Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Sebuah Kumpulan Zionis?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Sebuah Kumpulan Zionis?

 Tidak. Saksi-Saksi Yehuwa ialah orang Kristian yang menjadikan Bible sebagai dasar kepercayaan mereka. Sesetengah kumpulan agama mengajarkan bahawa orang Yahudi yang berkumpul di Palestin berkait dengan nubuat Bible, tetapi Saksi-Saksi Yehuwa tidak bersetuju. Kami percaya bahawa Bible tidak pernah menyebut tentang perkembangan politik ini. Sebenarnya Bible tidak menyokong mana-mana kerajaan manusia, atau meninggikan mana-mana kumpulan etnik atau bangsa. Menara Pengawal, iaitu majalah rasmi Saksi-Saksi Yehuwa, jelas menyatakan bahawa: “Bible langsung tidak menyokong kumpulan politik Zionis.”

 Menurut Encyclopædia Britannica, Zionisme ialah “gerakan nasionalisme Yahudi yang bertujuan untuk menubuhkan dan menyokong negara Yahudi di Palestin.” Zionisme mengandungi unsur agama dan politik. Saksi-Saksi Yehuwa tidak memandang Zionisme sebagai doktrin agama. Kami berpendirian neutral terhadap gerakan politik Zionis.

 Saksi-Saksi Yehuwa ialah organisasi agama. Kami tidak menyokong mana-mana gerakan politik, termasuk Zionisme. Ada banyak catatan tentang pendirian neutral Saksi-Saksi Yehuwa dari segi politik. Di sesetengah negara, kami menghadapi tentangan yang teruk kerana mempertahankan pendirian ini. Kami percaya bahawa hanya Kerajaan Tuhan di syurga dapat membawa keamanan yang kekal ke atas bumi; tiada kerajaan atau gerakan politik manusia dapat berbuat demikian.

 Salah satu ajaran asas kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa ialah mematuhi undang-undang kerajaan tempatan tidak kira di mana mereka berada. Kami tidak memberontak terhadap kerajaan atau menyertai konflik bersenjata.