Lompat ke kandungan

Doa dari Pokok Oak

Doa dari Pokok Oak

 “Semasa saya lahir, kedua-dua ibu bapa saya menyembah Yehuwa,” kata Rachel, yang kini tinggal di Republik Dominika. “Sedihnya, semasa saya berumur tujuh tahun, bapa saya berhenti menyembah Yehuwa. Dia menjadi ganas dan menentang kebenaran. Pada masa itu, bapa saya sengaja melakukan hal-hal yang buat saya susah menyembah Yehuwa. Contohnya, dia berjanji untuk memberi saya telefon, membawa saya pergi Disneyland, atau memberi saya kad kredit jika saya berhenti menyembah Yehuwa. Kadangkala dia akan tumbuk saya. Dia berkata bahawa jika saya tidak dapat bercakap atau berjalan, saya tidak dapat menghadiri perjumpaan. Tetapi rancangannya tidak pernah berjaya. Saya sentiasa bertekad untuk menghadiri perjumpaan.

 “Bapa saya memukul saya hanya semasa ibu tiada di rumah. Bapa saya mengugut untuk mencederakan ibu jika saya memberitahu ibu tentang apa yang berlaku. Semasa ibu nampak kesan lebam pada saya, bapa akan memberikan alasan bahawa itu berlaku semasa dia mengajar saya seni mempertahankan diri.

 “Pada masa itu, saya terlalu muda dan terlalu takut untuk memberitahu ibu apa yang bapa saya lakukan. Maka saya memberitahu Yehuwa. Saya suka bersiar-siar di hutan yang terdapat di belakang rumah kami di Maryland, A.S. Di situ, terdapat sepohon pokok oak yang saya suka panjat. Dari atas dahan yang selesa, saya berdoa kepada Yehuwa. Saya memberitahu Yehuwa tentang perasaan saya dan apa yang akan saya lakukan untuk-Nya jika Dia membantu saya mengharungi situasi di rumah. Saya juga memberitahu Yehuwa apa yang saya mahu lakukan di dunia baharu, keluarga yang mahu saya miliki di sana, dan kedamaian dan sukacita yang dapat saya nikmati tanpa rasa sakit atau takut.

 “Semasa bapa memukul saya atau berjanji untuk memberi hadiah dengan motif untuk membuat saya meninggalkan Yehuwa, saya sentiasa merasai bagaimana Yehuwa melegakan hati dan menguatkan saya. Dia membantu saya tetap kuat dan setia.

 “Saya dibaptis semasa berumur 10 tahun, dan mula merintis dua tahun kemudian. Pada mulanya, bapa saya tidak tahu tentang hal ini. Namun ketika dia mendapat tahu, dia menumbuk saya sehingga rahang saya terkehel.

 “Sesetengah orang memberitahu saya bahawa saya terlalu muda untuk merintis dan mereka risau bahawa saya tidak memahami betapa seriusnya keputusan yang saya buat. Lama-kelamaan, saya juga melihat banyak Saksi muda di kawasan saya tersimpang secara rohani. Mereka sibuk berparti dan berseronok. Ada kalanya, saya juga tergoda untuk melakukan hal yang sama. Saya berfikir, ‘Saya patut berhenti menginjil dan pergi berseronok seperti orang lain yang sebaya dengan saya.’ Namun jika fikiran sebegitu timbul, saya akan berdoa kepada Yehuwa tentangnya.

 “Semasa saya berumur 15 tahun, ada orang dari agensi model menjemput saya untuk menyertai dunia peragaan. Pejabat mereka terletak di Milan, Itali, dan mereka menawarkan kontrak dengan gaji yang lumayan. Saya sangat bangga kerana dianggap cukup baik untuk menjadi model dengan gambar yang terpapar dalam majalah dan dapat memperagakan pakaian yang mahal. Saya sudah merintis untuk hampir tiga tahun, jadi saya berfikir, ‘Kerja ini dapat membantu saya menyara hidup dan terus merintis untuk masa yang lama!’ Lagipun bapa sudah meninggalkan kami. Maka kerja ini juga dapat membantu saya menyara ibu.

 “Saya pun berdoa tentang hal ini. Saya memberitahu ibu saya, yang sudah merintis selama berpuluh-puluh tahun. Saya juga memberitahu seorang penatua yang saya kasihi dan hormati. Seperti biasa, saya juga pergi ke pokok oak saya dan berdoa. Yehuwa menjawab doa saya menerusi ayat Bible yang penatua kongsikan kepada saya. Ayat itu ialah Pengkhutbah 5:4 yang berbunyi, ‘Apabila kamu berikrar kepada Tuhan, tunaikanlah ikrar itu. Tepatilah apa yang telah kamu ikrarkan.’ Saya telah berikrar untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Jadi, saya risau tawaran kerja itu akan melemahkan saya secara rohani. Oleh itu, saya memutuskan untuk menolak tawaran tersebut.

 “Biarpun zaman kanak-kanak saya tidak begitu baik, sekarang saya hidup bahagia bersama suami saya Jaser, dan anak lelaki kami, Connor, yang kini berumur sembilan tahun. Jaser ialah seorang penatua, dan Connor ialah seorang penyiar yang belum dibaptis. Saya pula telah merintis untuk hampir 27 tahun.

 “Saya sering berfikir tentang perbualan panjang saya dengan Yehuwa di atas pokok oak di belakang rumah kami. Saya merayu kepada Yehuwa untuk membantu saya, dan Dia berbuat demikian dalam cara yang luar biasa. Dia menguatkan saya, melegakan saya, dan membimbing saya. Sepanjang hidup saya, Yehuwa berkali-kali membuktikan bahawa Dia ialah Bapa yang menakjubkan. Saya bersyukur kerana memilih untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Itulah keputusan yang terbijak yang pernah saya buat.”