Lompat ke kandungan

Penjelasan Istilah

Penjelasan Istilah

Terima kasih kerana anda berminat untuk membuat liputan mengenai kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa. Panduan berikut telah disediakan untuk membantu anda mengetahui ejaan dan maksud sesetengah istilah yang sering digunakan oleh organisasi kami. Sekiranya terdapat soalan tentang topik yang tidak disebutkan dalam panduan ini, sila hubungi pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa.

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Sekumpulan kecil penatua yang dilantik untuk menjaga keperluan rohani Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. Singkatan yang biasa digunakan ialah “Badan Pimpinan.” Mereka secara langsung terlibat dalam kerja untuk menyediakan bahan terbitan Bible. Walaupun Badan Pimpinan mengambil pimpinan dalam mengaturkan kegiatan Saksi di seluruh dunia, mereka semua menganggap Yesus Kristus sebagai satu-satunya Pemimpin Saksi-Saksi Yehuwa. Pejabat Badan Pimpinan terletak di Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, A.S.

Bethel, pekhidmat Bethel, keluarga Bethel. “Bethel” ialah perkataan bahasa Ibrani yang bermaksud “Rumah Tuhan.” Nama ini merujuk kepada bangunan yang digunakan untuk menyokong dan mengatur kegiatan rohani para Saksi yang berasaskan Bible di setiap negara atau kawasan. Mereka yang berkhidmat di bangunan-bangunan ini merupakan sebahagian daripada pertubuhan agama dan dipanggil sebagai “pekhidmat Bethel.” Mereka tidak dibayar gaji. Mereka juga dikenali sebagai “keluarga Bethel” kerana mereka semua tinggal, bekerja, dan beribadat bersama seperti sebuah keluarga. Istilah “pekhidmat Bethel” bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa. Tempat ibadat yang besar milik Saksi-Saksi Yehuwa. Tempat ini digunakan secara berkala untuk perhimpunan yang lebih besar, yang dihadiri beberapa sidang dari kawasan tertentu. Juga boleh dipanggil sebagai “Dewan Perhimpunan.”

Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Tempat ibadat di kawasan tempatan yang digunakan oleh satu atau beberapa sidang. Sering dipanggil “Dewan Perjumpaan.” Sila gunakan istilah ini dan bukannya “gereja.”

Gilead, Sekolah Gilead. Singkatan ini merujuk kepada Watchtower Bible School of Gilead yang diasaskan pada 1943. Tujuan sekolah ini pada mulanya adalah untuk melatih mubaligh (missionary). Kini, para Saksi yang dijemput untuk hadir akan menjalani kursus Bible selama lima bulan. Istilah “sekolah” akan ditulis dalam huruf kecil jika tidak digunakan bersama perkataan “Gilead.”

Jawatankuasa Cawangan. Apabila sebuah pejabat cawangan ditubuhkan, satu Jawatankuasa Cawangan yang terdiri daripada tiga atau lebih penatua akan dilantik untuk menyelia kegiatan di satu atau beberapa negara di bawah jagaan cawangan tersebut.

 kerja penyebaran. Kerja penyebaran umum yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Kerja ini berasaskan perintah Yesus untuk menyebarkan ‘berita baik tentang Kerajaan Tuhan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.’—Matius 24:14; 28:19.

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Nama penuh bagi Kitab Ibrani (“Perjanjian Lama”) dan Kitab Yunani (“Perjanjian Baharu”) yang diterjemahkan dan diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Juga dipanggil Terjemahan Dunia Baharu.

konvensyen. Lihat:  konvensyen antarabangsa dan  konvensyen serantau.

 konvensyen antarabangsa. Perhimpunan tiga hari khas untuk program ibadat dan pendidikan Bible yang dianjurkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Konvensyen antarabangsa diadakan di lokasi-lokasi tertentu beberapa tahun sekali. Para Saksi dari serata dunia akan dijemput untuk menghadirinya. Konvensyen ini juga terbuka kepada umum dan bertujuan untuk menguatkan kerohanian hadirin dan meneguhkan perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa. Biasanya, konvensyen ini diadakan di tempat yang disewa dari hari Jumaat hingga Ahad. Hadirin tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

 konvensyen serantau. Perhimpunan besar tahunan yang berlangsung selama tiga hari. Dihadiri oleh sidang-sidang di kawasan tertentu dan bertujuan untuk meneguhkan kerohanian para hadirin. Acara ini terbuka kepada umum. Program acara ini dapat membantu para hadirin daripada pelbagai golongan umur untuk memanfaatkan nasihat Bible. Terdapat lakonan berdasarkan zaman Bible atau situasi seharian yang menunjukkan cara nasihat Bible dapat diterapkan. Konvensyen sering diadakan di dewan besar yang disewa, misalnya arena, stadium, dan pusat konvensyen. Di sesetengah negara, konvensyen serantau yang lebih kecil boleh diadakan di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa yang berdekatan. Biasanya, program secara bersemuka akan diadakan pada hari Jumaat hingga Ahad. Belakangan ini, rakaman program konvensyen telah disediakan dalam talian. Seperti semua perjumpaan lain Saksi-Saksi Yehuwa, hadirin tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

litar. Beberapa sidang Saksi-Saksi Yehuwa di suatu kawasan yang spesifik.

Menara Pengawal Mengumumkan Kerajaan Yehuwa. Nama penuh majalah utama yang diterbitkan dan diedarkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Juga dipanggil Menara Pengawal. Sepertimana seorang pengawal harus sentiasa berjaga-jaga, majalah ini membantu para pembaca untuk berjaga-jaga dan peka terhadap pelaksanaan kehendak Tuhan. (Matius 24:42) Edisi umum majalah Menara Pengawal ditawarkan secara percuma kepada orang yang berminat membacanya. Edisi pembelajaran Menara Pengawal digunakan untuk sesi soal jawab mingguan di sidang-sidang di serata dunia. Majalah Menara Pengawal mula diterbitkan sejak 1879. Majalah ini ialah salah satu majalah yang paling banyak diedarkan di seluruh dunia.

menginjil. Lihat:  kerja penyebaran.

mubaligh. Seorang Saksi yang dibaptis yang ditugaskan oleh Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa untuk berkhidmat di pelbagai tempat di seluas dunia. Mubaligh rela berpindah ke luar negara untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.—Matius 24:14.

pejabat cawangan. Pusat pentadbiran tempatan Jawatankuasa Cawangan untuk menyelia dan menyokong kegiatan rohani Saksi-Saksi Yehuwa di satu atau beberapa negara. Kadangkala dipanggil “cawangan.”

pembantu sidang. Seorang lelaki Saksi yang matang secara rohani, yang dilantik untuk membantu penatua dengan tugas dalam sidang. Untuk berkhidmat sebagai pembantu sidang, dia harus memenuhi syarat yang disebut dalam Bible di 1 Timotius 3:8-10, 12, 13 dan Titus 2:6-8. Para pembantu sidang mengendalikan banyak tugasan penting berkaitan dengan aturan sidang. Seorang pembantu sidang tidak dibayar untuk khidmatnya dan bukanlah pekerja dalam sidang atau mana-mana pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Kebanyakan pembantu sidang bekerja secara sekular untuk menyara diri dan keluarga mereka. Sesetengah pembantu sidang mungkin layak dilantik sebagai penatua pada kemudian hari. Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

penatua. Seorang lelaki Saksi yang matang secara rohani, yang dilantik untuk mengajar dan memberikan bimbingan rohani kepada individu dalam sidang. Untuk berkhidmat sebagai penatua, dia harus terus memenuhi syarat yang disebut dalam Bible di 1 Timotius 3:1-7; Titus 1:5-9; Yakobus 3:17, 18; dan 1 Petrus 5:2. Penatua tidak dibayar untuk khidmatnya dan bukanlah pekerja dalam sidang atau mana-mana pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Kebanyakan penatua bekerja secara sekular untuk menyara diri dan keluarga mereka. Dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa, tiada perbezaan pangkat antara penatua dengan individu lain dalam sidang. Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

penyelia litar. Seorang penatua yang berpengalaman yang berkhidmat di bawah penyeliaan pejabat cawangan. Dia (dan isterinya, jika sudah berkahwin) akan membuat lawatan bagi setiap sidang dalam suatu litar. Biasanya, lawatan dibuat dua kali setahun. Selain daripada memberikan galakan kepada individu dalam sidang, dia juga menggalakkan dan memberikan bimbingan kepada penatua dan pembantu sidang. Penyelia litar menyediakan program yang khusus untuk setiap sidang. Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

penyiar. Seorang yang menyertai kerja penyebaran umum bersama sidang Saksi-Saksi Yehuwa. Syarat untuk menjadi penyiar termasuk memahami dan mempercayai ajaran asas Bible, serta hidup selaras dengan prinsip Tuhan yang diajarkan dalam Bible. Penyiar tidak dibayar untuk melakukan kerja penyebaran dan mereka bukanlah pekerja mana-mana sidang atau pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

 perhimpunan. Lihat:  perhimpunan litar.

perhimpunan litar. Perhimpunan yang berlangsung selama sehari dan diadakan dua kali setahun. Dihadiri oleh sidang-sidang di kawasan tertentu dan bertujuan untuk meneguhkan kerohanian para hadirin. Acara ini juga terbuka kepada umum. Program perhimpunan dapat membantu para hadirin daripada pelbagai golongan umur untuk memanfaatkan nasihat Bible. Terdapat lakonan tentang situasi seharian yang menunjukkan cara nasihat Bible dapat diterapkan. Perhimpunan litar sering diadakan di dewan yang disewa, atau di Dewan Perjumpaan jika jumlah hadirin tidak terlalu besar. Di sesetengah negara, perhimpunan litar diadakan di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa. Hadirin juga dapat menonton program perhimpunan dalam talian. Biasanya, perhimpunan litar diadakan pada hujung minggu. Hadirin tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

Peringatan kematian Kristus. Sambutan ulang tahun kematian Yesus Kristus, yang juga dikenali sebagai Perjamuan Malam Tuan, Perjamuan Tuan, Perjamuan Terakhir, Peringatan, atau Peringatan kematian Yesus. Acara tahunan ini ialah acara terpenting bagi Saksi-Saksi Yehuwa dan ialah satu-satunya upacara agama yang diperintahkan oleh Kristus kepada pengikutnya.—Lukas 22:19, 20.

perintis. Istilah ini merujuk kepada seorang Saksi yang dibaptis yang mengekhaskan sejumlah masa tertentu untuk melakukan kerja penyebaran umum. Sering kali, istilah ini merujuk kepada “perintis biasa,” iaitu seseorang yang meluangkan 600 jam setahun (50 jam setiap bulan) dalam kerja penyebaran. Kadangkala, istilah ini juga boleh merujuk kepada “perintis sokongan,” iaitu seseorang yang meluangkan 15 atau 30 jam selama sebulan atau beberapa bulan dalam kerja penyebaran. Perintis tidak dibayar untuk melakukan kerja penyebaran umum, dan mereka bukanlah pekerja mana-mana sidang atau pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Kebanyakan perintis bekerja secara sekular untuk menyara diri. Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat.

perjumpaan pertengahan minggu. Perjumpaan mingguan yang biasanya diadakan pada waktu malam hari biasa (bukan hujung minggu). Programnya merangkumi tiga bahagian yang dipanggil Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk membantu para Saksi menjadi penginjil yang lebih mahir. Seperti semua perjumpaan lain Saksi-Saksi Yehuwa, hadirin di dewan mahupun dalam talian tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

Perjumpaan Umum. Perjumpaan sidang mingguan yang biasanya diadakan pada hujung minggu. Biasanya, program bermula dengan ceramah Bible yang disediakan khas untuk orang awam selama 30 minit. Kemudian, Pembelajaran Menara Pengawal selama satu jam akan diadakan. Ini merupakan sesi soal jawab berdasarkan topik Bible daripada rencana dalam majalah Menara Pengawal edisi pembelajaran. Seperti semua perjumpaan lain Saksi-Saksi Yehuwa, hadirin di dewan mahupun dalam talian tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

persaudaraan. Istilah ini merujuk kepada semua Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia (merangkumi lelaki dan perempuan).—1 Petrus 5:9.

saudara. Seorang lelaki yang sudah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Huruf kecil digunakan untuk penggunaan am, dan huruf besar digunakan semasa digabungkan dengan nama seseorang (contohnya, Saudara Smith). Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat. Penggunaannya sama semasa merujuk kepada seorang Saksi perempuan (contohnya, Saudari Smith).

saudari. Seorang perempuan yang sudah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Huruf kecil digunakan untuk penggunaan am, dan huruf besar digunakan semasa digabungkan dengan nama seseorang (contohnya, Saudari Smith). Istilah ini bukanlah gelaran atau panggilan hormat. Penggunaannya sama semasa merujuk kepada seorang Saksi lelaki (contohnya, Saudara Smith).

 Saksi-Saksi Yehuwa. Kumpulan agama Kristian yang menyembah Tuhan Yehuwa. Para Saksi juga giat melakukan kerja pendidikan Bible melalui pelbagai cara. Tujuan kerja pendidikan Bible adalah untuk mengongsi berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14) Nama “Saksi-Saksi Yehuwa” membezakan para Saksi daripada agama lain kerana nama ini menunjukkan kerja sukarela yang mereka lakukan dan siapa yang mereka wakili. Seseorang hanya dianggap sebagai Saksi-Saksi Yehuwa setelah dia memahami ajaran asas Bible, layak menyertai kerja penyebaran bersama sidang Saksi-Saksi Yehuwa, dan dibaptis sebagai lambang pembaktiannya kepada Tuhan Yehuwa. Sila gunakan nama penuh, iaitu “Saksi-Saksi Yehuwa,” semasa menyebutnya buat kali pertama dalam suatu rencana. Istilah “para Saksi” juga boleh diterima. Semasa merujuk kepada seorang individu, istilah “seorang Saksi,” “seorang Saksi Yehuwa,” atau “seorang Saksi-Saksi Yehuwa” boleh digunakan. Istilah yang tidak tepat adalah seperti “Saksi Jehovah” atau “Saksi Yehovah.”—Yesaya 43:10.

Sedarlah! Majalah yang diterbitkan dan diedarkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Mula diterbitkan pada 1919 dengan menggunakan nama The Golden Age. Pada 1937, nama majalah ini diubah kepada Consolation. Kemudian, nama majalah ini diubah kepada Awake! (Sedarlah!) mulai terbitan 22 Ogos 1946. Nama ini dipilih untuk membantu para pembaca sedar akan makna peristiwa dunia yang sedang berlaku hari ini. Majalah ini ialah salah satu majalah yang paling banyak diedarkan di seluruh dunia.

sidang. Sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa yang diaturkan. Mereka berkumpul secara tetap untuk beribadat. Beberapa penatua (yang membentuk badan penatua) memikul tanggungjawab untuk mengendalikan program pendidikan Bible dan memberikan bimbingan rohani kepada individu atau seluruh sidang. Perjumpaan sidang terbuka kepada umum. Hadirin tidak perlu membayar apa-apa. Masuk adalah percuma dan tiada kutipan wang dibuat.

Yehuwa. Nama peribadi Tuhan yang maha kuasa dan Pencipta segala sesuatu, seperti yang dinyatakan dalam Bible. (Mazmur 83:18) Istilah “Yehuwa” tidak harus digunakan untuk merujuk kepada seorang Saksi-Saksi Yehuwa (contohnya, “dia seorang Yehuwa”).

Yesus Kristus. Anak tunggal Tuhan. (Yohanes 3:16). Saksi-Saksi Yehuwa menganggap Yesus Kristus sebagai Pemimpin mereka, dan berusaha mengikut teladan dan ajarannya. Dalam pandangan para Saksi, Yesus ialah lelaki yang paling agung yang pernah hidup, Saksi Yehuwa yang terutama, dan penyelamat manusia yang diutus oleh Tuhan Yehuwa.—Yesaya 9:6, 7; Wahyu 1:5.

PERHATIAN: Semasa membuat laporan mengenai kami, sila guna nama penuh, iaitu “Saksi-Saksi Yehuwa,” semasa menyebutnya buat kali pertama. Untuk maklumat lanjut, lihat:  Saksi-Saksi Yehuwa.