Adakah Tuhan Wujud?

Adakah Tuhan Wujud?

Jawapan Bible

 Ya, Tuhan memang wujud. Bible memberikan banyak bukti tentang hal ini. Bible juga menggalakkan kita untuk membina iman kita terhadap Tuhan dengan menggunakan “daya pemikiran” dan “pengertian” kita. (Roma 12:1; 1 Yohanes 5:​20) Ya, kita tidak patut mempercayai ajaran agama secara membabi buta. Maka marilah kita mengkaji beberapa bukti yang dikemukakan dalam Bible:

  •   Kewujudan alam semesta yang teratur membuktikan kewujudan Pencipta. Bible menyatakan, “Sudah tentu setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.” (Ibrani 3:4) Ayat ini ringkas tetapi masuk akal, dan banyak orang yang berpelajaran bersetuju dengan logik di sebalik ayat ini. a

  •   Manusia dilahirkan dengan keinginan untuk mengetahui erti dan tujuan hidup. Keinginan ini tetap ada biarpun keperluan fizikal kita sudah dipenuhi. Bible menggambarkan keinginan ini sebagai “keperluan rohani” kita, yang merangkumi keinginan kita untuk mengenal Tuhan dan menyembah-Nya. (Matius 5:3; Wahyu 4:​11) Keperluan ini membuktikan kewujudan Tuhan, dan menunjukkan bahawa Tuhan ialah Pencipta yang mengasihi kita dan ingin kita memenuhi keperluan ini.​—Matius 4:4.

  •   Bible mengandungi banyak nubuat yang ditulis sejak dahulu lagi. Nubuat-nubuat itu telah dicatatkan dengan amat terperinci dan setiap perinciannya menjadi kenyataan tepat pada masa yang ditentukan. Hal ini membuktikan bahawa nubuat Bible tidak berasal daripada manusia.​—2 Petrus 1:​21.

  •   Para penulis Bible mempunyai ilmu pengetahuan yang mendahului zaman mereka. Contohnya, pada zaman kuno, banyak orang percaya bahawa bumi disokong oleh seekor binatang, seperti gajah, babi hutan, atau lembu jantan. Tetapi Bible menyatakan bahawa Tuhan “menempatkan bumi di angkasa hampa.” (Ayub 26:7) Selain itu, Bible menggambarkan bentuk bumi dengan menyatakan bahawa Tuhan bertakhta di atas “bulatan bumi.” (Yesaya 40:22; Alkitab Versi Borneo) Banyak orang percaya bahawa para penulis Bible mendapat maklumat yang tepat ini daripada Tuhan.

  •   Bible mengandungi jawapan kepada banyak soalan yang susah, iaitu jenis soalan yang jika jawapannya tidak memuaskan, orang akan menjadi ateis. Misalnya, jika Tuhan pengasih dan maha kuasa, mengapakah dunia ini sarat dengan penderitaan dan kejahatan, dan mengapakah agama lebih banyak pengaruh buruknya daripada pengaruh baiknya?​—Titus 1:​16.

a Misalnya, seorang ahli kaji bintang yang bernama Allan Sandage pernah berkata, “Saya tidak percaya bahawa alam semesta yang begitu teratur ini muncul daripada kekacauan. Pasti terdapat prinsip tertentu yang membuatnya teratur. Bagi saya, Tuhan itu suatu misteri, tetapi itulah satu-satunya penjelasan untuk keajaiban ciptaan.”