Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

1 Petrus 5:6, 7—‘Rendahkanlah Diri Kamu Ke Bawah Tangan Tuhan yang Berkuasa, Serahkanlah Segala Kekhuatiran Kamu kepada Tuhan’

1 Petrus 5:6, 7—‘Rendahkanlah Diri Kamu Ke Bawah Tangan Tuhan yang Berkuasa, Serahkanlah Segala Kekhuatiran Kamu kepada Tuhan’

 “Oleh itu, rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa, agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan. Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:6, 7, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Tuhan yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya. Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.’—1 Petrus 5:6, 7, Alkitab Berita Baik.

Maksud 1 Petrus 5:6, 7

 Menerusi kata-kata ini, Rasul Petrus menggalakkan orang Kristian untuk berdoa dengan yakin kepada Tuhan tentang masalah dan kebimbangan mereka. Tuhan hargai orang yang rendah hati, dan memberkati mereka dengan melimpah.

 “Rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa.” Dalam Bible, tangan Tuhan sering kali merujuk kepada kuasa-Nya untuk menyelamat dan melindungi kita. (Keluaran 13:3; Ulangan 26:8; Mazmur 18:16, 17) Orang Kristian rendahkan diri di bawah tangan Tuhan dengan bergantung pada-Nya. Mereka akui keterbatasan diri dan sedar bahawa mereka tidak dapat atasi cabaran dengan bergantung pada diri sendiri. (Amsal 3:5, 6; Filipi 4:13) Mereka yakin akan kuasa Tuhan untuk membantu mereka pada masa yang tepat dan dalam cara yang terbaik.—Yesaya 41:10.

 “Agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.” Mereka yang sabar hadapi cabaran dengan tabah, dapat yakin bahawa lambat laun Tuhan akan meninggikan, iaitu memberkati mereka. Dia tidak akan membiarkan penyembah-Nya diuji untuk selama-lamanya atau sehingga mereka tidak dapat menanggungnya. (1 Korintus 10:13) Sebaliknya, jika mereka terus berbuat baik, Tuhan pasti memberkati mereka “pada waktu yang ditetapkan.”—Galatia 6:9.

 “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” Orang Kristian boleh lemparkan atau serahkan semua kekhuatiran kepada Tuhan dengan rendah hati berdoa kepada-Nya. Menurut suatu rujukan, “kata kerja melemparkan membawa maksud berusaha untuk membuang sesuatu jauh daripada kita. Ia merupakan suatu tindakan yang sengaja dilakukan.” Selepas seorang Kristian melemparkan kekhuatirannya kepada Tuhan, dia dapat kurangkan kerisauannya dan merasai apa yang Bible gambarkan sebagai “kesejahteraan daripada Tuhan.” (Filipi 4:6, 7) Dia dapat yakin bahawa Tuhan ingin membantunya kerana dia tahu Tuhan mengambil berat tentangnya. Dia juga tahu Tuhan dapat guna kuasa-Nya yang tidak terbatas untuk menguatkannya.—Mazmur 37:5; 55:22.

Konteks 1 Petrus 5:6, 7

 Bab 5 mengakhiri surat pertama yang ditulis oleh Rasul Petrus kepada orang Kristian. (1 Petrus 1:1) Seperti pengikut Yesus dahulu, pengikutnya kini juga menghadapi pelbagai cubaan yang menguji iman mereka dan membuat mereka risau. (1 Petrus 1:6, 7) Petrus menyedari kesusahan mereka lalu menulis surat yang menggalakkan pada sekitar 62-64 Masihi.—1 Petrus 5:12.

 Petrus mengakhiri suratnya dengan menggalakkan mereka yang menghadapi tentangan kerana iman mereka. Jika mereka tetap rendah hati dan bergantung pada Tuhan, mereka dapat yakin bahawa Tuhan akan bantu mereka tetap teguh. (1 Petrus 5:5-10) Kata-kata Petrus boleh juga menggalakkan orang Kristian yang dianiaya hari ini.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku 1 Petrus.