Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Cara untuk Mengawal Kemarahan

Cara untuk Mengawal Kemarahan

 Bayangkan pasangan anda mengatakan atau melakukan sesuatu yang membuat anda marah. Anda cuba menyembunyikan perasaan anda. Tetapi dia mungkin sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan mula menanya anda banyak soalan. Hal itu membuat anda lebih geram dan marah. Bagaimanakah anda dapat mengawal emosi anda dalam situasi itu?

 Apa yang perlu anda ketahui

  •   Ledakan kemarahan akan menjejaskan kesihatan anda. Kajian menunjukkan bahawa kemarahan yang tidak terkawal dapat menyebabkan tekanan darah tinggi, masalah jantung, kemurungan, dan masalah penghadaman. Selain itu, kemarahan juga dapat menyebabkan masalah tidur, kerisauan, masalah kulit, dan strok. Itulah sebabnya Bible memberitahu kita, “Singkirkanlah kemarahan . . . , kerana hal itu hanya mendatangkan kecelakaan.”​—Mazmur 37:8, nota kaki.

  •   Memendamkan perasaan marah juga akan membawa masalah. Kemarahan yang terus dipendamkan akan membuat anda menjadi orang yang lebih negatif dan suka mengkritik. Sikap sedemikian akan membuat anda menjadi susah dikasihi dan hal itu pasti akan menjejaskan perkahwinan anda.

 Apa yang dapat anda lakukan

  •   Cari sifat-sifat baik pasangan anda. Senaraikan tiga perkara yang anda suka tentang pasangan anda. Jika dia membuat anda marah pada kemudian hari, fikirkan tentang sifat-sifat baik dalam senarai itu. Hal ini dapat membantu anda mengawal kemarahan anda.

     Prinsip Bible: “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.”​—Kolose 3:15.

  •    Belajar untuk mengampunkan dosa. Mula-mula, berusahalah untuk memahami pandangan pasangan anda. Hal ini dapat membantu anda untuk menyelami perasaannya dan menunjukkan empati. (1 Petrus 3:8) Kemudian, tanyalah diri anda, “Wajarkah saya menjadi begitu marah sehingga tidak sanggup mengampuninya?”

     Prinsip Bible: “Orang yang berpengertian . . . mengampunkan kesalahan.”​—Amsal 19:11.

  •    Luahkan perasaan dengan sopan dan tanpa menyinggung perasaan. Guna ayat yang berfokus kepada diri anda. Sebagai contoh, jangan berkata, “Kamu tidak bertimbang rasa kerana tidak menelefon saya dan memberitahu saya kamu pergi ke mana.” Sebaliknya anda boleh berkata, “Saya risau jika kamu tidak menelefon saya apabila hari sudah lewat. Saya risau tentang keselamatan kamu.” Berusahalah untuk meluahkan perasaan anda dengan tenang.

     Prinsip Bible: “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.”​—Kolose 4:6.

  •    Dengar dengan teliti. Selepas anda meluahkan perasaan anda, izinkan pasangan anda untuk bercakap dan jangan mencelah. Selepas dia habis bercakap, ulangi kata-katanya secara ringkas untuk menunjukkan bahawa anda memahami perasaannya. Tindakan ini dapat membantu anda untuk mengawal kemarahan anda.

     Prinsip Bible: “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”​—Yakobus 1:​19.