Lompat ke kandungan

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Pandemik?

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Pandemik?

Jawapan Bible

 Bible menubuatkan bahawa wabak (penyakit yang merebak, termasuk pandemik) akan berlaku pada hari-hari terakhir. (Lukas 21:11) Namun pandemik bukanlah hukuman daripada Tuhan. Sebaliknya tidak lama lagi, Tuhan akan mengakhiri semua masalah kesihatan, termasuk pandemik, melalui Kerajaan-Nya.

 Adakah Bible menubuatkan pandemik?

 Bible tidak menubuatkan secara spesifik tentang pandemik atau penyakit, seperti COVID-19, AIDS, atau selesema Sepanyol. Tetapi Bible menubuatkan bahawa akan ada “wabak” dan “penyakit yang membawa maut.” (Lukas 21:11; Wahyu 6:8) Semua ini ialah sebahagian daripada tanda “hari-hari terakhir” atau “penghujung sistem ini.”—2 Timotius 3:1; Matius 24:3.

 Pernahkah Tuhan menggunakan penyakit untuk menghukum orang?

 Dalam Bible, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan bahawa Tuhan menggunakan penyakit untuk menghukum orang. Contohnya, Dia menyebabkan beberapa orang menghidap penyakit kusta. (Bilangan 12:1-16; 2 Raja-Raja 5:20-27; 2 Tawarikh 26:16-21) Tuhan menggunakan cara sedemikian untuk menghukum orang yang tertentu kerana memberontak terhadap-Nya. Hal ini tidak sama seperti pandemik yang boleh menjangkiti sesiapa pun.

 Adakah pandemik yang berlaku hari ini hukuman daripada Tuhan?

 Tidak. Bagi sesetengah orang, Tuhan menggunakan pandemik dan penyakit yang lain untuk menghukum orang hari ini. Namun Bible tidak menyokong pendapat sedemikian. Mengapa?

 Sejak zaman dahulu hingga sekarang, sesetengah penyembah Tuhan yang setia menghidap penyakit. Contohnya, Timotius menderita kerana “kerap sakit.” (1 Timotius 5:23) Tetapi Bible tidak berkata bahawa hal itu berlaku kerana mereka tidak diperkenankan Tuhan. Begitu juga dengan hari ini, sesetengah hamba Tuhan yang setia juga jatuh sakit atau dijangkiti penyakit. Seringkali hal ini berlaku kerana mereka berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah.—Pengkhutbah 9:11.

 Selain itu, Bible mengajar bahawa belum tiba masanya bagi Tuhan untuk menghukum orang jahat. Sebaliknya, kita sedang hidup pada “hari penyelamatan.” (2 Korintus 6:2) Dalam kata lain, sekarang Tuhan sedang menjemput semua orang untuk menghampiri-Nya agar diselamatkan. Salah satu cara Dia memberikan jemputan itu adalah melalui kerja penyebaran sedunia yang membawa “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.”​—Matius 24:14.

 Adakah pandemik akan berterusan?

 Tidak. Bible menubuatkan bahawa tidak lama lagi tiada seorang pun yang akan jatuh sakit. Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, Tuhan akan menyembuhkan semua masalah kesihatan. (Yesaya 33:24; 35:5, 6) Dia akan menghapuskan penderitaan, kesakitan, dan kematian. (Wahyu 21:4) Dia juga akan membangkitkan orang mati supaya mereka dapat menikmati kesihatan yang baik di bumi ini dalam keadaan yang sempurna.—Mazmur 37:29; Kisah 24:15.

 Ayat Bible tentang penyakit

 Matius 4:23: “Yesus menjelajah seluruh kawasan Galilea dan mengajar di rumah-rumah ibadat orang Yahudi. Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan setiap masalah kesihatan dan setiap jenis penyakit yang dihidapi orang ramai.”

 Maksud: Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus pada zaman dahulu, hanyalah contoh yang kecil. Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan membawa berkat yang jauh lebih besar untuk semua manusia.

 Lukas 21:11: “Wabak akan terjadi.”

 Maksud: Masalah kesihatan yang berleluasa merupakan salah satu tanda hari-hari terakhir.

 Wahyu 6:8: ‘Kemudian aku nampak seekor kuda yang pucat. Penunggang kuda itu bernama Maut, dan Kuburan mengikutinya dari belakang. Mereka diberi kuasa untuk membunuh orang dengan menggunakan penyakit yang membawa maut.’

 Maksud: Nubuat tentang empat penunggang kuda menunjukkan bahawa pandemik akan berlaku pada zaman kita.