Lompat ke kandungan

Adakah Ajaran Bible Selaras dengan Sains?

Adakah Ajaran Bible Selaras dengan Sains?

Jawapan Bible

 Ya, meskipun Bible bukan buku teks sains, maklumat dalam Bible tentang hal-hal sains adalah tepat. Perhatikan beberapa contoh yang menunjukkan bahawa ajaran Bible selaras dengan fakta sains dan bagaimana maklumat dalam Bible tentang soal sains mendahului zamannya.

  •   Alam semesta mempunyai permulaan. (Kejadian 1:1) Sebaliknya, banyak mitos kuno menyatakan bahawa alam semesta tidak diciptakan tetapi terhasil daripada keadaan yang huru-hara. Orang Babilon percaya bahawa dewa dewi yang telah melahirkan alam semesta berasal daripada dua laut. Legenda lain menyatakan bahawa alam semesta muncul daripada sebiji telur raksasa.

  •   Alam semesta dikawal oleh hukum-hukum alam, dan bukannya keadaan emosi para dewa dewi. (Ayub 38:33; Yeremia 33:25) Mitos daripada serata dunia pula mengajar orang bahawa orang dahulukala terpaksa pasrah kepada dewa dewi yang kejam.

  •   Bumi ditempatkan di angkasa hampa. (Ayub 26:7) Banyak orang zaman dahulu percaya bahawa bumi berbentuk leper dan disokong oleh raksasa atau binatang seperti kerbau atau kura-kura.

  •   Sungai dan mata air berasal daripada air yang tersejat daripada lautan dan sumber lain lalu jatuh kembali ke bumi dalam bentuk hujan, salji, atau hujan batu. (Ayub 36:27, 28; Pengkhutbah 1:7; Yesaya 55:10; Amos 9:6) Orang Yunani kuno menyangka bahawa sungai berasal daripada laut bawah tanah, dan mereka percaya akan hal itu sehingga abad ke-18.

  •   Gunung-ganang timbul dan tenggelam, dan gunung yang ada sekarang sebelumnya sudah ada di dasar laut. (Mazmur 104:​6, 8) Sebaliknya, beberapa mitos mengajarkan bahawa para dewa menciptakan gunung dalam bentuknya sekarang.

  •   Kebersihan melindungi kesihatan. Dalam hukum yang diberikan kepada bangsa Israel, terdapat arahan tentang pentingnya mencuci pakaian setelah menyentuh mayat, mengasingkan orang yang mempunyai penyakit berjangkit, dan menanam najis agar tidak membawa penyakit. (Imamat 11:28; 13:​1-5; Ulangan 23:13) Sebaliknya, orang Mesir yang hidup sezaman dengan orang Israel menggunakan campuran yang mengandungi najis manusia untuk mengubati luka.

Adakah Bible mengandungi maklumat sains yang tidak tepat?

 Tidak. Jika kita mengkaji Bible dengan saksama, kita dapat melihat bahawa ajaran Bible selalu selaras dengan fakta sains. Berikut merupakan beberapa anggapan salah tentang maklumat dalam Bible:

 Mitos: Bible menyatakan bahawa alam semesta diciptakan dalam masa enam hari yang harfiah.

 Fakta: Menurut Bible, Tuhan telah menciptakan alam semesta lama dahulu dan kita tidak tahu waktunya secara tepat. (Kejadian 1:1) Selain itu, “hari penciptaan” yang disebut di Kejadian bab 1 merujuk kepada satu tempoh waktu yang panjangnya tidak diketahui. Malah, seluruh tempoh penciptaan langit dan bumi juga disebut sebagai satu “hari.”​—Kejadian 2:4.

 Mitos: Bible menyatakan bahawa tumbuhan diciptakan sebelum ada matahari yang diperlukan untuk fotosintesis.​—Kejadian 1:​11, 16.

 Fakta: Bible menyatakan bahawa matahari, iaitu salah satu objek di langit, telah diciptakan sebelum tumbuhan diciptakan. (Kejadian 1:1) Sedikit cahaya daripada matahari mula mencapai permukaan bumi pada “hari” pertama penciptaan. Seraya langit menjadi semakin cerah pada “hari” ketiga, sudah ada cukup cahaya untuk proses fotosintesis. (Kejadian 1:​3-5, 12, 13) Pada kemudian hari, matahari mula jelas kelihatan dari bumi.​—Kejadian 1:​16.

 Mitos: Bible menyatakan bahawa matahari berputar mengelilingi bumi.

 Fakta: Pengkhutbah 1:5 menyatakan, “Matahari terbit, dan matahari terbenam, lalu tergesa-gesa kembali ke tempat terbitnya.” Namun, hal ini sekadar menunjukkan pergerakan matahari yang dilihat dari bumi. Dewasa ini, kita juga sering mengatakan bahawa “matahari sedang terbit” atau “matahari sudah terbenam” padahal kita tahu bahawa bumilah yang berputar mengelilingi matahari.

 Mitos: Bible menyatakan bahawa bumi itu rata atau berbentuk leper.

 Fakta: Bible menggunakan ungkapan “hujung bumi” untuk merujuk kepada bahagian bumi yang paling jauh. Hal ini tidak bermaksud bahawa bumi berbentuk leper. (Kisah 1:8) Demikian juga, ungkapan “keempat-empat penjuru bumi” digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada seluruh permukaan bumi. Dewasa ini pun orang menggunakan keempat-empat arah mata angin untuk memaksudkan hal yang sama.​—Yesaya 11:12; Lukas 13:29.

 Mitos: Bible menyatakan bahawa lilitan sebuah bulatan adalah tiga kali ganda diameternya. Tetapi sebenarnya lilitan sebuah bulatan ialah pi (π), atau bernilai sekitar 3.1416.

 Fakta: Ukuran “Laut Tembaga” yang disebutkan di 1 Raja-Raja 7:​23 dan 2 Tawarikh 4:2 menyatakan bahawa diameternya ialah 10 hasta dan “dapat dililit dengan tali yang berukuran 30 hasta panjang.” Ukuran ini mungkin sekadar pembundaran terdekatnya. Selain itu, terdapat kemungkinan bahawa diameter yang disebutkan itu ialah diameter luar tangki itu dan lilitan yang disebutkan itu pula ialah lilitan bahagian dalamnya.