Lompat ke kandungan

Apakah Itu Bible?

Apakah Itu Bible?

Jawapan Bible

 Bible terdiri daripada 66 buah buku suci dan ditulis dalam jangka masa kira-kira 1,600 tahun. Bible mengandungi mesej daripada Tuhan, atau “perkhabaran daripada Tuhan.”—1 Tesalonika 2:13.

Dalam rencana ini

 Fakta mengenai Bible

  •   Siapakah penulis Bible? Tuhan ialah Pengarang Bible, tetapi Dia menggunakan kira-kira 40 orang lelaki yang berlainan untuk menulisnya. Antaranya ialah Musa, Raja Daud, Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. a Tuhan telah meletakkan fikiran-Nya ke dalam minda para penulis supaya mereka dapat mencatatkan mesej-Nya.—2 Timotius 3:16.

     Fikirkan contoh ini: Seorang ahli perniagaan menyuruh setiausahanya untuk menulis sepucuk surat bagi pihaknya. Biarpun dia hanya memberikan beberapa butiran yang penting sahaja, ahli perniagaan itu masih merupakan pengarang surat itu. Begitu juga, biarpun Tuhan menggunakan manusia untuk menulis mesej-Nya, Dia merupakan Pengarang Bible yang sebenar.

  •   Apakah maksud perkataan “Bible”? Perkataan “Bible” berasal daripada kata Yunani biblia, yang bermaksud “buku-buku kecil.” Kemudian, biblia digunakan untuk merujuk kepada gabungan semua buku kecil yang membentuk Bible.

  •   Bilakah Bible ditulis? Bible mula ditulis pada tahun 1513 SM dan siap ditulis lebih daripada 1,600 tahun kemudian, sekitar tahun 98 M.

  •   Di manakah Bible yang asal? Tiada tulisan asal Bible yang masih wujud pada hari ini. Hal ini kerana para penulis Bible menggunakan bahan yang mudah reput seperti kertas papirus dan kertas kulit. Namun, para jurutulis telah melakukan kerja penyalinan dengan teliti. Mereka membuat salinan berulang kali supaya generasi yang akan datang dapat membacanya.

  •   Apakah itu “Perjanjian Lama” dan “Perjanjian Baharu”? Bahagian Bible yang biasanya dipanggil Perjanjian Lama, merujuk kepada bahagian yang ditulis dalam bahasa Ibrani. b Bahagian ini juga dikenali sebagai Kitab Ibrani. Perjanjian Baharu pula merujuk kepada bahagian Bible yang ditulis dalam bahasa Yunani, dan juga dikenali sebagai Kitab Yunani Kristian. Dua bahagian Bible ini telah digabung menjadi sebuah buku yang lengkap, dan juga dipanggil Kitab Suci. c

  •   Apakah yang terdapat dalam Bible? Terdapat sejarah, hukum, nubuat, puisi, pepatah, lagu, dan surat dalam Bible.—Lihat “ Senarai buku-buku dalam Bible.”

 Apakah isi kandungan Bible?

 Mula-mula, Bible mengisahkan secara ringkas bagaimana Tuhan Yang Maha Kuasa menciptakan langit dan bumi. Melalui Bible, Dia memberitahu kita nama-Nya, iaitu Yehuwa, dan menjemput semua orang untuk mengenali-Nya.—Mazmur 83:18.

 Bible menjelaskan bahawa reputasi Tuhan telah dicemari, dan Bible juga menunjukkan bagaimana Dia akan memulihkannya.

 Bible memberitahu kita tujuan Tuhan bagi manusia dan bumi. Bible juga menunjukkan bagaimana Tuhan akan menghapuskan penyebab penderitaan manusia pada masa depan.

 Bible memberikan nasihat praktikal untuk kehidupan seharian. Perhatikan beberapa contoh berikut:

  •   Menjaga hubungan yang baik. “Maka, semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.”—Matius 7:12.

     Maksud: Kita patut melayan orang lain sebagaimana kita ingin dilayan.

  •   Menangani stres. “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.”—Matius 6:34.

     Maksud: Daripada terlalu khuatir tentang apa yang mungkin akan berlaku pada masa depan, adalah lebih baik untuk hidup sehari demi sehari.

  •   Menikmati perkahwinan yang bahagia. “Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.”—Efesus 5:33.

     Maksud: Kasih dan hormat merupakan kunci kepada perkahwinan yang berjaya.

 Adakah Bible telah diubah?

 Tidak. Para cendekiawan telah membandingkan manuskrip Bible kuno dengan Bible pada zaman kita secara teliti. Mereka mendapati bahawa mesej Bible yang asal tidak diubah. Hal ini memang masuk akal. Jika Tuhan ingin orang membaca dan memahami mesej-Nya, sudah tentu Dia akan memastikan agar mesej-Nya tidak diubah. dYesaya 40:8.

 Mengapakah terdapat begitu banyak terjemahan Bible?

 Kebanyakan pembaca pada zaman moden tidak dapat memahami bahasa yang digunakan dalam Bible kuno. Tetapi, Bible mempunyai “berita baik” untuk “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” (Wahyu 14:6) Oleh itu, semua orang memerlukan terjemahan Bible dalam bahasa yang difahami mereka agar mereka dapat membaca dan betul-betul memahami mesej Tuhan.

 Terdapat tiga kaedah untuk menterjemahkan Bible:

  •   Terjemahan kata demi kata menterjemahkan teks secara harfiah.

  •   Terjemahan maksud demi maksud menggunakan perkataan yang mencerminkan maksud teks asal.

  •   Terjemahan parafrasa menggunakan perkataan dengan bebas agar teks itu lebih seronok dibaca. Namun, dengan menggunakan kaedah ini, ada kalanya maksud sebenar teks asal tidak dapat disampaikan dengan tepat.

 Sebuah terjemahan Bible yang baik akan cuba menterjemahkan teks secara harfiah, dan pada masa yang sama, menggunakan bahasa yang mudah difahami untuk menyampaikan mesej daripada Tuhan dengan tepat. e

 Siapakah yang menentukan isi kandungan Bible?

 Selaku Pengarang Bible, Tuhanlah yang menentukan isi kandungan Bible. Pada mulanya, Dia mengamanahkan “perkhabaran suci daripada Tuhan” kepada bangsa Israel kuno, dan mereka bertanggungjawab untuk menjaga Kitab Ibrani.—Roma 3:2.

 Adakah terdapat buku dalam Bible yang telah hilang?

 Tidak. Bible merupakan sebuah buku yang lengkap dan tiada satu buku pun di dalamnya yang hilang. Sesetengah orang mungkin mendakwa bahawa buku-buku kuno tertentu, yang telah lama tersembunyi, sepatutnya dimasukkan dalam Bible. f Namun, Bible mempunyai caranya yang tersendiri untuk menentukan kesahihannya. (2 Timotius 1:13) Buku-buku dalam Bible yang diilhami Tuhan haruslah saling menyokong dan tidak bercanggah. Namun, semua buku kuno yang didakwa sepatutnya dimasukkan dalam Bible tidak menepati syarat ini. g

 Cara untuk mencari ayat Bible

  Senarai buku-buku dalam Bible

a Untuk senarai lengkap buku-buku dalam Bible, siapa penulisnya, dan bila buku itu ditulis, sila lihat “Senarai Buku-Buku dalam Bible.”

b Sebahagian kecil Bible ditulis dalam bahasa Aram, sebuah bahasa yang hampir sama dengan bahasa Ibrani.

c Banyak pembaca Bible lebih suka istilah “Kitab Ibrani” dan “Kitab Yunani Kristian.” Dua istilah ini digunakan untuk mengelakkan tanggapan bahawa “Perjanjian Lama” telah ketinggalan zaman dan digantikan dengan “Perjanjian Baharu.”

e Ramai orang suka membaca Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu kerana terjemahan ini tepat dan mudah dibaca. Lihat “Adakah Bible New World Translation Tepat?

f Buku-buku ini dipanggil Apokrifa. Menurut Encyclopædia Britannica, “dalam bahan bacaan Bible, [istilah ini merujuk kepada] tulisan-tulisan yang tidak diterima dalam daftar karya Bible,” iaitu tulisan-tulisan yang tidak dimasukkan dalam senarai rasmi buku-buku dalam Bible.

g Untuk maklumat lanjut, lihat “Injil Apokrifa—Kebenaran Tersembunyi tentang Yesus?” dalam bahasa Indonesia.