Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Galatia 6:9—“Janganlah Kita Jemu Melakukan Perkara-Perkara Baik”

Galatia 6:9—“Janganlah Kita Jemu Melakukan Perkara-Perkara Baik”

 “Teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.”—Galatia 6:9, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya.”—Galatia 6:9, Alkitab Berita Baik.

Maksud Galatia 6:9

 Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian untuk terus melakukan apa yang baik dari sudut pandangan Tuhan. Jika mereka berbuat demikian, mereka dapat yakin bahawa Tuhan akan memberkati mereka.

 “Tanpa berputus asa.” Frasa ini dapat diterjemahkan sebagai “janganlah kita jemu.” Dalam bahasa asal, frasa ini juga dapat bermaksud tidak hilang semangat atau menjadi tawar hati. Dengan menggunakan perkataan “kita” dalam ayat ini, Paulus sedang mengaku bahawa kadangkala dia juga harus bergelut dengan perasaan tawar hati.—Roma 7:21-24.

 “Berbuat baik” merangkumi semua hal yang harus dilakukan oleh orang Kristian dalam khidmatnya kepada Tuhan, termasuk berbuat baik kepada rakan seiman atau orang lain.—Galatia 6:10.

 “Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.” Sepertimana seorang petani harus menunggu tanamannya untuk mengeluarkan hasil, Paulus mengingatkan kita bahawa suatu tempoh masa harus berlalu sebelum kita dapat melihat hasil daripada perbuatan baik kita. Perkataan “menuai” juga mengingatkan kita tentang kebenaran asas yang disebutkan di ayat 7, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” Dalam erti kata lain, apabila seorang Kristian melakukan apa yang baik di mata Tuhan, dia akan menuai hasil yang lumayan, termasuk kehidupan kekal.—Roma 2:6, 7; Galatia 6:8.

Konteks Galatia 6:9

 Rasul Paulus menulis surat ini kepada orang Kristian yang tinggal di Galatia sekitar tahun 50-52 Masihi. Dia menulis surat ini untuk melindungi mereka daripada pengaruh orang jahat yang mengaku diri sebagai orang Kristian tetapi memutarbelitkan kebenaran tentang Yesus. (Galatia 1:6, 7) Guru-guru palsu ini berkeras bahawa orang Kristian mesti mematuhi Hukum Musa yang diberikan Tuhan kepada orang Israel kuno. (Galatia 2:15, 16) Paulus menjelaskan bahawa Hukum Musa telah mencapai tujuannya dan sudah dimansuhkan. Maka orang Kristian tidak lagi tertakluk kepada Hukum Musa.—Roma 10:4; Galatia 3:23-25.

 Semasa Paulus menggalakkan rakan seimannya untuk ‘terus berbuat baik,’ dia bukannya merujuk kepada mematuhi Hukum Musa. Sebaliknya, dia sedang menggalakkan mereka untuk mentaati “hukum Kristus,” yang merangkumi semua ajaran Yesus tentang berbuat baik kepada orang lain.—Galatia 6:2; Matius 7:12; Yohanes 13:34.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Galatia.