesetengah orang berpendapat bahawa menurut kisah Bible ini, seluruh bumi dapat dilihat dari suatu lokasi sahaja, jadi bumi mestilah berbentuk leper. Tetapi, “gunung yang luar biasa tinggi” yang disebut dalam peristiwa ini nampaknya hanya merupakan suatu metafora dan tidak merujuk kepada sebuah gunung yang benar-benar wujud. Bagaimanakah kita tahu tentang hal ini?

  •   Kita tidak dapat melihat semua kerajaan di dunia ini dari mana-mana gunung di bumi.

  •   Iblis bukan sahaja menunjukkan kepada Yesus kerajaan dunia, tetapi juga “kegemilangannya.” Butiran sebegini tidak dapat dilihat dari jarak yang jauh, jadi nampaknya Iblis telah menunjukkan semua perkara itu kepada Yesus melalui penglihatan. Hal ini mungkin serupa dengan menggunakan projektor untuk menayangkan gambar pelbagai tempat di bumi pada skrin.

  •   Lukas 4:5 juga mencatatkan peristiwa yang sama, dan ayat itu mengatakan bahawa Iblis telah menunjukkan kepada Yesus semua kerajaan di bumi “dalam sekelip mata.” Sudah tentu mustahil untuk mata manusia melihat semua hal itu dalam sekelip mata. Fakta ini mencadangkan bahawa Iblis tidak mempamerkan semua kerajaan itu secara harfiah kepada Yesus. Sebaliknya dia telah menggunakan cara lain untuk berbuat demikian.

a Bible menyatakan bahawa “Tuhan tinggal di atas bulatan bumi.” (Yesaya 40:22) Sesetengah bahan rujukan menjelaskan bahawa perkataan yang diterjemahkan sebagai “bulatan” mungkin membawa erti sfera juga, biarpun bukan semua cendekiawan bersetuju akan hal ini. Walau bagaimanapun, Bible tidak menyokong pandangan bahawa bumi berbentuk leper.

b Edisi Semakan, Jilid 2, muka surat 4.